HomeGen ZStres jalani latihan amali dalam norma baharu? 5 aktiviti yang dikongsikan ini...

Artikel Berkaitan

Stres jalani latihan amali dalam norma baharu? 5 aktiviti yang dikongsikan ini mungkin boleh membantu anda

Latihan industri merupakan salah satu syarat penting dalam tempoh pengajian para mahasiswa di mana mereka akan didedahkan cara kerja, cabaran dan pengalaman sebelum memasuki alam pekerjaan sebenar.

Pandemik Covid-19 yang melanda negara menyebabkan ramai pelajar terpaksa melalui proses latihan amali secara norma baharu dan sedikit sebanyak membuat mereka merasa tertekan serta buntu untuk memenuhi tugasan yang diberikan.

Pelajar tahun akhir, Program Ekologi Biodiversiti, Universiti Malaya (UM), Mohd Faris Amjad Mohd Fisal yang sedang menjalani latihan industri di Muzium Zoologi UM berkongsi pengalaman praktikal yang perlu dilaksanakan walaupun dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut Mohd Faris, bekerja di Muzium Zoologi memerlukan latihan secara fizikal iaitu mengurus spesimen dengan baik, mempelajari mengenali spesies dan taksonomi haiwan, melabel maklumat pada setiap spesimen, memasukkan maklumat ke dalam pangkalan data muzium, menyusun atur spesimen di dalam rak dan membersihkan spesimen daripada dijangkiti fungus.

Memandangkan situasi pandemik menjadi batu penghalang, namun pelaksanaan latihan industri dalam norma baharu tetap perlu diteruskan iaitu melalui aktiviti secara maya.

Kedengaran agak pelik bukan? Bagaimana latihan industri ini boleh dilaksanakan secara maya? Di sini GPSBestari kongsikan beberapa aktiviti yang sesuai dijalankan di rumah seperti yang dilakukan Mohd Faris.

Diharapkan aktiviti yang dikongsikan dalam artikel ini dapat dijadikan panduan bagi menggantikan latihan pekerjaan di tempat kerja supaya pelajar lebih bersemangat menjalani praktikal dalam norma baharu.

1) Webinar dan bengkel secara dalam talian
Pelbagai webinar dan bengkel yang dijalankan sejak Covid-19 melanda negara pada awal 2020. Banyak pihak seperti badan kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT) dan juga badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan forum, persidangan serta bengkel secara dalam talian bagi membentuk masyarakat agar sentiasa menerima ilmu baharu dan aktif dalam menerusi aktiviti semasa musim pandemik.

Bukan setakat di dalam negara sahaja, malah persidangan antarabangsa juga boleh disertai pada hari yang sama di kediaman masing-masing.
Peserta boleh mencari maklumat dan mendaftar dengan mudah di laman sesawang yang diiklankan atau melalui aplikasi seperti Eventbrite.

Selain itu, penyertaan juga adalah percuma dan ini membolehkan pelajar latihan industri dapat menambah ilmu dan mengenali pakar sambil bertukar pendapat. Di samping itu, ia juga memberi peluang menjalin kerjasama dengan penyelidik tempatan dan antarabangsa secara terus dan mudah.

Contoh persidangan antarabangsa yang telah saya sertai adalah Virtual Youth Changemakers Convention yang diadakan pada tahun 2020. Persidangan ini turut disertai oleh naturalis British terkenal Sir David Attenborough dan juga selebriti British, Cel Spellman. Ini merupakan salah satu contoh persidangan percuma yang boleh disertai oleh sesiapa sahaja secara dalam talian.

2) Lawatan ke muzium melalui aplikasi
Selain itu, terdapat muzium yang telah mengambil inisiatif untuk menerima lawatan pengunjung secara maya. Muzium tersebut mendigitalkan bahan pameran dan pengunjung hanya perlu memuat naik aplikasi yang disediakan agar mereka dapat melihat secara terus melalui skrin peranti.

Ini memberi pengalaman kepada pengunjung untuk merasai sendiri suasana sebenar di muzium di mana mereka seolah-olah sedang berjalan di dalam muzium yang dilawati. Antara muzium yang menyediakan kemudahan maya ini ialah Muzium Negara, Smithsonian National Museum of Natural History, Amerika Syarikat dan The Natural History Museum, London.

Lawatan secara maya bukanlah sesuatu yang baharu. Malangnya, penggunaannya di Malaysia masih belum meluas dan perlu penambahbaikan. Dengan keadaan pandemik ini, lawatan secara maya sesuai dikunjungi oleh setiap lapisan masyarakat bagi menghilangkan kebosanan duduk di rumah. Secara tidak langsung, ia dapat menarik ramai pengguna menikmati pengalaman baharu melawati muzium menerusi aplikasi.

Idea seperti ini boleh direalisasikan di mana-mana muzium zoologi yang terdapat di Malaysia dengan mempamerkan bahan-bahan simpanan haiwan yang terdapat di muzium masing-masing. Kelebihan lain, pelawat dapat mengakses dengan mudah tanpa mengira masa dan tempat serta menjimatkan kos perjalanan.

3) Merekod spesimen melalui aplikasi telefon bimbit
Terdapat aplikasi telefon bimbit yang boleh digunakan untuk menjalankan pemerhatian saintifik tanpa perlu berada di lapangan. Spesies haiwan dan tumbuhan seperti serangga dan burung boleh dijumpai walaupun di kawasan bandar, contohnya gagak Corvus Splendens dan Burung Tiung Acridotheres.

Aplikasi seperti iNaturalist boleh digunakan untuk merekod sebarang pemerhatian. Aplikasi ini mempunyai paparan yang mudah dan mesra pengguna serta boleh merekodkan pemerhatian dari seluruh dunia.

Pengguna juga dapat membantu pengguna lain untuk memberikan cadangan identifikasi bagi mengenalpasti spesimen yang sukar untuk dikenalpasti. Aplikasi ini juga menyediakan data kepada pakar atau penyelidik bagi menjalankan kajian dengan cepat dan mudah.

4) Perkongsian maklumat dalam media sosial
Berkongsi maklumat mengenai spesimen seperti perkongsian gambar spesimen, saiz, bentuk morfologi dan lokasi penemuan merupakan satu cara daya tarikan untuk menarik minat masyarakat mengenali sesebuah muzium zoologi yang terdapat di Malaysia.

Ini secara tidak langsung dapat menjalinkan kerjasama antara pusat koleksi simpanan spesimen dan para penyelidik tempatan mahupun antarabangsa. Ia juga memudahkan proses perkongsian pendapat dan membantu antara satu sama lain sekiranya menghadapi sebarang masalah malah aktiviti ini sesuai dilakukan di rumah.

Antara medium yang boleh digunakan adalah melalui media sosial seperti Facebook, Twitter atau Instagram. Aplikasi TikTok pada masa kini juga merupakan antara media sosial yang paling banyak digunakan oleh golongan profesional untuk mempromosikan bidang kerjaya mereka.

Cara ini dapat menyasarkan minat kepada golongan muda yang menjadi penguna utama medium tersebut. Secara tidak langsung, kita dapat mendidik orang awam mengenai kepentingan hidupan liar dan peranannya terhadap ekosistem alam.

Maklumat lengkap ini juga mudah digunapakai oleh kumpulan pelajar sekolah serta universiti sebagai rujukan belajar. Perkongsian maklumat seperti ini penting bagi generasi seterusnya untuk mengenali hidupan liar yang pernah direkodkan di Malaysia.

5) Menulis rencana atau artikel berilmiah
Antara lain, pelajar industri juga boleh memanfaatkan peluang duduk santai di rumah dengan menghasilkan penulisan artikel atau rencana yang membincangkan sesuatu topik menarik dalam tempoh latihan industri.

Topik yang dibincangkan boleh dikongsikan bersama masyarakat melalui pembacaan di ruangan akhbar, media sosial dan majalah. Kaedah ini turut memberi pengalaman kepada pelajar akan selok-belok penulisan dan mengasah bakat serta keyakinan menulis di samping mencipta nama dan kredibiliti pelajar industri itu sendiri. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sikit-sikit lama-lama menjadi bukit.

Artikel asal oleh Mohd Faris Amjad Mohd Fisal dan Pensyarah Kanan di Institut Sains Biologi UM, Dr Hasmahzaiti Omar.

Artikel Terkini