Untitled (12)
Untitled (12)

Sukan papan selaju latih siswa jadi lebih yakin dan berani

Nor Azma  Muhamat Laila
28 Sep 2021 05:59pm
A
A
A

Kemunculan pelbagai aplikasi permainan dalam talian ketika ini dilihat sedikit sebanyak mengurangkan pembabitan golongan muda dalam aktiviti sukan lasak seperti papan selaju atau skateboard.

Meskipun begitu, sukan ekstrem itu masih lagi dimainkan oleh anak muda pada hari ini malah kanak-kanak juga turut menjadikan papan selaju sebagai sebahagian daripada riadah harian berikutan kemunculan pelbagai produk baharu di pasaran ketika ini yang sesuai digunakan pelbagai lapisan masyarakat.

Bagi kebanyakan mahasiswa di universiti awam (UA) atau institusi pengajian tinggi (IPT), aktiviti lasak itu menjadi pilihan kerana ia memberikan cabaran yang berbeza berbanding sukan lain yang biasa dimainkan seperti bola sepak atau badminton.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Universiti Malaya (UM), Muhammad Rais Azmi, 20, memilih untuk menceburi sukan papan selaju kerana mahu mencari sesuatu yang berbeza apatah lagi dirinya kurang mahir bermain bola sepak atau sukan lain yang sering dijadikan aktiviti riadah oleh kebanyakan orang.

Semuanya bermula pada Oktober tahun lalu apabila Muhammad Rais membuat keputusan untuk bergiat aktif dalam sukan papan selaju sehingga sanggup membelanjakan ratusan ringgit bagi membeli alat kelengkapan sukan berkenaan.

"Saya memang tiada sebarang pengalaman atau pengetahuan asas dalam sukan ini tetapi saya tidak patah semangat sebaliknya sering mencari pelbagai maklumat melalui YouTube dan internet untuk lebih memahami mengenai aktiviti lasak ini.

"Memandangkan peralatan lengkap untuk bermain sukan ini agak mahal bagi saya yang masih bergelar pelajar sehingga mencecah RM500, saya membuat keputusan membeli papan selaju terpakai yang lebih murah dan mampu milik," katanya.

Berdasarkan hasil pencarian di internet, Muhammad Rais berjaya membelinya pada harga RM200 dan digunakan untuk beriadah bersama komuniti sukan itu di Melaka, sehingga ke hari ini.

Anak ketiga daripada enam adik beradik ini berkata, meskipun sukan papan selaju tidak gah seperti bola sepak, basikal atau badminton, ia tetap memberikan kelebihan kepada pemainnya, bergantung kepada sikap individu itu sendiri.

Ubah tanggapan masyarakat

Menurut Muhammad Rais, masyarakat mungkin beranggapan individu yang bermain papan selaju ini terlibat dengan jenayah atau aktiviti tidak baik kerana terpengaruh dengan situasi yang berlaku di negara Barat.

"Mentaliti sebegitu perlu diubah kerana sebenarnya papan selaju adalah sukan yang sihat. Ia bergantung kepada pemain itu sendiri untuk sentiasa mencari aspek positif dalam setiap perkara yang mereka ceburi.

"Bagi saya sukan ini membuka banyak ruang untuk membina rangkaian kenalan menerusi komunitinya dan berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat termasuklah golongan profesional dan usahawan.

"Betullah kata orang, apabila menceburi sukan papan selaju ini ia akan membuatkan kita teringin untuk menceburi beberapa cabang lain yang berkaitan termasuklah industri muzik, perniagaan dan memiliki jenama sendiri," katanya yang turut mengorak langkah mengeluarkan produk miliknya.

Nur Irdina Farzana Amir.

Sementara itu, pelajar jurusan Doktor Perubatan Veterinar di Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Irdina Farzana Amir, 23, pula memilih untuk bergiat aktif dalam sukan papan selaju sejak beberapa bulan lalu atas dasar ingin mencari hobi baru sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus mengurangkan tekanan selepas seharian mengikuti kuliah dalam talian.

Kongsi pelajar yang berasal dari Baling, Kedah ini lagi, dia secara tidak sengaja melihat video-video orang bermain ‘tricks’ dan ‘cruising’ bersiar-siar menggunakan papan selaju di media sosial.

"Kebetulan pula ada seorang kenalan di kolej turut bermain ‘long board’ dan mengajak saya untuk menyertainya. Berbekalkan minat yang lama terpendam pada waktu kecil dahulu, saya beranikan diri mencuba pada umur sekarang.

"Ternyata sukan ini sangat mencabar dan seronok lagi-lagi apabila bermain bersama rakan-rakan kerana mereka saling menyokong antara satu sama lain dan sering berlatih bersama-sama," ujarnya lagi.

Bina keyakinan diri

Anak sulung daripada lima orang adik beradik ini berpandangan bahawa sukan ini memberikan banyak kelebihan kepada pelajar kerana ia membina keyakinan diri dan sikap berani mencuba ketika beraksi di atas papan selaju.

"Bukan mudah untuk mengimbangi badan di atas papan selaju dan untuk berbuat demikian sudah tentunya memerlukan keberanian dan keyakinan yang tinggi malah mental juga perlu kuat supaya tidak cepat putus asa.

"Oleh itu, saya melihat sukan ini sangat mencabar tetapi pada masa yang sama ia membentuk keperibadian pemain supaya menjadi lebih cekal dan yakin berdepan risiko jatuh atau kecederaan sepanjang bermain," kongsinya.

Tuan Shafiq Aiman Tuan Shamsul Azman.

Pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik UM, Tuan Shafiq Aiman Tuan Shamsul Azman turut sependapat bahawa sukan berkenaan boleh membina keyakinan diri dan kemahiran sosial apabila berinteraksi dengan lebih ramai orang di taman papan selaju (skatepark).

"Tidak dinafikan sukan ini sangat mencabar, akan tetapi saya mendapat kepuasan apabila berjaya melakukan sesuatu 'trick' sekali gus membuatkan saya terus bermain meskipun berdepan masalah kecederaan ringan setiap kali mencuba aksi baharu.

"Walaupun sekarang tidak ramai yang memilih sukan ekstrem ini, saya percaya ia akan kembali dimainkan secara meluas di seluruh dunia apatah lagi papan selaju mula dipertandingkan dalam Sukan Olimpik 2020 malah Malaysia juga sudah banyak menyediakan skatepark bagi mendorong orang lain untuk mula bermain sukan ini," tuturnya mengakhiri perbualan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok