dbc122a0-00fa-4e26-b5aa-170bcfc85617
dbc122a0-00fa-4e26-b5aa-170bcfc85617

ROBOCON dan ROBOSAS capai kemenangan dalam setiap pertandingan. Apa rahsia mereka? 

Roshlawaty Md Raieh
02 Nov 2021 06:32pm
A
A
A

Tidak dapat dinafikan, masa depan dunia hari ini lebih terarah kepada keupayaan teknologi semasa dan tidak terkecuali bagi proses pengajaran dan pembelajaran di mana ia adalah kehendak dan keperluan institusi pendidikan.

Usaha melahirkan graduan dalam bidang teknologi dan kejuruteraan tidak sekadar menyediakan pensyarah yang berkualiti dan berpengalaman, malah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan juga sekolah-sekolah turut mengambil inisiatif dengan menubuhkan kelab robotik.

Selain bertujuan menyemai minat dalam bidang teknologi, ia juga untuk meningkatkan daya kreativiti pelajar serta memperkukuhkan kemahiran berkomunikasi dan berfikir secara kritis.

Walau apa juga objektif yang diketengahkan, ia pastinya membawa kebaikan dan impak yang tinggi bagi semua ahli kelab robotik.

Sebagai menyokong penubuhan tersebut, GPSBestari bawakan dua kelab robotik IPT yang mempunyai kehebatan masing-masing iaitu ROBOCON Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kelab Robotik Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (ROBOSAS).

Baca juga Cikgu Mohd Shahrudin nekad gali ilmu robotik tanpa jemu, impi bawa murid-murid ke peringkat antarabangsa

Baca juga Signalton 1M dan PeNyaMAN tarik perhatian juri hingga diangkat sebagai johan, hebat inovasi SMAPUTRA!

Jadi pencabar

ROBOCON UTM ditubuhkan pada 2006 dan menjadi salah satu pencabar kepada barisan pasukan robotik dari IPT lain.

Penasihat Utamanya, Dr Sukhairi Sudin berkata, tujuan penubuhan kelab tersebut untuk memberi pendedahan berkenaan dunia robotik dan mempelajari proses pembinaan robot kepada ahli-ahli.

“Bukan itu sahaja, mereka turut didedahkan dengan persekitaran bekerja secara berkumpulan dan perlu menyelesaikan masalah berkaitan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya menambah kelab turut berfungsi sebagai platform mengasah bakat bakal jurutera muda bagi menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Menurut Dr Sukhairi lagi, pelajar yang menganggotai kelab tersebut tidak tertakluk pada pembinaan robot untuk pertandingan semata-mata, tetapi mereka turut berkongsi ilmu melalui bengkel yang disertai dalam usaha menambah pengetahuan mengenai dunia robotik.

ROBOCON UTM meraikan kemenangan mereka pada salah satu pertandingan, baru-baru ini.

Selain Dr Sukhairi, ROBOCON UTM turut diterajui Prof Madya Dr Haziah Abdul Hamid sebagai Penaung dan Ts Ismail Ishaq Ibrahim sebagai Pengurus Pasukan.

INFO

  • Tersenarai dalam10 pasukan terbaik ROBOCON Malaysia 2021.
  • Juara peringkat kumpulan pada ROBOCON Malaysia 2019 dan 2012.
  • Naib Juara peringkat kumpulan ROBOCON Malaysia 2008.
  • Berjaya ke peringkat suku akhir pada ROBOCON Malaysia 2006.

ROBOSAS aktif sepanjang masa

Sementara itu, pengerusi ROBOSAS, Najmi Hafizi Zabawi berkata, penubuhan kelab tersebut bertujuan menyelaras dan membangunkan sistem berasaskan teknologi komputer dan robotik bagi kegunaan umum dan khusus seperti pameran dan pertandingan.

Katanya, sejak penubuhan ROBOSAS, kesemua ahli cukup aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti baik dalaman mahupun luar.

Najmi Hafizi

“Kami pernah turun padang ke beberapa buah sekolah sekitar Kuantan bagi membantu mereka membangunkan robot untuk penyertaan dalam pertandingan.

“Bukan itu sahaja, ROBOSAS juga pernah membangunkan sistem E-UNDI untuk kegunaan dalam pilihanraya pensyarah atau pelajar, di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Politeknik Mukah Sarawak dan Kolej Vokasional Kuantan.

“Seterusnya, kami turut terlibat membangunkan sistem pemanggil graduan menggunakan RFID dan rakaman suara berkomputer yang digunakan pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah,” katanya dan menambah ROBOSAS kini sedang membuat persiapan dalam membangunkan robot untuk pertandingan FIRA peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi tahun 2022.

ROBOSAS bersama pasukan dari Institut Teknologi Sepuluh Nopember, Indonesia seusai perlawanan robot soccer di Kejohanan FIRA RoboWorld Cup di Changwon Exhibition and Convention Center (CECO), Korea pada Ogos 2019.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Ulas Najmi Hafizi, ROBOSAS kini dalam perancangan melebarkan lagi sumbangan kelab kepada masyarakat terutamanya di Kuantan dengan mengadakan kursus berteraskan robotik kepada para pelajar.

“Kami juga dalam perbincangan mewujudkan usahasama dengan pihak industri bagi membangunkan projek inovasi yang dapat memberikan keuntungan kepada mereka dan pengguna.

ROBOSAS bersama pasukan dari Ming Chuan University, Taiwan, setelah berakhirnya perlawanan robot soccer di Kejohanan FIRA RoboWorld Cup di Changwon Exhibition and Convention Center (CECO), Korea, pada 2019.

“Tidak ketinggalan kami juga mengadakan projek berteraskan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada komuniti setempat dan meningkatkan lagi kemahiran dalam kalangan ahli dengan menyertai kursus dan latihan yang ditawarkan oleh pihak tertentu,” ujarnya selaku pensyarah politeknik berkenaan.

INFO

  • Johan kategori Rope Climbing Robot, Pertandingan Robot Universiti-universiti Malaysia 2012 (MURoC 2012) di UniMAP.
  • Naib Johan kategori Rope Climbing Robot, Pertandingan Malaysia International Robot Competitions 2013 (MIRoC 2013) di UniMAP.
  • Pingat Emas kategori Open Creative Robosot di Kejohanan 18th FIRA, Roboworld Cup & Congress 2013 peringkat antarabangsa di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
  • Juara Keseluruhan kategori Robosot di Kejohanan 7th FIRA Malaysia Cup 2014 peringkat kebangsaan di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah.
  • 1 pingat Perak dan 2 pingat Gangsa kategori Robosot di Kejohanan 19th FIRA Roboworld Cup & Congress 2014 peringkat antarabangsa di Shijingshan, Beijing, China.
  • 1 pingat Emas, 2 pingat Perak dan 1 pingat Gangsa kategori Robosot di Kejohanan 8th FIRA Malaysia Cup 2015 peringkat kebangsaan di Politeknik Ungku Omar.
  • 3 pingat Perak dan 3 pingat Gangsa bagi beberapa kategori di Kejohanan 10th FIRA Malaysia Cup 2017 peringkat kebangsaan di Politeknik Sultan Idris Shah.
  • 1 pingat Emas dan 3 pingat Perak bagi kategori Robosot di Kejohanan 11th FIRA Malaysia Cup 2018 peringkat kebangsaan di Politeknik Mersing.
  • 1 pingat Emas dan 1 pingat Perak bagi kategori Robosot di Kejohanan 23 rd FIRA Roboworld Cup & Congress 2018 peringkat antarabangsa di Taichung, Taiwan.
  • 1 pingat Emas dan 3 pingat Perak bagi kategori Robosot di Kejohanan 12 th FIRA Malaysia Cup 2019 peringkat kebangsaan berlangsung di Politeknik Port Dickson.
  • 1 pingat Gangsa bagi kategori Robosot di Kejohanan 24 th FIRA Roboworld Cup 2019 peringkat antarabangsa di Changwon, Korea.
  • 1 pingat Emas bagi kategori Robosot di Kejohanan 13 th FIRA Malaysia Cup Online Edition 2020 peringkat kebangsaan berlangsung dalam talian, di mana Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim menjadi tuan rumah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok