Profesor Dr Ghazali Omar dilantik Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) baharu UTeM
Profesor Dr Ghazali Omar dilantik Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) baharu UTeM

Profesor Dr Ghazali Omar dilantik Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) baharu UTeM

webadmin
07 May 2021 03:04am
A
A
A

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), mengumumkan pelantikan Profesor Dr Ghazali Omar sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang baharu menerusi persetujuan Kementerian Pengajian Tinggi.

Pelantikan itu berkuat kuasa untuk tempoh tiga tahun bermula dari 19 April 2021 hingga 18 April 2024.

Pelantikan ini bagi mengisi jawatan dikosongkan Prof Dr Zulkifilie Ibrahim yang telah menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM.

Dr Ghazali berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian pada 1989 dari Victoria University of Technology, Melbourne, Australia dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Seterusnya beliau memperoleh Ijazah Sarjana Teknologi (Sains Bahan) pada tahun  1995 dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Fizik dari Universiti Malaya pada tahun 2004.

Beliau memulakan kerjaya di UTeM sebagai Profesor di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal pada tahun 2015 dan pada masa yang sama turut dilantik sebagai Pengurus Centre of Excellence (CoE) bagi Advanced Research on Energy (CARe) dan kemudiannya dilantik pula sebagai Pengarah bagi Pusat Pembuatan Termaju (AMC), UTeM pada Julai 2020.

Dr Ghazali mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang industri lebih 21 tahun yang mana beliau telah mencipta nama sebagai seorang pakar yang menjadi rujukan pihak industri secara global.

Beliau merupakan pengasas dan perunding prinsipal bagi EFGO Scientific Sdn. Bhd. Kulim Avenue (2009 hingga 2014) yang memberikan khidmat rundingan kepakaran bidang semikonduktor dan mikroelektronik kepada syarikat-syarikat industri bertaraf dunia.

Hasil daripada kepakaran beliau telah menyumbang kepada kejayaan 51 projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berasaskan teknologi di samping perkongsian kepakaran dalam konteks rundingan profesional kepada 73 buah syarikat industri dalam dan luar negara.

Antara pencapaian terbaik yang pernah beliau telah terima di peringkat kebangsaan ialah Prime Minister Award, Malaysian Best Employee of the Year (2002).

Mengimbas perjalanan karier beliau dalam bidang industri, Dr Ghazali memulakan kerjayanya di beberapa buah syarikat perindustrian bertaraf multinasional antaranya National Semiconductor (1990-1997), ON Semiconductor (1997-2005) dan Infineon Technologies (2005- 2012) dengan jawatan terakhirnya sebagai Pengurus Kanan.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok