dr hafiz3
dr hafiz3

Perjalanan penuh liku Dr Muhammad Hafiz, kini mampu buka klinik gigi sendiri

Nor Azma  Muhamat Laila
20 Jun 2022 12:46pm
A
A
A

Tidak seperti orang lain, perjalanan untuk menjadi seorang doktor gigi agak berliku bagi Dr Muhammad Hafiz Zainal, 30, kerana banyak cabaran yang perlu dilalui untuk menggapai cita- cita yang sudah diidamkan sejak dari usia remaja itu.

Mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Dr Muhammad Hafiz berpeluang menghadiri sesi temu duga untuk mengikuti pengajian dalam jurusan pergigian di luar negara tetapi tidak berjaya kerana kurang mahir dalam aspek komunikasi.

Selepas itu, beliau mendapat tawaran mengikuti pengajian di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (UM) tetapi rezeki belum berpihak kepada dirinya kerana sekali lagi gagal meneruskan pengajian dalam bidang pergigian sebaliknya ditawarkan program jurusan kejuruteraan.

Mengambil kira minat yang mendalam terhadap bidang pergigian, tawaran pengajian dalam jurusan kejuruteraan terpaksa ditolak oleh Dr Muhammad Hafiz yang kemudiannya mendapat peluang berhijrah ke bumi Mesir.

“Selepas menolak tawaran ke universiti, saya memang tercari-cari peluang lain untuk menyambung pengajian dalam jurusan pergigian sehinggalah saya terjumpa tawaran pengajian di Alexandria University, Mesir.

Hijrah ke Mesir

“Saya membuat keputusan sambung belajar di Mesir pada 2011 dan memandangkan keputusan SPM yang cemerlang, pengajian di bumi Arab itu ditaja oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ),” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itulah gambaran tepat untuk perjalanan yang perlu dilalui Dr Muhammad Hafiz apabila dirinya sekali lagi diuji ketika mengikuti pengajian di Mesir.

“Saya sangka dapat menamatkan pengajian di Mesir tetapi pada 2013, negara berkenaan mengalami sedikit pergolakan menyebabkan kerajaan Malaysia memanggil balik semua pelajar atas faktor keselamatan.

"Disebabkan itu, pada tahun yang sama saya pulang ke Malaysia dan memohon untuk menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memandangkan saya sudah mempunyai kelayakan dalam program asasi sebelum ini,” ujarnya.

Akhirnya pada 2017, doktor yang pernah menyertai program realiti Big Stage itu berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Doktor Pergigian dan hari ini, beliau sudah berjaya membuka klinik sendiri secara rasmi pada tahun lalu.

Berkongsi mengenai kejadian yang mencetuskan minat dalam dirinya terhadap bidang pergigian, Dr Muhammad Hafiz berkata, ketika kecil beliau pernah terjatuh sehingga menyebabkan gigi depannya patah.

Disebabkan gigi yang tidak cantik itu, keyakinan diri saya menjadi sangat rendah. Sehinggalah di penghujung bangku sekolah menengah barulah saya mempunyai kesedaran untuk mendapatkan rawatan gigi.

“Dari situ ia membuatkan saya sedar bahawa tampalan yang ringkas sudah boleh mengembalikan keyakinan diri seseorang menyebabkan saya nekad untuk menjadi doktor gigi,” jelasnya.

Cabaran doktor gigi

Tanggungjawab sebagai doktor gigi turut berdepan cabaran tersendiri termasuklah memenuhi jangkaan pesakit yang datang mendapatkan konsultasi atau rawatan selain berdepan sebarang aduan daripada pelanggan.

Ujar Dr Muhammad Hafiz yang sudah menghasilkan enam single, beliau juga perlu bijak membahagikan masa antara profesion sebagai doktor gigi, ahli perniagaan dan dalam masa yang sama memenuhi undangan sebagai penyanyi.

“Meskipun sudah memiliki klinik sendiri, saya tidak melupakan bidang nyanyian kerana memang minat menyanyi sejak dari kecil malah kini saya dalam proses mencari material yang sesuai untuk single ketujuh.

“Selain pengurusan masa, kemahiran teknikal seperti aspek kesenian tangan ketika membuat rawatan kepada pesakit juga adalah satu cabaran dan perlu dititikberatkan supaya pesakit mendapat kepuasan apabila berkunjung ke klinik,” kongsinya.

Bagi pelajar di luar sana yang berminat memilih jurusan pergigian sebagai bidang pilihan, anak kelahiran Johor itu berkata, bidang ini bukan memerlukan kecemerlangan akademik semata-mata sebaliknya kemahiran insaniah juga memainkan peranan penting.

“Jika minat, kejarlah cita-cita itu. Dalam pada itu, sentiasa belajar untuk memantapkan kemahiran diri kerana bidang ini berkembang sejajar dengan perubahan teknologi termasuklah material dan mesin-mesin baharu yang digunakan dalam rawatan,” tuturnya lanjut.

BIODATA

Nama penuh: Muhammad Hafiz Zainal

Tarikh lahir: 1 Julai 1992

Asal: Johor Bahru, Johor

Kedudukan dalam keluarga: Anak ketiga daripada empat orang adik beradik

Pendidikan : Berkelulusan dalam bidang perubatan pergigian dari UKM

Penglibatan: Bintang RTM 2018, Big Stage 2020

Artikel berkaitan

Lepasan SPM berminat menjadi doktor? Mohon hadam perkongsian ini dahulu!

7 watak penting di klinik pergigian kerajaan. Guru dan pelajar wajib kenali mereka!

Tak mahu jumpa doktor gigi! Ini cara mudah menangani rasa takut dalam kalangan murid


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok