Projek lima sekolah wakili Malaysia ke luar negara, The School Toilet Project antara saingan sengit!
Projek lima sekolah wakili Malaysia ke luar negara, The School Toilet Project antara saingan sengit!

Projek lima sekolah wakili Malaysia ke luar negara, The School Toilet Project antara saingan sengit!

Roshlawaty Md Raieh
24 Dec 2020 06:18am
A
A
A

Hasil projek lima pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Pasir Puteh, Kelantan melakar kejayaan tersendiri apabila terpilih mewakili Malaysia ke Brazil pada tahun hadapan.

Projek yang dikenali sebagai The School Toilet Project itu dianggotai lima pelajar hebat iaitu Wan Nur Athirah Wan Ibrahim selaku Ketua Kumpulan (Tingkatan 4), Nur Fatihah Najwa Mohd Nazri (Tingkatan 4), Rossurzieyatul Ariesha Rosli (Tingkatan 4), Nur Jannatul Adni Osman (Tingkatan 3) dan Siti Sarah Safiya Rennie (Tingkatan 2).

Mereka mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada Guru Cemerlang SMS Pasir Puteh merangkap Guru Pembimbing pasukan berkenaan, Dr Salbiah Mohamed Salleh.

“Terkejut bercampur gembira kerana tidak menyangka akan berada hingga ke tahap ini.

“Saingan cukup sengit namun saya sering tekankan pada anak-anak pelajar bahawa, apa yang kita dapat pada hari ini, adalah rezeki dari Allah SWT,” ujarnya.

Projek pelajar The School Toilet Project dirasmikan Pengetua SM Sains Pasir Puteh, Roslina Abdul Aziz (tiga, kiri) pada tahun 2019.

Tandas sekolah yang ceria dan lengkap hasil kerjasama semua pihak.

Terdahulu, kumpulan The School Toilet Project telah menyertai program National I Can School Challenge secara online anjuran Design For Change iaitu salah sebuah NGO di Malaysia, baru-baru ini.

Program National I Can School Challenge merupakan program berkala setiap tahun yang dilaksanakan di pelbagai negara seluruh dunia.

Lebih 50 buah sekolah rendah dan menengah seluruh negara telah menyertainya dan hanya lima buah sekolah sahaja yang terpilih ke Brazil.

Sekolah berkenaan adalah SMS Pasir Puteh, Kelantan; SMK Parit Panjang, Kedah (How to Manage It, Disadvantages of used Cooking Oil); SMK Kubang Kerian, Kelantan (Able-Me Detector);  SK Desa Cempaka, Negeri Sembilan (Brain Breaks Box) dan SK Raja Bahar, Kelantan (Education 4 All).

Pada 2021, Brazil telah dilantik sebagai tuan rumah dan mereka akan menerima penyertaan dari sekolah yang terpilih untuk berkongsi idea dengan kanak-kanak dari serata dunia.

Pentas Design For Change menghimpunkan idea terbaik kanak-kanak untuk dikongsi dengan pelbagai lapisan masyarakat sebagai sumber inspirasi.

Design For Change percaya suara kanak-kanak ini mampu mengubah dunia.

Kebersihan tandas

The School Toilet Project adalah projek yang mengetengahkan soal kebersihan tandas yang perlu diselesaikan dengan kadar segera.

“Tugasan ini telah dirangka selama dua tahun.

“Pada tahun pertama iaitu 2019, kumpulan ini tersenarai dalam 40 kumpulan teratas dalam satu pertandingan.

“Alhamdullilah, untuk tahun 2020, The School Toilet Project berjaya ke peringkat akhir dan seterusnya bakal ke Brazil untuk sesi pembentangan akhir,” ujar ketua kumpulan, Wan Nur Athirah.

Dua ahli pasukan The School Toilet Project bersama Roslina (tengah) dan Penolong Kanan Ko Kurikulum, Asri Yusof. 

Kata Wan Nur Athirah, sebelum berjaya ke Brazil, mereka telah berusaha dengan gigih untuk memastikan projek kecil itu berjaya dan dikenali ramai.

“Saya dan rakan-rakan telah meluaskan projek dengan melaksanakan kutipan dana melalui media sosial dan melakukan perkongsian maya menggunakan Google Meet.

“Kami juga telah menjalankan kualiti tandas di sekolah menerusi kaji selidik kepuasan pelajar. Malah sistem “rating star” turut dilaksanakan bagi memudahkan pelajar melaksanakan undian,” katanya lagi.

Seterusnya, ahli kumpulan juga berjaya menghasilkan dua inovasi baru iaitu Toilet Bomb dan Hand Sanitiser yang diperbuat daripada limau kasturi untuk membersihkan tangan setiap kali menggunakan tandas.

“Kami mengadakan sesi perkongsian dengan kanak-kanak tadika dan sekolah rendah dan memperkenalkan Modul WUTCH iaitu modul penggunaan tandas dengan cara yang betul,” kata Nur Fatihah Najwa pula.

Didoakan agar The School Toilet Project dan empat sekolah lain lagi akan membawa kejayaan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah dan Malaysia.

Sistem undian untuk mengetahui masalah berkaitan tandas di sekolah.

Perkongsian tentang penggunaan tandas dengan kanak-kanak tadika berdekatan.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok