SMK Iskandar Shah, Jasin, Melaka muncul sebagai juara pertandingan `DIY Made Simple 2021’.
SMK Iskandar Shah, Jasin, Melaka muncul sebagai juara pertandingan `DIY Made Simple 2021’.

SMK Iskandar Shah menang pertandingan DIY Made Simple 2021

webadmin
21 Dec 2021 12:58pm
A
A
A

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah, Jasin, Melaka, muncul juara pertandingan DIY Made Simple 2021 ke-5, anjuran peruncit perkakas rumah kegemaran rakyat Malaysia, MR D.I.Y. Group (M) Bhd (MR D.I.Y) bersama Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares).

Pasukan yang terdiri daripada 10 orang peserta itu mempertaruhkan projek ‘Mobile Recycle Bin’ dan berjaya membawa pulang Hadiah Emas berupa wang tunai RM4,500.

Kolej Profesional Dungun, Terengganu, dan SMK Ade Putra, Melaka, pula seri di tempat kedua dan memenangi Hadiah Perak berupa wang tunai bernilai RM3,000 untuk setiap kumpulan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi MR D.I.Y. Group, Datuk Azlam Shah Alias dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof Dr Sabri Musa, yang menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Malaya (UM), di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah, Sektor pembangunan dan Kecemerlangan Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan (KPM), Dr Faizulizami Osmin.

DIY Made Simple merupakan pertandingan tahunan yang disokong oleh KPM bertujuan mengajak para pelajar sekolah menengah mencari cara dan kaedah bagi membaik pulih kemudahan sekolah mereka dengan projek do-it-yourself (DIY) menggunakan bahan kitar semula.

Sebanyak 105 buah sekolah dari 13 negeri mengambil bahagian  tahun ini yang bertemakan “Green School - Reimagining Plastic Waste For the 21st Century Classroom”.

Sementara itu, guru pembimbing projek Mobile Recycle Bin yang dihasilkan SMK Iskandar Shah, Cikgu Khairul Nazri Taha berkata, idea untuk menghasilkan produk inovasi itu datang daripada pelajar selepas mengambil kira tentang adanya keperluan untuk menghasilkan tong kitar semula mudah alih di sekolah.

"Sekolah memang menyediakan tong kitar semula tetapi lokasi tong itu agak jauh dari kawasan tumpuan pelajar menyebabkan kami membuat keputusan menghasilkan produk inovasi ini yang mudah dialihkan serta diletakkan di mana sudut yang difikirkan sesuai.

"Kos untuk menghasilkan produk ini menelan kos sebanyak RM45 kerana menggunakan bahan kitar semula manakala masa yang diambil untuk menyiapkan tong ini kira-kira dua bulan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan berkenaan.

Dalam pada itu, Azlam Shah berkata, pihaknya gembira dengan pencapaian dan kerjasama bersama UM sepanjang lima tahun dalam usaha menyemai kesedaran amalan hijau termasuk budaya kerja DIY dalam kalangan generasi muda, selaras dengan matlamat kelestarian MR D.I.Y., di bawah teras alam sekitar.

"DIY Made Simple bukan hanya mencabar kreativiti dan kemahiran berfikir secara kritis para pelajar untuk menginovasi ciptaan yang lestari dan luar jangkaan tetapi juga menggalakkan perkembangan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerjasama berpasukan dan kepimpinan.

"Ia bermula dengan membantu membaik pulih kemudahan sekolah mereka dan sentiasa memelihara persekitaran yang didiami. Apabila dewasa, kami berharap akan dapat melihat mereka menjadi individu yang mempunyai semangat kemasyarakatan yang kuat serta bersedia membantu mereka yang memerlukan.

"Secara keseluruhannya, semua ini adalah untuk mendidik generasi muda kita bagi mencipta persekitaran yang kondusif untuk Malaysia yang lebih baik, dan kami berharap untuk terus melakukannya pada masa akan datang," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok