no image

'Ni tandas sekolah ke tandas hotel?' - Patutlah terpilih ke peringkat kebangsaan, tahniah SMKA Miri

webadmin
31 Dec 2020 01:29am
A
A
A

"NI tandas sekolah ke tandas hotel?" Begitulah reaksi setiap pengunjung yang menggunakan tandas guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Miri.

Dekorasi minimalis daripada garapan idea para guru menjadi tandas ini sangat selesa selain tahap kebersihan yang sangat memuaskan.

Tidak hairanlah tandas sekolah ini terpilih ke Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 mewakili Sarawak bagi kategori Tandas Pejabat Kerajaan.

Pertandingan anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini mempunyai 12 kategori termasuk Tandas Sekolah Menengah, Tandas Sekolah Rendah, Tandas Pusat Beli-Belah, Tandas Rumah Ibadat, Tandas Awam milik Pihak Berkuasa Tempatan dan sebagainya.

Pintu tandas guru lelaki.

Peringatan agar menjimatkan air turut diletakkan di setiap paip.

Pengetua SMKA Miri, Ahmad Fauzi Yaakob berkata, beliau tidak menyangka tandas sekolah itu terpilih dan ia satu pengiktirafan besar buat sekolah.

“Tandas Guru SMKA Agama Miri terletak di bangunan Blok Pentadbiran yang rata-rata penggunanya adalah dalam kalangan guru dan staf sekolah termasuk juga tetamu luar yang datang berkunjung ke sini,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tandas guru terpilih hingga ke peringkat kebangsaan, ia tidak bermakna tandas lain yang ada di sekolah itu, tidak diberi perhatian.  

“Kita tetap beri perhatian yang sama pada semua tandas di sekolah terutamanya apabila berkaitan dengan tahap kebersihan.

“Tandas pelajar, tandas asrama, tandas surau dan tandas dewan, semuanya telah dinaiktaraf beberapa tahun lepas dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Semuanya bukan untuk pertandingan tetapi bagi membudayakan pelajar bahawa tandas mesti bersih dan cantik,” ujarnya.

Penilaian juri

Sementara itu, Setiausaha Pengurusan Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan (3K) Sekolah, Nor Azilah Mohamad Nazri berkata, tandas guru itu terpilih ke peringkat kebangsaan apabila pihaknya menghantar gambar untuk penilaian.

“Penilaian awal adalah berdasarkan eviden (gambar) yang dihantar kepada pihak penganjur berdasarkan elemen yang telah ditetapkan.

“Antara elemen yang dinilai adalah dari aspek kebersihan, kesihatan persekitaran dan keselamatan. Selain itu, penilaian berdasarkan keadaan persekitaran, kemudahan sanitari yang terdapat di tandas lengkap dan mencukupi, struktur dan penyelenggaraan kebersihan di dalam tandas, aktiviti pembersihan tandas dan lain-lain.

“Alhamdulillah, semuanya telah menepati elemen yang ditetapkan penganjur sehingga terpilih ke peringkat penjurian akhir pada 22 Oktober lalu,” katanya.

Lima juri telah membuat penilaian bagi tandas guru SMKA Miri.

Mereka ialah panel penilai daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Shafizi Abdul Wahab; panel penilai daripada Quality Restroom Association Malaysia (QRAM), RV Somasundran; panel penilai daripada MOTAC, Shelidatul Baizura Sharbini; Public Health, Lery Busong dan wakil Majlis Bandaraya Miri, Mohammad Sopian.

Terdahulu tandas guru ini mendapat Anugerah Perak dalam pertandingan yang sama pada tahun 2016.  

Cikgu Nor Azilah yang juga guru Sains dan Biologi turut bangga dengan pengguna tanda di sekolah itu yang mematuhi etika penggunaan yang betul.

“Dengan cara sebegini, kami dapat meminimumkan kerosakan kecil di samping tahap kebersihan tandas juga dapat dikekalkan dengan cemerlang. Tanggungjawab menjaga kebersihan tandas adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Cikgu Nor Azilah

Idea pengetua

Tandas sekolah itu tidak akan mencapai standard yang ada sekarang dan menerima pengiktirafan pelbagai pihak tanpa inisiatif yang dilakukan Cikgu Ahmad Fauzi.

Menurut Cikgu Nor Azilah, pengetua sekolah itu melancarkan Kempen Kebersihan Tandas pada tahun 2015 dan mendapat sokongan menyeluruh daripada warga sekolah.

"Kempen berkenaan menumpukan kebersihan tandas guru dan pelajar, dari masa ke masa Pegawai Kakitangan Pelaksana Sekolah dengan dibantu pelajar dan PIBG akan mengadakan gotong-royong menaiktaraf dan mencantikkan tandas sekolah ini.

"Aspek kebersihan sentiasa diterapkan kepada pelajar supaya menjadi budaya kerana kami percaya sekolah adalah medium yang terbaik untuk pelajar menimba pengetahuan dan pengalaman manakala budaya ini akan sentiasa diamalkan jika mereka melangkah keluar kelak," katanya.

Beliau berkata lagi, bagi tandas guru yang terpilih untuk mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan, pihak sekolah telah membuat satu transformasi bermula tahun 2015 dengan mengetengahkan konsep minimalis pada reka bentuk dan idea dekorasi dalamannya.

“Tahap kebersihan dan keceriaan selalu ditingkatkan dari masa ke masa selain tatacara penggunaan tandas dipamerkan supaya pengguna tandas dapat menggunakan tandas dengan baik dan beretika.

“Projek mesra alam dan ke arah jimat tenaga juga dilaksanakan di tandas ini. Paip dan suis dilabel dengan pelekat peringatan jimat tenaga,” ujarnya.

Beliau berkata, penggunaan teknologi terkini telah digunakan dalam pengurusan penyelenggaraan tandas, iaitu QRCode Aduan Kerosakan yang diletakkan di tandas bagi memudahkan pengguna membuat sebarang aduan jika berlaku kerosakan.

Kaedah itu lebih sistematik dan mudah diakses serta diselia oleh pegawai yang terlibat.

“Jadual penggiliran kebersihan tandas dilakukan oleh pekerja pembersihan sekolah. Pembersihan tandas dijalankan dua kali sehari pada waktu pagi dan tengah hari. Selain itu, kebersihan tandas ini juga dipantau oleh Skuad 3K (Kebersihan) sekolah,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap budaya kebersihan tandas yang diparktikkan di sekolah turut diamalkan di rumah mahupun tandas awam kerana kebersihan melambangkan keperibadian setiap individu.

Tandas pelajar juga kemas dan ceria.

Tandas pelajar perempuan yang turut dilengkapi dengan tempat mengambil wuduk.

Penjurian akhir Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Bersih peringkat kebangsaan Tahun 2019. Dari kiri: Lery Busong, Somasundran, Shafizi, Ahmad Fauzi, Nor Azilah dan Shelidatul Baizura.

Artikel Menarik:

"Mula-mula tolak tetapi pelajar lain mula berebut sertai DOTS apabila lihat kejayaan rakan"

cikgooTUBE... kumpul karya guru inovatif dan kreatif

Tiga inovasi mantap PdPc bahasa Inggeris Cikgu Warid berjaya bawa muridnya hingga ke antarabangsa

 




 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok