HomeGen ZPALAPES Darat UMK iltizam pamer profesionalisme dan disiplin tinggi

Artikel Berkaitan

PALAPES Darat UMK iltizam pamer profesionalisme dan disiplin tinggi

BACHOK  – Dalam usaha menyemai semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) buat julung kalinya memperkenalkan program Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Darat (PALAPES) bertujuan untuk menyediakan bakal pemimpin pasukan simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdiri daripada graduan universiti.

Timbalan Komandan PALAPES Darat UMK, Mejar Prof Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman, berkata badan beruniform itu telah dikuatkuasakan dan diluluskan penubuhannya oleh Majlis Angkatan Tentera pada 20 Ogos 2020 dan mula beroperasi pada 3 Mei 2021.

Beliau menyifatkan, penubuhan PALAPES Darat di Universiti Awam (UA) yang terdiri daripada para intelek dilihat sejajar dengan inspirasi kerajaan dalam usaha membentuk warganegara cemerlang dan mantap dari segi fizikal serta mental dalam menghadapi pelbagai anasir yang mendatang.

“Pasukan Latihan Pegawai Simpanan atau PALAPES Darat ditubuhkan di UA adalah bertujuan bagi melahirkan pegawai simpanan dalam kalangan mahasiswa yang diberikan tanggungjawab sebagai Pegawai Kadet dengan memenuhi segala kriteria ditetapkan bagi memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Selain itu, program ini menyokong usaha kerajaan dan UA dalam membentuk kualiti seorang warganegara yang sempurna, mempunyai jati diri, berdisiplin, membentuk nilai kepimpinan pelajar dan mempunyai ciri-ciri mempertahankan kepentingan negara,” katanya yang juga Pengarah Kanan Pusat penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UMK.

Timbalan Komandan PALAPES Darat UMK, Mejar Prof Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman.

Menurut Prof Ahmad Ziad, seorang pegawai kadet akan dilatih dalam tempoh tiga tahun di UA mengikut kepada silibus ketenteraan khususnya di dalam aspek taktikal, persenjataan, kepimpinan, rejimental dan yang paling utamanya adalah taat setia yang ditumpahkan kepada agama, bangsa dan negara.

“Jadual latihan PALAPES Darat pula dijalankan pada dihujung minggu membabitkan latihan berterusan, perkhemahan tahunan dan pentauliahan,” ujarnya.

Setiap pasukan PALAPES Darat mempunyai Markas Latihan cawangan masing-masing dan pada masa kini, badan beruniform itu sudah ditubuhkan di 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Tambah Prof Ahmad Ziad lagi, kokurikulum PALAPES sama ada darat, laut dan udara amat mencabar kerana memerlukan pegawai kadet untuk memiliki kesabaran, komitmen, kewibawaan, ketahanan mental dan fizikal yang tinggi.

“Pelbagai aktiviti yang dijalankan mampu mendidik mahasiswa menjadi seorang yang lebih berani, berjiwa kental kerana latihan dilakukan menguji keupayaan dari segi mental mahupun fizikal.

“Penyertaan pelajar dalam program PALAPES Darat di universiti bukan hanya satu aktiviti kokurikulum biasa, sebaliknya penuntut yang berjaya menamatkan latihan akan ditauliahkan sebagai Pegawai Tentera berpangkat Leftenan Muda oleh Yang di-Pertuan Agong dan berpeluang diserapkan dalam Rejimen Askar Wataniah (Sukarela) atau unit-unit tetap ATM,” jelasnya.

PALAPES Darat juga menjadi satu platform yang mampu meningkatkan kebolehapasaran graduan sekiranya mereka menjadikan bidang ketenteraan sebagai pilihan kerjaya.

Ujar Prof Ahmad Ziad, sifat kepemimpinan yang dipupuk sepanjang pembabitan dalam pasukan PALAPES itu akan membantu graduan di alam pekerjaan nanti tidak kira dalam menyampai mahupun menerima arahan.

“Latihan bersifat kumpulan juga diterapkan kerana mereka bakal berdepan cabaran melawan mental dan ketahanan diri semasa menjalani latihan di samping pengurusan masa dengan komitmen akademik.

“Bagi menjayakan program PALAPES ini, ia perlu komitmen dan sokongan yang padu daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertahanan.

“Selain itu, penubuhan Majlis Palapes Universiti Awam yang melibatkan PALAPES UA, KPT dan Kementerian Pertahanan melalui Markas Latihan dan Doktrin Tentera Darat adalah merupakan bukti kepada komitmen semua pihak bagi menjadikan program PALAPES ini kekal relevan dan membantu kepada pembangunan jati diri serta pembentukan nilai kepimpinan mahasiswa,” tuturnya.

Beliau berharap hasil daripada komitmen semua pihak ianya akan menjadikan mahasiswa yang dilahirkan daripada program ini lebih cekal dan kuat dari segi mental dan jasmani bagi mengharungi kerjaya yang mencabar pada masa hadapan.

Artikel Terkini