58A2E254-2D16-4132-98BB-73DC437D9C32
58A2E254-2D16-4132-98BB-73DC437D9C32

Pelajar ‘burnout’, jangan ambil mudah. Kenali tanda-tanda dan cara atasinya

Rasyidah Zulkifi
04 Feb 2022 08:35pm
A
A
A

Seringkali burnout berlaku dalam kalangan pelajar yang duduk di kelas hadapan. Ini kerana, mereka menjadi harapan guru sekolah untuk mendapat keputusan yang terbaik dalam peperiksaan.

Oleh itu, pelajar cenderung untuk menekan diri bagi mencapai standard yang ditetapkan oleh guru sehingga memberi kesan kepada diri mereka.

Burnout merupakan suatu keadaan di mana pelajar berasa letih dari sudut mental dan fizikal akibat belajar terlalu lama sehingga menimbulkan emosi negatif seperti kekurangan motivasi dan kekecewaan di sekolah.

Baca juga Tangani segera isu murid ‘lesu’ PdPR – ahli akademik 

Baca juga ‘Fun Learning’ bantu golongan istimewa belajar elak jemu, bosan dan penat murid

Justeru, GPSBestari ingin berkongsi beberapa gejala burnout dan cara untuk mengelakkan sindrom tersebut.

Tanda-tanda ‘burnout’ dalam akademik

Lazimnya, masalah ini berlaku disebabkan pelajar mempelajari silibus atau menjalankan projek yang sama bertahun-tahun secara berterusan.

Keadaan ini boleh berlaku sama ada disedari atau tidak disedari oleh pelajar. Tanda-tandanya termasuklah;

1. Pelajar berasa bosan ketika di sekolah dan hilang minat terhadap hobi yang disukainya.

Bosan di sekolah amat berbahaya dalam kalangan pelajar kerana boleh memberi impak negatif terhadap prestasi pendidikan mereka.

Apabila perasaan bosan memuncak, mereka sukar untuk lulus dalam mata pelajaran yang diambil.

Jika dibiarkan berterusan, maka, prestasi akademik boleh jatuh merundum.

Burnout juga boleh menyebabkan pelajar hilang minat terhadap hobi yang sering dilakukan.

Contoh, Ali suka bermain bola pada setiap petang tetapi sejak kerja sekolah mulai banyak dia sudah tidak bermain bola malah tidak menyukai rutinnya itu lagi.

2. Pelajar mengalami kemurungan

Tidak dinafikan sindrom burnout boleh menyebabkan seseorang pelajar itu mengalami kemurungan akibat kebimbangan yang berlebihan.

Kadangkala tanda ini muncul disebabkan pelajar itu menginginkan kesempurnaan ketika mengerjakan tugasan sehingga mereka lupa bahawa mereka itu masih belajar dan banyak kekurangan.

Guru-guru perlu memastikan kesihatan mental pelajar terpelihara ketika mengajar di sekolah.

3. Pelajar kurang kreatif ketika proses pembelajaran

Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) sememangnya membentuk pelajar menjadi individu yang kreatif ketika melakukan pembentangan di dalam kelas.

Apabila pelajar mengalami burnout, secara automatik fikiran mereka menjadi sempit dan terbantut sehingga menyukarkan mereka untuk menjana idea kreatif ketika PdP berlangsung.

Kesannya, pembentangan pelajar tersebut menjadi kurang menarik dan hambar sehingga menyebabkan markah penilaiannya mereka rendah berbanding dengan pelajar lain.

4. Pelajar banyak tabiat buruk

Apabila terlalu jemu dengan proses PdP di sekolah, pelajar cenderung untuk mempunyai banyak tabiat buruk seperti makan secara berlebihan dan tidur lewat malam.

Sememangnya pelajar perlu mengamalkan diet yang sihat supaya berat badan kekal ideal untuk seimbang akademik dan kokurikulum.

Mereka juga disarankan untuk tidur awal kerana kebanyakan pelajar sekolah menengah akan bersekolah pada sesi pagi.

Namun apabila mereka menghidap burnout, secara tidak langsung mereka akan mengabaikan tabiat baik.

Cara mengelakkan sindrom ‘burnout’

Sindrom tersebut boleh dielakkan dengan beberapa langkah seperti berikut;

1. Jangan bertangguh

Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang suka menangguh kerja bukan sahaja akan menghidap sindrom burnout, malah, sikap ini menjadi punca prestasi pembelajaran mereka menjadi lemah.

Sebaiknya, apabila mendapat kerja sekolah terus siapkan supaya tugasan tersebut tidak bertimbun sehingga menyebabkan pelajar hilang minat untuk menyiapkannya.

Contohnya, jika pelajar bersekolah lima hari seminggu maka luangkan hari cuti untuk memastikan kesemua tugasan berjaya disiapkan mengikut ketetapan daripada guru mata pelajaran masing-masing.

2. Tetapkan matlamat

Setiap pelajar mesti mempunyai matlamat kendiri untuk berjaya dalam peperiksaan.

Penggunaan kalendar penting untuk memastikan pelajar untuk kekal bermotivasi dalam menyiapkan kerja merujuk tarikh akhir tiap-tiap tugasan.

Catatkan kerja sekolah dengan pen berwarna-warni supaya pelajar tidak keliru kerana setiap subjek mewakili satu warna.

Jika melazimi tabiat ini, pelajar akan semakin peka dengan tugasan semasa yang perlu disiapkan pada masa tepat.

3. Seimbangkan kehidupan di sekolah dan kehidupan seharian

Kehidupan pelajar dan kehidupan seharian adalah dua perkara berbeza yang mereka perlu seimbang kedua-duanya sekali.

Jika gagal menyeimbangkan kedua-dua ini, bimbang sindrom burnout akan memburuk dalam jangka masa panjang.

Jadi, pentingnya ‘me time’ untuk para pelajar supaya mereka dapat menikmati kehidupan yang seronok di samping menggalas tanggungjawab kepada pelajaran.

4. Terokai alam luar

Kajian telah membuktikan bahawa meluangkan masa dengan alam sekitar boleh mengurangkan stres jadi habiskan sedikit masa dengan menikmati flora dan fauna.

Pelajar boleh berekreasi di taman permainan untuk menikmati kehijauan alam. Contohnya, berjoging.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Selain itu, pelajar boleh merenung alam dengan melihat kepelbagaian ciptaan. Contohnya, melawati zoo untuk melihat haiwan yang pelbagai.

Diharapkan, para pelajar dapat mengetahui kemampuan diri dan berusaha untuk menyelamatkan diri daripada sindrom burnout kerana mencegah lebih baik dari merawat.

Sumber: University of the People

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok