WhatsApp Image 2021-06-13 at 15.00.51
WhatsApp Image 2021-06-13 at 15.00.51

Raih 12A dalam SPM 2020, rupa-rupanya ini rahsia yang dibuat pelajar Maahad Muhammadi Lelaki

Nor Azma  Muhamat Laila
17 Jun 2021 05:17pm
A
A
A

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sudah seminggu diumumkan tetapi kisah kejayaan pelajar masih terus dikongsikan di media sosial supaya dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai calon SPM 2021 di luar sana.

Perkongsian di akaun Facebook milik Nik Nur Humaira mengenai pencapaian cemerlang yang diraih pelajar Maahad Muhammadi Lelaki, Pengkalan Chepa, Kelantan, Tuan Amir Fauzan Tuan Soh turut mencuri perhatian warga maya.

Bukan saja mampu meraih keputusan 12A dalam SPM 2020, Tuan Amir Fauzan juga memiliki keperibadian yang baik dan lebih menarik lagi pelajar berkenaan sering menetap di masjid, sekurang-kurangnya tiga kali sebulan untuk membolehkannya solat Subuh berjemaah dan belajar bersama rakan-rakan.

GPS Bestari berpeluang bertanya sendiri mengenai perkongsian yang dibuat di Facebook itu dengan Tuan Amir Fauzan melalui sesi temu bual menerusi telefon baru-baru ini dan pelajar itu dengan rendah diri bersyukur apabila berjaya meraih keputusan cemerlang dalam SPM 2020.

"Pada mulanya saya tidak yakin akan mendapat keputusan penuh 12A apatah lagi subjek yang paling digeruni iaitu Matematik Tambahan sangat mencabar kerana soalan yang keluar agak tersasar daripada jangkaan saya.

"Meskipun begitu, saya percaya sekiranya ada usaha pasti ada hasilnya dan dengan izin Allah, rezeki masih menyebelahi saya apabila berjaya cemerlang dalam subjek itu selepas bertungkus lumus membuat latihan soalan peperiksaan terdahulu berulang kali," katanya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Tuan Amir Fauzan memilih untuk menyambung pengajian ke Universiti Islam Madinah kerana mahu mendalami bahasa Arab.

Berkongsi mengenai rahsia belajar yang diamalkan sehingga mendapat keputusan cemerlang, anak keempat daripada lapan adik beradik itu tidak mempunyai jadual khusus untuk belajar tetapi akan meletakkan sasaran untuk mengulangkaji satu subjek setiap hari.

"Saya lebih suka belajar dalam situasi yang fleksibel dan tidak terlalu terikat dengan jadual tetapi dalam masa yang sama, saya akan pastikan masa yang ada digunakan sebaiknya untuk mentelaah mana-mana mata pelajaran yang saya fikirkan perlu.

"Selain itu, saya akan pastikan ibu bapa sentiasa mendoakan kejayaan saya kerana doa itu adalah senjata mukmin yang paling kuat apatah lagi doa seorang ibu sangat mustajab dan dalam masa sama menjaga silaturahim dengan guru-guru serta rakan-rakan," kongsinya lagi.

Mengulas mengenai keputusan untuk belajar di masjid pula, anak kepada pasangan guru itu mula berbuat demikian ketika berada di Tingkatan Empat selepas mendapat ajakan daripada rakan-rakan yang mahu mereka solat Subuh berjemaah.

"Menjelang SPM, kami buat keputusan untuk merancakkan lagi aktiviti menetap di masjid itu dengan sesi perbincangan dan ulangkaji pelajaran supaya kami bukan saja mendapat manfaat solat berjemaah tetapi juga memperbaiki aspek akademik.

"Saya senang dengan kaedah berkenaan kerana ia bukan saja membantu untuk lebih faham mengenai subjek yang dipelajari tetapi dalam masa yang sama dapat mengeratkan silaturahim antara rakan-rakan," ujarnya lagi.

Kenangan bersama rakan-rakan di Maahad Muhammadi Lelaki, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Mengakhiri perbualan, Tuan Amir Fauzan berkata jika berpeluang, dia bercadang menyambung pengajian di Universiti Islam Madinah kerana terlalu meminati bidang diniah dan Bahasa Arab.

"Bahasa al-Quran ini mempunyai daya tarikan tersendiri menyebabkan saya terpanggil untuk mempelajarinya dengan lebih mendalam lagi," katanya yang bercita-cita bergelar pensyarah satu hari nanti.

Di sini, GPS Bestari sertakan perkongsian yang dibuat Nik Nur Humaira mengenai pencapaian Tuan Amir Fauzan untuk inspirasi pembaca di luar sana.

**************

Saya nak cerita tentang seorang pelajar SPM yang cemerlang dalam 12 mata pelajaran yang diambilnya. Ya, 12. Namanya Tuan Amir Fauzan bin Tuan Soh, pelajar Maahad Muhammadi Lelaki, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Saya mengenali keluarga beliau dengan dekat. Sepanjang lima tahun, setiap pagi baba akan ke rumahnya untuk ambil kak Amani dan Hanan iaitu kakak kepada Amir kerana kami bertiga sekolah sekali di Maahad. Tidak pelik jika Amir cemerlang, kerana kedua kakaknya juga orang 'kelas depan'. Jenis yang akan buat kita teruja untuk tahu markah mereka kerana enak dilihat.

Kak Amani dan Hanan bukan sahaja cemerlang dalam akademik namun terlibat dengan badan dakwah dan badan dobitoh maahad. Begitu juga Amir ini, dia juga memegang jawatan ketua lajnah dalam badan dubat (pengawas) maahad. Kehidupannya sbg pelajar di sekolah penuh dengan aktıviti kepimpinan, usrah dan mesyuarat.

Seperti budak lelaki lain juga, semasa kecil dulu dia suka 'derak' dengan basikalnya. Pernah sekali saya balik ke rumah mereka, saya terkejut melihat basikalnya di atas atap rumah. Rupanya Ustaz Soh letak di situ kerana anak lelakinya sering 'ghaib' dengan basikalnya. Ada juga kak Amani cerita ayah mereka letak TV dalam biliknya setelah mereka adik-beradik bergaduh kerana berebut TV.

Bila ditanya tentang peribadi Amir, kakaknya jawab bahawa Amir bijak menyusun masa dan berdisiplin. Dia tahu bahawa masanya suntuk dengan aktiviti di sekolah, maka dia perlu gunakan masa terluang sebaiknya supaya dapat memberikan hak kepada perkara yang berhak dengan adil.

Selain itu, ada juga beberapa kawannya yang lain sering datang ke rumah untuk belajar dengan Amir, walaupun mereka tidak bersekolah sekali. Kadang-kadang mereka belajar, kadang-kadang mereka bermain. Biasalah budak lelaki.

Namun apa yang istimewa bila kak Amani beritahu bahawa Amir sering mabit (menetap) di masjid. Dalam sebulan, sekurangnya tiga kali Amir akan tidur di Masjid Mukim Panji di belakang rumahnya untuk belajar. Amir akan membawa lampu belajarnya bersama kerana persekitaran gelap memandangkan dia berseorangan di sana. Dia akan balik selepas Subuh pada keesokan harinya.

Bila saya tanya tentang hala tujunya selepas ini, kak Amani kata Amir memang memilih bidang kejuruteraan dalam semua pilihannya. Namun, Amir lebih meminati bidang diniah. Nak tahu ke mana cita-citanya untuk sambung belajar agama?

Dia ingin ke Universiti Islam Madinah, di Madinah Nabi itu. Ini juga cita-cita ayoh dan uminya. Alhamdulillah, di saat universiti ini diserang bertubi oleh golongan ghuluw, namun cahaya kehebatannya tidak langsung menghalang syabab Islam untuk menuju ke sana bagi menimba ilmu.

Saya bersyukur bila mendengar keinginannya ini. Allah SWT mencampakkan rasa suka ke dalam diri Amir untuk menimba ilmu agama. Tidak keterlaluan saya katakan, saya yakin Amir antara pemuda Islam yang boleh memberikan khidmat yang besar kepada agama. Agama kita memerlukan orang bijak pandai bagi menjaganya dan menyelongkar permata agama ini.

Ramai yang terpilih dalam mempelajari bidang agama. Namun yang bersungguh-sungguh dan benar ingin beri khidmat kepada agama itu pula sedikit terpilih. Semoga Amir antara mereka.

Saya kongsikan kisah Amir untuk memberitahu bahawa masih ada pemuda Islam soleh lagi musleh yang sedang digilap. Pemuda yang menghormati kedua ibu bapanya, menjaga solat dan paling utama, mencintai ilmu sebelum wanita. Di sebalik kebobrokan dan keruntuhan akhlak yang dahsyat kini, pemuda seperti Amir masih ada. Dan saya yakin, dunia Islam tidak akan sunyi daripada pemuda sepertinya.

Sohibus Samahah Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah berkata:

"Saya tidak kagum dengan pemuda yang hanya bersemangat. Namun saya kagum apabila semangatnya disulami ilmu, akhlak yang tinggi dan mempunyai pemikiran yang besar & memberikan makna bahawa inilah yang Islam bawa..."

Inilah pemuda yang kita nantikan untuk membangun agama di negara. Pemuda ini telah mendirikan agama dalam dirinya dahulu. Kongsikan kisah Amir ini seluasnya untuk dijadikan contoh & tauladan.

NNH,

Pemuda tiang negara & agama.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok