photo_2021-05-27_15-18-44
photo_2021-05-27_15-18-44

Puisi bahasa isyarat pelajar Malaysia menang di Karnival Seni Portugal

Nor Azma  Muhamat Laila
02 Jun 2021 03:39pm
A
A
A

KENINGAU - Empat pelajar istimewa dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, mengharumkan nama negara apabila berjaya mendapat tempat pertama dalam kategori persembahan puisi bahasa isyarat di Karnival Seni Portugal, baru-baru ini.

Mempertaruhkan persembahan bertajuk “Sign Language Poetry: Mystical Nature”, ia berjaya menarik perhatian empat juri terkenal yang dilantik oleh penganjur, Monolit Festival.

Empat pelajar berkenaan ialah pelajar berkeperluan khas yang berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat iaitu Farhan Azrey Jais, Dymphna Simon, Calvin Junior John Liwo dan Nurazwin Liyana Abdullah.

Kesemua pelajar menyampaikan empat puisi berkaitan dengan budaya etnik di Sabah menggunakan bahasa isyarat yang telah dirakam dan dihantar ke Karnival Seni Portugal yang dilaksanakan secara maya, penghujung Mei lalu.

Sijil kemenangan yang diperoleh pelajar istimewa dari KV Keningau

Farhan Azrey menyampaikan puisi berjudul “Jomo Teko” (Mereka Tiba) yang menyentuh sejarah kaum nomad yang lebih suka menetap di kawasan laut.

Dymphna Simon pula mempersembahkan puisi bertajuk “Ngakak” yang merupakan makhluk mitos dan ditakuti penduduk kampung pada masa dahulu.

Calvinn Junior pula berjaya menggambarkan kecantikan alam semulajadi melalui puisi “Manuk-Manuk” (Serangga Terbang) melalui ekspresi wajah dan pergerakan tangannya.

Penghayatan Nurazwin Liyana dalam mempersembahkan puisi “Mother” pula berjaya menimbulkan perasaan rindu dan kasih sayang dalam kalangan penonton.

Video persembahan mereka boleh diakses melalui pautan YouTube: https://youtu.be/YD-yPOcUNlw

Pasukan ini tekad dalam misi mereka untuk membuka laluan kepada individu berkeperluan khas agar dapat menyertai aktiviti yang kebiasaannya menggunakan bahasa lisan melalui alternatif lain seperti bahasa isyarat.

Mereka berjaya membuktikan bahawa bahasa isyarat mampu digunakan dalam seni persembahan dan menyampaikan mesej karya sastera.

Pengarah KV Keningau, Encik Johari@ Jaibet Sabin, menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian pelajar-pelajar ini yang mampu memberi impak kepada sistem pendidikan khas di negara ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok