WhatsApp Image 2022-05-11 at 12.15.12 PM
WhatsApp Image 2022-05-11 at 12.15.12 PM

Pertandingan ‘DIY Made Simple’ kembali, penyertaan dibuka sekarang

Adlan Farhan Azwan
11 May 2022 12:16pm
A
A
A

KUALA LUMPUR — MR D.I.Y. Group (M) Bhd (MR D.I.Y.) dengan kerjasama Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares) akan melancarkan edisi keenam pertandingan tahunannya iaitu ‘DIY Made Simple’.

Pertandingan yang disokong oleh Kementerian Pendidikan (KPM) itu bertujuan untuk menggalakkan para pelajar memahami dan menghargai impak positif budaya ‘do it yourself’ (DIY) ke atas negara dan komuniti-komunitinya.

Pertandingan ini menyediakan platform kepada para pelajar untuk menonjolkan kreativiti mereka dengan meneroka pelbagai tema DIY yang berbeza.

Tema tahun ini, ‘Menghadapi Norma Baharu: Transformasi Sekolah’ mengajak para pelajar untuk mencari jalan mempertingkatkan kemudahan-kemudahan di sekolah mereka sambil menyesuaikan diri dalam norma baharu dengan memulakan projek-projek DIY menggunakan bahan-bahan yang dikitar semula.

Baca juga

Lebih 12,000 pelajar dapat manfaat daripada inisiatif #DIY4UM

SMK Iskandar Shah menang pertandingan DIY Made Simple 2021

Pengerusi Kumpulan MR D.I.Y., Datuk Azlam Shah Alias berkata, , ‘DIY Made Simple’ bukan sekadar satu pertandingan tetapi ia menggalakkan perkongsian idea tentang cara-cara untuk mempraktikkan lebih banyak amalan mesra alam, budaya menaik taraf dan guna semula, seterusnya melahirkan komuniti yang mampan serta bersedia untuk menghadapi masa depan.

“Ia merupakan salah satu daripada cara MR D.I.Y. menambah nilai kepada komuniti di mana kami beroperasi, dan ia selari dengan matlamat-matlamat kemampanan kami.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada UMCares kerana sekali lagi bekerjasama dalam menjayakan usaha ini dan tidak lupa kepada KPM kerana sentiasa menyokong program ini," katanya ketika mengumumkan pelancaran pertandingan tersebut, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, sokongan yang diberikan membolehkan pihaknya meningkatkan kemahiran 865 pelajar sekolah menengah dari seluruh negara sejak pertandingan ini dilancarkan pada 2017, dan ia semakin besar dan menarik dari tahun ke tahun.

“Memandangkan Malaysia kini telah memasuki fasa peralihan endemik dan sekolah-sekolah telah dibuka semula, kami teruja untuk menyaksikan idea-idea kreatif dan unik dalam mengubah sisa buangan menjadi sesuatu yang berguna dan mampan untuk dimanfaatkan oleh sekolah-sekolah," ujarnya.

Penyertaan untuk edisi pertandingan ‘DIY Made Simple’ 2022 kini sedang dibuka dan para pelajar yang berminat untuk mengambil bahagian boleh menghantar penyertaan video mereka sehingga 20 Mei 2022.

Barisan panel pengadil yang terdiri daripada wakil-wakil dari Universiti Malaya (UM), MR D.I.Y., dan KPM akan menilai kesemua penyertaan serta menyenarai pendek 98 pasukan (tujuh sekolah dari setiap negeri) untuk pembentangan cadangan dan prototaip bermula dari 31 Mei hingga 21 Julai 2022.

18 finalis akan dipilih untuk bekerjasama dengan para pensyarah dari Fakulti Bina Alam (FBE) UM untuk merealisasikan idea-idea sekolah mereka semasa pusingan akhir.

Fasa terakhir itu akan dijalankan pada 22 Julai sehingga 25 September 2022 dan para pemenang akan diumumkan pada bulan Oktober.

Mengulas lanjut, Pemangku Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM, Profesor Ir Dr Shaliza Ibrahim berkata, pertandingan ‘DIY Made Simple’ telah menghubungkan golongan akademia, industri, komuniti dan kerajaan, di samping secara tidak langsung menjadi platform untuk perkongsian pengetahuan bersama komuniti sekolah.

“Kami menerima maklum balas yang positif daripada komuniti sekolah kerana mereka dapat menyaksikan impak yang hebat selepas mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Apa yang lebih menarik adalah pertandingan ini memberi peluang kepada para pelajar untuk bekerjasama dalam sesebuah projek.

“Acara ini juga membuktikan bahawa kerjasama antara pelbagai organisasi; universiti, kerajaan, industri, dan komuniti boleh dilaksanakan dengan jayanya menerusi komitmen penuh daripada semua pihak yang terlibat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Ia selari dengan misi UM untuk meningkatkan pengetahuan dan pembelajaran melalui projek-projek yang berkualiti dan pendidikan untuk negara dan kemanusiaan, justeru bagi mencapainya, kami menggiatkan usaha dengan meningkatkan keterlihatan universiti melalui pengantarabangsaan, kerjasama dan perkongsian bersama pelbagai industri serta pihak berkepentingan,” tambahnya.

Pertandingan DIY Made Simple ini adalah salah satu daripada inisiatif yang telah dilancarkan oleh MR D.I.Y. sebagai sebahagian daripada usaha yang mampan.

Antara inisiatif lain termasuklah #DIY4Sungai, sebuah kempen yang direka untuk memastikan kawasan-kawasan tumpuan pelancong di sepanjang sungai dan jalan air dibersihkan dan dipulihkan agar sedia untuk menerima kunjungan para pelancong semula

Program #DIY4Universities termasuk #DIY4UM dan #DIY4UTAR pula ialah sebuah program dengan usaha sama universiti-universiti tempatan untuk membantu lebih daripada 15,000 pelajar membuat persiapan untuk kembali ke kampus selepas pandemik.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok