acca2v2
acca2v2

Pelajar Jurusan Perakaunan ditawarkan dermasiswa 1 juta

webadmin
12 Aug 2021 03:44pm
A
A
A

Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) bersama 17 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terkemuka di Malaysia telah bekerjasama melancarkan Kursus Asasi Perakaunan (FIA) menerusi kempen ACCA ‘FIA-1-Million’.

Kempen ini diadakan sebagai usaha khusus untuk membantu 1,000 pelajar Malaysia bagi mencapai impian dan kerjaya mereka dalam sektor perakaunan dan kewangan serta tidak terkecuali pelajar yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, 17 Rakan Pembelajaran ACCA bersedia menaja sejumlah pelajar lepasan sekolah dalam usaha memperoleh kelayakan perakaunan bertaraf dunia.

Profesion perakaunan masih kurang mendapat sambutan di Malaysia. - Gambar hiasan

Menurut Ketua ACCA Maritime Asia Tenggara, Edward Ling, profesion perakaunan masih kurang mendapat sambutan di Malaysia.

Oleh itu katanya lagi, jalinan kerjasama dengan sektor-sektor pendidikan, kerajaan dan majikan-majikan adalah usaha mencapai matlamat negara untuk melahirkan 60,000 orang akauntan bagi menyokong transformasi negara.

“Memandangkan hampir kesemua syarikat di Malaysia memasang hasrat mewujudkan pasaran yang lebih besar bagi memperoleh kejayaan serantau manakala syarikat multinasional pula menganggap Malaysia sebagai batu loncatan ke Asia Tenggara, maka kami telah menumpukan sepenuh perhatian terhadap golongan muda dalam membentuk tenaga kerja yang berkepakaran dan profesional demi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mantap pada masa akan datang.

“Kursus ACCA FIA ini akan meningkatkan lagi keyakinan pelajar kerana kesemua Rakan Pembelajaran kami memenuhi piawaian kualiti pengajaran yang ketat sekaligus membuka peluang kepada bakat-bakat muda ini untuk menjadi seorang yang berjaya dalam profesion kewangan di mana kelayakan diiktiraf dan dipandang tinggi oleh majikan di serata dunia,” ujarnya.

Tambahnya, dengan peningkatan ramai tenaga kerja dalam sektor perakaunan, keadaan ekonomi negara yang berubah-ubah akan kekal kompetitif sebagai sebuah negara yang maju.

Sehubungan itu, Kajian Keadaan Ekonomi Global ACCA dan IMA (GECS) menunjukkan ekonomi sejagat semakin pulih dari segi keyakinan, tempahan, pekerjaan dan perbelanjaan.

Kajian yang melibatkan 1,000 akauntan kanan dan professional kewangan dari seluruh dunia ini merekodkan lonjakan terbesar dari segi keyakinan ekonomi, pada suku pertama tahun ini  sepanjang 12 tahun pelaksanaannya.

GECS konsisten dengan pandangan bahawa ekonomi dunia mempunyai peluang yang baik untuk mencapai kembali tahap aktiviti sebelum pandemic pada akhir tahun ini.

Sementara itu, kelayakan Juruteknik Perakaunan Bertauliah (CAT) yang sedia ada telah digantikan dengan Pengenalan Kursus Asasi Perakaunan ACCA (ACCA FIA), sebagai langkah awal bagi pelajar lepasan sekolah menengah, graduan dari profesion bukan perakaunan dan mereka yang berhasrat menukar bidang kerjaya untuk melibatkan diri dalam bidang perakaunan.

Oleh itu, pelajar-pelajar di seluruh negara terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau mengenai pendaftaran dermasiswa boleh menghubungi Rakan Pembelajaran ACCA bermula 22 Jun lalu hingga 31 Disember 2021.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau untuk membuat permohonan Kursus Perakaunan ACCA (FIA) pula, pelajar boleh layari https://www.accaglobal.com/my/en/student/FIA.html.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok