WhatsApp Image 2021-07-07 at 15.08.58
WhatsApp Image 2021-07-07 at 15.08.58

Persekitaran punca kesihatan mental terganggu- Mahasiswa UPM

A
A
A

Kemajuan dunia pada hari menjadi titik tolak kepada perkembangan masyarakat. Pembangunan dunia yang kian pesat menjadikan semua masyarakat berlumba-lumba melonjakkan potensi diri.

Namun malangnya, seiring dengan kepesatan dunia, ramai masyarakat termasuk para pelajar berdepan dengan masalah kesihatan mental.

Keadaan ini semakin memberi tekanan apabila pada tahun lalu, statistik merekodkan sebanyak 2.3 peratus pelajar berusia 16 tahun ke atas mengalami kesihatan mental di Malaysia.

Keadaan ini semakin membimbangkan apabila isu kesihatan mental semakin meningkat dari hari ke hari. Status negara yang kini dilanda penularan virus Covid-19 telah menambahkan kerisauan semua pihak, apabila sebanyak 120,000 panggilan diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai isu kesihatan mental ini.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Susulan isu ini, Kaunselor Bahagian Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, Haniff Abdullah Hashim, berpendapat kesihatan mental seseorang boleh dikawal sekiranya seseorang individu itu tidak membiarkan dirinya dikuasai oleh masalah yang dihadapi.

“Dalam satu minggu, kita mempunyai tahap kesihatan mental yang pelbagai dan berubah-ubah jadi sekiranya para pelajar berasa kesihatan mental mereka tidak stabil, mereka perlu merujuk masalah ini kepada pihak kaunselor atau pakar psikiatri agar masalah mental ini tidak bertambah buruk sehingga mengganggu kehidupan mereka,” ujar beliau.

Berhubung isu ini, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Taman dan Rekreasi, UPM, Nabilah Syahira Borhan turut berkata, dari segi biologi kesihatan mental ini disebabkan oleh ketidakseimbangan kimia dalam otak yang menyebabkan gangguan terhadap diri seseorang.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Nabilah berkata, persekitaran pengalaman hidup juga merupakan punca berlakunya gangguan mental. Dalam erti kata lain, semakin buruk keadaan sekeliling semakin buruklah keadaan mental seseorang individu yang gagal mengawal tekanan dan emosi mereka.

“Semasa kecil, saya pernah mengalami hari-hari yang sukar selepas kematian ibu saya. Ini menyebabkan emosi saya terganggu sehingga menyebabkan berlakunya masalah mental,” akuinya.

Menurut Nabilah, kehidupan keluarganya yang berpindah-randah sehingga menyebabkan dirinya berpisah dengan rakan-rakan juga penyebab kepada gangguan emosi yang dihadapi.

Mengulas mengenai tahap kesihatan mental yang dialami, Nabilah berkata dirinya pernah ditahan wad apabila berlakunya beberapa peristiwa yang menyebabkan dirinya berada di luar kawalan.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Ini menunjukkan keadaan persekitaran adalah punca utama berlakunya kes masalah mental di negara ini.

Oleh itu, dalam keadaan negara yang mengalami tekanan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini, masyarakat perlu peka dan prihatin terhadap orang sekeliling agar kadar kesihatan mental di negara ini tidak terus meningkat.

Bagaimanapun, menurut Haniff Abdullah, kawalan terhadap kesihatan mental bermula daripada individu itu sendiri. Kekuatan dalaman dan rohani adalah penawar terbaik bagi mengelakkan diri dikuasai pemikiran negatif.

“Individu yang dapat mengawal kesihatan mental mempunyai potensi untuk mengubah hidup mereka menjadi lebih baik manakala sekiranya status kesihatan mental individu itu rendah maka mereka lebih mudah untuk mengalami masalah mental,” tambahnya lagi.

Sumber: Kolej Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok