WhatsApp Image 2021-07-08 at 15.43.40 (2)
WhatsApp Image 2021-07-08 at 15.43.40 (2)

Pelajar perubatan kongsikan pengalaman belajar semasa PKP

A
A
A

Open and Distance Learning (ODL) atau dipanggil sebagai proses pembelajaran secara dalam talian adalah satu kaedah pembelajaran baharu bagi mahasiswa di setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Sejak awal tahun lalu, negara telah dikejutkan dengan penularan virus Covid-19 di mana semua sektor pendidikan di Malaysia terpaksa dipindahkan kepada pembelajaran secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Senario ini mencetuskan pelbagai maklum balas daripada penuntut-penuntut universiti di mana ada yang berasa gembira dan ada juga berasa kecewa dengan khabar diterima.

Bagaimanapun, perubahan ini sudah tentu memberi tamparan hebat buat program-program tertentu yang melibatkan pembelajaran secara praktikal.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Susulan masalah ini, pelajar Jurusan Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan, Hafizuddin Muhd, 19, mendedahkan pengalamannya bergelar pelajar perubatan semasa pandemik Covid-19.

“Saya sebagai salah seorang pelajar perubatan mengakui mempunyai masalah yang sama seperti pelajar lain di mana PKP ini memberi sedikit kesukaran kepada kami kerana ODL memerlukan capaian internet yang baik bagi mengelakkan kegagalan mengikuti proses pembelajaran,” akuinya.

Sehubungan itu, dia juga tidak menafikan, proses pembelajaran secara ODL ini tidak mudah kerana para pelajar akan cepat berasa penat akibat menghadap skrin telefon dan komputer riba dalam jangka masa yang lama.

Secara ringkasnya, ODL ini memberi cabaran yang berganda kepada para pelajar jurusan perubatan apabila semua pelajar yang mendaftar kursus ini diwajibkan mengikuti program Problem-Based Learning (PBL) di mana mereka akan diberi satu isu untuk diselesaikan secara teliti dan spesifik.

Menurut Hafizuddin, program PBL ini akan dilakukan secara berkumpulan dan dikendalikan oleh seorang pensyarah bagi menyelesaikan masalah setiap isu yang diberikan. Namun memandangkan proses pembelajaran dilakukan secara dalam talian, jangka masa yang diambil untuk perbincangan itu agak lama berbanding perbincangan secara bersemuka.

Gambar hiasan daripada Pexels.

“Tidak dinafikan proses pembelajaran sangat berbeza dan penyampaian melalui dalam talian tidak sama dengan proses yang kita lalui sebelum ini di mana kami sebagai pelajar perubatan sangat merasai keperitan belajar secara ODL ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, disebabkan kursus Sains Perubatan itu diminatinya, Hafizuddin tidak menafikan keseronokan yang dirasainya biarpun keadaan membataskan segala aktiviti yang sepatutnya dilakukan.

Namun begitu, kesukaran yang dialami bukanlah satu-satunya penghalang untuk para pelajar menghampiri titik kejayaan.

Oleh itu, Hafizuddin berharap keadaan negara yang kian gawat pada masa ini, tidak menghalang dirinya dan semua pelajar bagi mendapat keputusan yang cemerlang dalam setiap kursus yang diikuti.

“Semoga pandemik Covid-19 ini berakhir dengan segera agar semua pelajar dapat menikmati proses pembelajaran seperti biasa,” tambahnya di akhir perkongsian.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok