WhatsApp Image 2021-06-15 at 16.09.28
WhatsApp Image 2021-06-15 at 16.09.28

Seramai 95 pelajar program Empower ECER UMK catat keputusan cemerlang SPM 2020

Nor Azma  Muhamat Laila
17 Jun 2021 01:46pm
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 95 pelajar di bawah Program Latihan Kemahiran Akademik Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 apabila sekurang-kurangnya mendapat 5A.

Program Empower ECER dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan biarpun calon SPM perlu mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pengurus Besar Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Negeri Kelantan, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah, berkata modul pembelajaran yang dibekalkan kepada pelajar untuk mengikuti sesi ulang kaji membuahkan hasil dalam membantu mereka belajar di rumah.

"Modul ini mudah diakses untuk memberi kemudahan kepada pelajar SPM memahami subjek dengan lebih berkesan walaupun berada di dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

"Keberkesanan program ini dibuktikan melalui keputusan SPM 2020 yang mana pesertanya beroleh keputusan cemerlang dan membanggakan," katanya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Penyediaan modul latihan membolehkan pelajar membiasakan diri dengan soalan peperiksaan sebenar.

Menurut Wan Mohd Hasnan lagi, Program Empower ECER melibatkan enam jajahan iaitu Bachok, Gua Musang, Jeli, Kota Bharu, Pasir Puteh dan Tanah Merah.

Beliau percaya program ini telah berjaya memanfaatkan seramai 1,200 pelajar SPM 2020 yang melibatkan sebanyak 36 buah sekolah di semua jajahan tersebut melalui pelbagai program yang dianjurkan.

"Antara program yang dijalankan adalah kelas tambahan percuma, program motivasi dalam talian dan program khusus bagi meningkatkan penguasaan pelajar dalam subjek Bahasa Inggeris dan Matematik.

"Di bawah program ECER ini juga, calon SPM akan terus dibimbing untuk memastikan mereka melanjutkan pengajian mengikut saluran yang tepat dan bersesuaian dengan keputusan masing-masing," ujarnya lagi.

Bimbingan dalam talian turut diadakan di bawah Program Empower ECER.

Sementara itu, pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal, Pasir Puteh, Mohammad Faisal Amir Rosli berkata, dia berterima kasih kepada pihak ECER kerana banyak membantu dirinya dan pelajar-pelajar SPM 2020 yang lain terutama dalam cabaran pendemik Covid-19.

"Modul latihan dalam talian yang dibekalkan oleh ECER banyak membantu saya dalam mengekalkan motivasi dan semangat untuk mengambil peperiksaan walaupun berdepan pelbagai situasi termasuklah penangguhan tarikh menduduki SPM sebanyak beberapa kali.

"Sehubungan itu, saya menggunakan sebaik-baiknya peluang ini untuk mengulangkaji pelajaran dan saya bersyukur dengan berkat Allah SWT serta modul latihan akademik ECER banyak membantu saya dan rakan-rakan lain mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2020," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok