HomeGen ZSyaqiera sasar Olimpik Paris 2024, terus fokus jalani latihan untuk raih pingat

Artikel Berkaitan

Syaqiera sasar Olimpik Paris 2024, terus fokus jalani latihan untuk raih pingat

Pemanah wanita kebangsaan, Syaqiera Mashayikh, 22, ternyata terkejut dan tidak pernah menyangka memperoleh peluang begitu cepat untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Peluang keemasan itu muncul selepas Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) memutuskan untuk memilihnya membawa cabaran negara dalam acara recurve individu wanita dan pasukan campuran bersama jaguh memanah negara, Khairul Anuar Mohamad di Jepun.

“Sudah tentunya saya terkejut kerana masih baru dalam bidang ini tetapi dalam masa yang sama tetap berdebar kerana memikul tanggungjawab besar membawa nama negara di Sukan Olimpik.

“Bagaimanapun, saya melihat peluang yang muncul ini sebagai satu pentas untuk saya mempamerkan kebolehan diri, mengumpul pengalaman seterusnya memajukan diri di masa akan datang agar dapat menyumbang pingat kepada negara,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Selain Olimpik Tokyo, Syaqiera pernah membuat penampilan dalam dua lagi kejohanan di peringkat antarabangsa iaitu Kelayakan Sukan Olimpik 2020 dan Peringkat Ketiga Piala Dunia 2021.

Atlet kelahiran Segamat, Johor itu juga merupakan pemanah wanita ketiga negara layak ke Olimpik selepas Mon Redee Sut Txi (Athens 2004) dan Nurul Syafiqah Hashim (London 2012).

Perbaiki rekod peribadi

Penyertaan Syaqiera di pentas Olimpik menyaksikan beliau menamatkan saingan di kedudukan ke-43 dalam aksi penentuan ranking acara recurve individu dan berjaya mengutip 630 mata.

Catatan itu menyaksikan dia yang menghuni ranking ke-355 dunia berjaya mengatasi rekod peribadi terbaiknya sebelum ini dengan 619 mata.

Tidak cukup dengan itu, penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut mengatasi catatan terbaik pemanah wanita negara di pentas Olimpik milik Mon Redee Sut Txi dengan 626 mata yang dilakukan ketika Olimpik Athens 2004.

Berkongsi detik awal pembabitan dalam sukan memanah, Syaqiera berkata, beliau bermula seawal usia sembilan tahun selepas mendapat galakan daripada ayahnya.

“Ketika itu, abang saya turut aktif dalam sukan memanah dan berjaya ke pertandingan peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) sehingga menyebabkan ayah mahu saya juga berbuat demikian.

“Dari situlah saya mula aktif dalam sukan ini sehinggalah ditawarkan menyambung persekolahan ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor dan terpilih menyertai skuad pelapis kebangsaan ketika berada di Tingkatan Lima,” kongsinya.

Tambah anak ketiga daripada enam adik-beradik itu lagi, pada penghujung tahun 2020, beliau mula terpilih menyertai pasukan elit untuk sukan memanah di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).

Berdepan pelbagai cabaran

Seperti kebanyakan atlet kebangsaan yang lain, penuntut jurusan komunikasi itu juga berdepan cabaran dalam meneruskan tanggungjawabnya sebagai atlet memanah dan dalam masa yang sama memenuhi komitmen sebagai mahasiswa.

“Sukan memanah memerlukan ketahanan mental dan fokus yang kuat supaya berani berdepan situasi mencabar ketika pertandingan terutama apabila perlu menewaskan pihak lawan yang hebat-hebat belaka.

“Selain itu, sudah tentunya saya perlu bijak membahagikan masa antara sukan dan pelajaran supaya kedua-duanya berjalan seiring dan saya bersyukur kerana setakat ini tidak mempunyai masalah berikutan sesi latihan diadakan di luar waktu kuliah atau ketika cuti semester,” jelasnya.

Bagi generasi muda yang berminat menceburi sukan memanah di masa depan, Syaqiera menitipkan pesanan supaya mereka membabitkan diri ketika usia masih muda bagi membiasakan dengan penggunaan peralatan.

“Untuk mahir dalam sukan ini memerlukan latihan dan persiapan dari kanak-kanak lagi. Jika persiapan di buat di peringkat usia muda, mereka juga akan lebih mudah mengadaptasi situasi pertandingan dan mempunyai ketahanan mental yang lebih kuat,” tuturnya mengakhiri perbualan.

Biodata
Nama penuh: Syaqiera Mashayikh
Tarikh lahir: 24 November 2000
Tempat lahir: Segamat, Johor
Kedudukan dalam keluarga: Anak ketiga daripada enam adik-beradik
Pendidikan: Bacelor Komunikasi, UPM
Idola: Khairul Anuar Mohamad
Pencapaian: Terpilih ke Sukan Olimpik Tokyo 2020Berjaya mengatasi rekod peribadi terbaiknya daripada 619 sebelum ini kepada 630 mata
Berjaya mengatasi catatan terbaik pemanah wanita negara di pentas Olimpik milik Mon Redee Sut Txi dengan 626 mata yang dilakukan ketika Olimpik Athens 2004.
Berpeluang membuat penampilan dalam dua kejohanan di peringkat antarabangsa iaitu Kelayakan Sukan Olimpik 2020 dan Peringkat Ketiga Piala Dunia 2021.

Artikel Terkini