Perubahan dunia pendidikan negara, PPPTMM bersedia beri komitmen pada KPM
Perubahan dunia pendidikan negara, PPPTMM bersedia beri komitmen pada KPM
‘Dalam menghadapi situasi pendidikan masa kini yang penuh dengan perubahan dan pembaharuan, pembelajaran yang efektif masih tetap berterusan.
Demikian kata Timbalan Pengerusi, Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia (PPPTMM), Mohd Nadzri Abdul Rahman.
Menurutnya, pemansuhan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini, menimbulkan pelbagai persoalan bagi hala tuju cabaran pendidikan.
“Kita percaya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pastinya telah menyedia dan menyusun baik sebarang perancangan pendidikan untuk memastikan murid Tahun 6 bersedia ke peringkat menengah yang lebih mencabar.
“Dari sisi ibu bapa pula, saya pasti mereka merasa lega kerana anak tidak lagi tertekan dalam pembelajaran semata-mata mahu mendapatkan keputusan A dalam semua subjek,” ujarnya.
Mohd Nadzri
Walau bagaimanapun, di sebalik semua itu, sudah tentu ibu bapa tertanya-tanya akan hala tuju pendidikan anak mereka.
Antara pertanyaan yang diberikan
1) Bagaimana ingin pastikan penguasaan anak dalam pelajaran.
2) Adakah anak itu faham apa yang dipelajari selama ini.
3) Bagaimana mahu tahu semuanya jika tiada peperiksaan sebagai penanda aras.
Kata Mohd Nadzri, KPM akan perkasakan pentaksiran berasaskan sekolah untuk menilai dan mengukur pencapaian anak-anak.
“Menerusi pentaksiran ini, anak-anak akan belajar dalam suasana tanpa tekanan.
“Mereka akan fokus dan pemahaman dapat ditingkatkan. Dari situ, penguasaan kepada setiap subjek menjadi optimum,” ujarnya.
Di sebalik perubahan yang berlaku ini, ibu bapa mula dilihat memahami realiti perubahan arus pendidikan dengan melihat kepada pilihan yang lebih positif.
Inilah masanya, tanpa ada tekanan, ibu bapa akan mengambil peluang yang ada dengan menyediakan pendidikan tambahan sebagai nilai tambah kepada pendidikan yang sedia ada di sekolah.
“Jika sebelum ini, pusat tuisyen diberi amanah oleh ibu bapa untuk memberi sokongan pendidikan kepada anak mereka, maka dalam situasi perubahan sekarang ini juga, rata-rata pusat tuisyen kini lebih bersedia dan komited dengan platform belajar yang lebih efektif dan tersusun agar murid tidak keciciran, mendapat tambahan pendidikan yang sebaiknya dan bersedia sepenuhnya untuk dinilai ke peringkat lebih tinggi sebagai kesinambungan pembelajaran berterusan,” jelas Mohd Nadzri.
Sementara itu, PPPTMM akan tetap komited untuk bersama-sama KPM dalam menjayakan perubahan baharu dunia pendidikan negara.
“Sama-samalah kita menggalas tanggungjawab melahirkan anak-anak cemerlang walau apa jua perubahan mendatang,” ujarnya.
Artikel menarik
Hafal sifir cara Cikgu Mohamad Hakim. Mak ayah boleh cuba 6 tip yang dikongsi ini!
"Salah ke saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah?”- Graduan ISMP Universiti Awam