Projek kajian pelajar KV Keningau bawa tuah. Bakal terbit dalam jurnal antarabangsa. Tahniah dik!
Projek kajian pelajar KV Keningau bawa tuah. Bakal terbit dalam jurnal antarabangsa. Tahniah dik!

Projek kajian pelajar KV Keningau bawa tuah. Bakal terbit dalam jurnal antarabangsa. Tahniah dik!

Roshlawaty Md Raieh
31 Dec 2020 01:25am
A
A
A

Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah terus menerajui amalan normal baharu dengan pembentangan maya.

Terbaharu, seorang pelajar dari program Teknologi Automotif, Mohd Akmal Hadi Haidon, telah berjaya membentang projek kajiannya di Persidangan Penyelidikan Antarabangsa di Obuda University, Budapest, Hungary, pada 3 Julai 2020.

Mohd Akmal Hadi membentangkan projek yang bertajuk “Rekaan semula jek troli agar ianya lebih selamat, selesa dan cekap”.

Projek tersebut berkenaan proses mengubahsuai rekaan asal jek troli agar ia boleh digunakan untuk mengeluarkan kotak gear kereta dan memindahkannya ke meja kerja untuk proses penyelenggaraan.

Tujuannya adalah untuk membantu mengurangkan bebanan kerja menyelenggara komponen kereta.

Dek kejayaan pembentangan secara online itu, artikel ilmiah Mohd Akmal Hadi bakal diterbitkan di jurnal antarabangsa tidak lama lagi.

Mohd Akmal Hadi di samping sijil penghargaan yang diterima sebagai pembentang.

Menurut Mohd Akmal Hadi, kejayaan yang dicapai itu cukup bermakna.

"Pencapaian ini mungkin tidak dapat dicapai jika bukan kerana sokongan arwah ayah, Haidon Hadi Sapiri sebelum ini.

"Jadi, saya dedikasikan pencapaian ini kepada arwah yang telah pergi pada hari pertama Ramadan, baru-baru ini,"  katanya dengan menambah arwah Haidon merupakan bekas pengetua SMK Agama Kimanis, Sabah dan telah menjadi pengetua kepada beberapa sekolah agama lain di Sabah sejak 1990.

Terdahulu, Mohd Akmal Hadi merupakan Ketua Biro Agama Majlis Perwakilan Pelajar dan aktif dalam bidang inovasi, persidangan dan keusahawanan.

Beliau pernah mewakili KV Keningau di Persidangan Penyelidikan di Brunei dan pertandingan inovasi di Singapura pada 2019 dan beberapa pertandingan inovasi dalam negeri 2018.

Sementara itu, pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Sabin berkata, pencapaian Mohd Akmal Hadi membanggakan pihak sekolah.

"Kami bangga dengan dia. Selain berjaya mengembangkan bakat dan kebolehan dalam inovasi, dia juga telah berjaya membawa nama KV Keningau di mata ramai pihak," ujarnya.

Johari turut berkata, kepentingan amalan baru iaitu menyertai program secara maya sejajar dengan situasi terkini.

"Sejak pandemik Covid-19, KV Keningau telah aktif melibatkan diri dalam program maya dan jarak jauh seperti persidangan maya dan permohonan geran," ujarnya.

Mohd Akmal Hadi menjadikan arwah ayah sebagai idola. 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok