car-wash-detailing-station
car-wash-detailing-station

Tip membeli kereta mengikut kemampuan gaji bagi yang baru mendapat pekerjaan

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
17 Dec 2021 09:23am

Tahniah! Anda baru sahaja mendapat pekerjaan pertama selepas tamat pengajian. Jadi, ramai di antara golongan ini yang akan mula meninjau untuk membeli kereta pertama.

Ramai berpendapat bahawa dengan menggunakan pengangkutan awam, penjimatan dapat dilakukan.

Namun, tidak semua orang bernasib baik untuk duduk di kediaman yang mempunyai sistem pengangkutan awam yang cekap.

Oleh itu, pengetahuan tentang kenderaan yang ingin dibeli sama penting dengan memilih kereta yang betul mengikut gaji bulanan.

Pengiraan jumlah gaji setahun

Kebiasaannya, apabila berada dalam perancangan untuk membeli kereta, ramai yang inginkan kereta idaman mereka seperti Honda, Nissan, Toyota dan Volkswagen.

Tidak kira jenis apa sekalipun kereta idaman kerana tidak salah untuk mempunyai cita-cita, haruslah diingatkan untuk berpijak di bumi yang nyata dan sedari kemampuan masing-masing. Sebaiknya, jangan membeli kereta yang harganya melebihi daripada jumlah gaji untuk setahun.

Sebagai contoh, gaji sebulan RM3000;

RM3000 x12 bulan = RM36,000

Jadi, disarankan untuk membeli kereta yang bernilai bawah daripada RM36,000. Pada masa kini, sudah banyak kereta yang bertanda harga bawah RM36,000. Jika anda inginkan kereta yang lebih mahal, tidak mustahil kerana gaji RM3,000 sudah melepasi syarat mengikut kelayakan daripada pihak bank.

Namun dengan situasi harga yang semakin meningkat, haruslah berjaga-jaga dan peka terutamanya jika pembeli mempunyai komitmen lain.

Bayangkan jika anda membuat keputusan untuk memilih Honda Civic sebagai kereta pertama, anda perlu membayar hampir RM1,200 sebulan dan belum termasuk kos-kos lain seperti minyak petrol, tol, parkir dan servis kenderaan.

Ansuran bulanan 15 peratus dari gaji bersih

Lagi satu cara yang ideal untuk membeli kereta ialah memastikan bayaran bulanan untuk kereta tidak melebihi daripada 15 peratus gaji bersih.

Contohnya, gaji bersih RM3,000;

15 peratus daripada RM3,000 = RM450

Disarankan untuk berbuat sedemikian kerana kos-kos sampingan yang lain.

Ini adalah senarai kos tambahan untuk dijadikan panduan:

1. Minyak petrol

2. Tambang Tol

3. Parkir kereta

4. Cukai kenderaan/Insurans

5. Cuci kereta

6. Servis

*jumlah kos tambahan adalah berbeza bagi setiap kereta dan bergantung kepada cara penggunaan.

Kita ambil contoh apabila membeli sebuah kereta Perodua Myvi 1.5

1. Bayaran ansuran bulanan

Kos bayaran ansuran bulanan: RM642.84

Kos bayaran ansuran setahun: RM642.84 x 12 bulan = RM7,714.08

2. Cuci kereta

Kos bayaran cuci kereta sebulan: RM30

3. Cukai kenderaan dan insurans

Kos cukai kereta dan insurans setahun: RM1,680 + RM120 + RM1,800

Kos cukai kereta dan insurans sebulan: RM150

4. Petrol

Anggaran kos penggunaan petrol kereta dalam sebulan: RM73.80 x 4 minggu = RM295.20

5. Servis kereta

1. Perodua Engine Oil Fully Syn 0W-20 4L: RM162.00

2. Drain Plug Gasket - Engine Oil: RM3.80

3. Engine Oil Filter: RM11.90

= RM177.70 (tiap 6 bulan)

Kos servis kereta sebulan: RM177.70 bahagi 6 bulan = RM29.61

Keseluruhannya, jumlah kos penyelenggaraan kereta termasuk ansuran bulanan yang perlu ditanggung adalah sebanyak RM1,147.65 untuk setiap bulan.

Kesimpulannya, buat perancangan dengan teliti sebelum membeli. Disarankan juga untuk melakukan selidik dengan bertanya kepada yang lebih berpengalaman ataupun gunakan enjin carian Google.

Sumber: Carsome

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp