3 kaedah mudah tangani keciciran murid Orang Asli, ini perkongsian Ustaz Quszaini
3 kaedah mudah tangani keciciran murid Orang Asli, ini perkongsian Ustaz Quszaini

3 kaedah mudah tangani keciciran murid Orang Asli, ini perkongsian Ustaz Quszaini

Roshlawaty Md Raieh
13 Oct 2022 02:41pm
A
A
A

Keciciran pelajar kerap berlaku dan ia semakin membimbangkan di semua peringkat pengajian.

Senario ini membuatkan, Guru Bahasa Arab, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasukan Polis Hutan, Ipoh, Perak, Ustaz Quszaini Abd Manan, melahirkan kerisauan dan berkongsi beberapa faktor berlakunya keciciran terutamanya murid Orang Asli.

Menurut Ustaz Quszaini, antara faktor yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang berlakunya keciciran adalah sosioekonomi keluarga; personaliti pelajar dan faktor luaran seperti budaya serta persekitaran; pengaruh rakan sebaya serta cara pengajaran guru.

Tambahnya, beberapa langkah drastik perlu diambil oleh semua pihak terutamanya guru, sekolah, kementerian dan juga kerajaan dalam menangani masalah tersebut.

“Di sini saya kongsikan tiga kaedah mudah dalam mengatasi masalah isu keciciran terutamanya murid Orang Asli.

“Semoga ia memberi bermanfaat untuk semua orang,” katanya kepada Sinar Bestari.

Mari ikuti kaedah yang dikatakan Ustaz Quszaini ini.

1) Pertingkatkan kesedaran ibu bapa

Kerajaan dan sekolah perlu memberikan pendedahan kepada ibu bapa tentang keperluan pendidikan. Ibu bapa seharusnya memberi dorongan dan galakan kepada anak-anak mereka untuk hadir ke sekolah. Selain itu, ibu bapa hendaklah terlibat secara aktif dalam setiap aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah. Misalnya, Hari Permuafakatan ibu bapa, sukan sekolah, gotong royong dan lain-lain.

Sekolah juga boleh menganjurkan aktiviti ziarah cakna ke kampung Orang Asli atau ke rumah murid bagi mengurangkan masalah keciciran murid sekali gus dapat mengenali keluarga dan masalah murid tersebut.

Inisiatif ini adalah bertujuan untuk meningkatkan enrolmen murid di sekolah di semua peringkat dan menangani isu keciciran. Inisiatif ini seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang mana ingin mengurangkan isu keciciran dalam kalangan murid.

Aktiviti ziarah cakna ke kampung Orang Asli atau ke rumah murid boleh mengurangkan masalah keciciran murid.

2) Pelbagaikan cara pengajaran guru

Guru perlu menggunakan banyak pendekatan dan kaedah untuk menarik minat pelajar dalam menguasai pelajaran yang diajar. Mereka juga harus berfikiran positif dalam menyediakan peluang pembelajaran dengan mempertimbangkan gaya pembelajaran.

Guru juga boleh cuba kuasai bahasa murid Orang Asli. Ia secara tidak langsung memberi keseronokan kepada murid tersebut. Gelagat dan ketawa girang mereka akan menyebabkan mereka minat untuk ke sekolah dan seronok belajar.

Sebagai contoh, dalam kajian Nik Nur Azizah et al (2018) menyatakan bagi masyarakat Orang Asli, mendapatkan pendidikan formal adalah bukan budaya mereka.

Oleh itu guru perlu menggunakan pelbagai kaedah kreatif dalam pendidikan dan pembelajaran untuk menarik minat masyarakat Orang Asli untuk meneruskan pembelajaran.

3) Wujudkan program di sekolah

Selain ibu bapa, sekolah juga memainkan peranan penting dalam memastikan murid-murid tidak lagi tercicir.

Cadangan saya, mungkin sekolah boleh menganjurkan program motivasi, bengkel menjawab soalan subjek tertentu dan menyediakan pelbagai insentif kepada pelajar seperti dalam bentuk markah, wang, pujian serta penghargaan untuk menarik minat mereka untuk datang ke sekolah sepanjang masa.

Guru Besar SK Pasukan Polis Hutan, Asiah Mohamad Sani (tengah) turut serta dalam sesi kunjungan ke rumah murid.

INFO

Maksud keciciran

1) Murid yang tidak mengikuti pendidikan wajib di sekolah atau murid yang tidak hadir melebihi tiga hari berturut-turut tetapi bukan kerana ponteng dan masalah kesihatan.

2) Murid yang mendaftar tetapi tidak meneruskan persekolahan dalam sistem pendidikan formal (Kementerian Pendidikan (KPM), Sekolah Kerajaan Negeri dan Swasta).

3) Murid yang dianggap keluar dari sistem persekolahan sebelum ia tamat atau menghabiskan tempoh persekolahannya.

4) Murid yang berhenti sekolah sebelum tamat pengajiannya sama ada di peringkat rendah atau menengah (Laporan Murad, 1972).

Jenis keciciran

1) Keciciran sengaja

Disebabkan oleh faktor sosioekonomi, rangsangan dan sikap. Boleh menghadiri sekolah tetapi memilih untuk tidak bersekolah.

2) Keciciran terpaksa

Kegagalan dalam peperiksaan dan terpaksa diberhentikan sekolah walaupun masih mahu ke sekolah dan berupaya berbuat demikian.

Artikel berkaitan 

17 penyelidik gembleng tenaga kenal pasti simptom awal keciciran murid

Elak murid keciciran belajar, guru dan ibu bapa berhubung menerusi walkie talkie

Impian Orang Asli, Arisna mahu jadi contoh terhadap komuniti


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan