325eced9-cae9-4ec7-a052-f4461e68c9c0
325eced9-cae9-4ec7-a052-f4461e68c9c0

ODL tenggelamkan pengalaman universiti sebenar?

A
A
A

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diperkenalkan sejak Mac tahun lalu membuatkan ramai mahasiswa mengeluh apabila mereka terpaksa menjalani pembelajaran secara Open and Distance Learning (ODL) atau dikenali sebagai proses pembelajaran jarak jauh.

Keadaan ini sudah tentu memberi kesukaran buat segelintir pelajar di mana sistem pembelajaran di peringkat universiti tidak sama seperti di sekolah.

Tahap pendidikan yang semakin sukar memaksa mereka untuk berusaha lebih keras bagi mendapatkan skor yang terbaik pada setiap semester.

Ramai penuntut universiti berasa tertekan dengan keadaan semasa yang tidak seperti sebelumnya. Pandemik Covid-19 yang berlanjutan hampir dua tahun ini masih tidak dapat diterima sepenuhnya oleh segelintir pelajar yang masih berharap dapat menjalani proses pembelajaran seperti biasa.

Tidak dinafikan pembelajaran secara ODL ini telah meragut keseronokan para pelajar untuk merasai suasana universiti sebenar. Namun, tanpa mereka sedari, ODL juga memberi peluang kepada para pelajar untuk menjadi lebih baik.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Keadaan semasa yang memerlukan usaha yang lebih, secara tidak langsung mendidik pelajar untuk lebih gigih berusaha dalam mencapai apa yang diinginkan.

Kekangan dan cabaran yang dihadapi ini, bukan satu-satunya halangan dalam proses pembelajaran. Ini kerana, para pelajar masih boleh meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan berfikir dengan lebih baik melalui sesi pembelajaran secara dalam talian.

Biarpun ODL mempunyai banyak kekurangan dari segi pelaksanaan aktiviti dan projek yang terbatas, namun para pelajar perlu lebih berfikiran terbuka dalam proses menjana idea agar ODL ini tidak memberi kesan yang ketara kepada prestasi pencapaian mereka sebagai mahasiswa universiti.

Selain melatih minda pelajar menjadi seorang yang berfikiran bernas, ODL juga mampu membentuk pelajar menjadi seorang yang lebih disiplin dalam menggalas tanggungjawab dan amanah sebagai pelajar.

Ini kerana, sepanjang ODL dijalankan, para pelajar terpaksa menguruskan masa sendiri dan ini akan membuatkan mereka berusaha lebih gigih dalam memastikan tidak ada topik yang tertinggal.

Bukan setakat itu, pembelajaran secara dalam talian sekali gus menjadikan pelajar seorang mahasiswa yang berpendirian.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Keadaan semasa yang cuma bergantung kepada diri sendiri beserta sokongan sekeliling, mendorong mereka untuk tetap berusaha meneruskan pelajaran dalam apa jua keadaan demi masa depan yang lebih cerah.

Ini menunjukkan proses pembelajaran secara dalam talian ini tidak memberi kesan negatif kepada prestasi pelajar bahkan lebih membentuk pelajar menjadi seorang yang berwawasan dengan tindakan proaktif yang diambil.

Biarpun melalui ODL, para pelajar tidak dapat mencipta kenangan sama seperti suasana universiti sebenar namun para pelajar masih boleh mengekalkan dan mewujudkan suasana tersebut secara alam maya.

Oleh itu, pihak kepimpinan pelajar serta pihak universiti perlu bekerjasama merangka strategi dalam usaha mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih baik sama seperti di bilik-bilik kuliah sebelumnya.

Sumber: ODL Punca Pelajar Hilang Pengalaman Kampus Dalam Pembangunan Diri?

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok