Untitled (800 × 600px) (600 × 400px)
Untitled (800 × 600px) (600 × 400px)

5 pemain bola sepak pintar digeruni pihak lawan

firdaus.hanafi
20 Jan 2023 05:15pm
A
A
A

Bola sepak adalah sukan yang paling popular dengan 3.5 billion pengikut seluruh dunia.

Hari ini dapat dilihat ramai pemain handalan yang berkelas ‘dunia’ tidak sekadar bekerja keras untuk menempa nama sebagai pemain profesional untuk aksi mereka di dalam padang.

Bahkan, turut berusaha menimba ilmu untuk menempatkan diri sebaris mereka yang berpendidikan tinggi.

Pemain-pemain itu bukan sahaja melakar kejayaan menjulang piala-piala berprestij tetapi menggapai impian sehingga menara gading.

Sinar Bestari kongsikan antara lima pemain dan legenda bola sepak yang cemerlang di dalam padang dan bidang pendidikan.

Jom kita lihat!

 

Lukaku. Kredit foto: Agensi

1.Romelu Lukaku (Belgium)

Penjaring terbanyak skuad kebangsaan Belgium yang turut menyarung jersi kelab ternama Itali, Inter Milan merupakan penyerang digeruni pihak lawan kerana ketajaman menjaringkan gol.

Begitupun, di luar padang, dia juga dikagumi kerana kecemerlangan dalam bidang pendidikan. Lukaku adalah pemegang ijazah dalam pengajian Perhubungan Awam dari Universiti Leuvren, Belgium.

Selain itu, pemain berusia 29 tahun itu memiliki kemahiran bertutur pelbagai bahasa seperti bahasa Inggeris, Itali, Perancis dan Belanda.

Rodri. Kredit foto: AFP

2. Rodrigo Hernandez Cascante (Sepanyol)

Lebih dikenali dengan panggilan Rodri, pemain tengah pertahanan yang memiliki kemahiran mematahkan serangan pihak lawan pernah menjulang kejuaraan liga bola sepak England bersama pasukan Manchester City.

Selain dikenali sebagai pemain bola sepak, dia juga dikenali dan dipandang tinggi kerana kehidupan peribadi di luar padang.

Pemain berusia 26 tahun itu, berjaya menamatkan pengajian di dalam bidang Perniagaan dan Ekonomi dari Universidad de Castellon, Sepanyol.

Pada 2020, ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 dan terpaksa berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Rodri tidak mensia-siakan masa apabila berjaya menamatkan baki pengajian sekali gus menggenggam ijazah tersebut.

Juan Mata. Kredit foto: AFP

3.Juan Manuel Mata Garcia (Sepanyol)

Juan Mata terkenal dengan sifat rendah diri di dalam padang dan dihormati rakan sepasukan serta pihak lawan.

Dia melakar kejayaan dalam banyak kejuaraan besar arena bola sepak termasuk menjulang Piala Dunia pada tahun 2010.

Pemain bola sepak profesional kelab Turki, Galatasaray AS itu, mempunyai ijazah dalam dua bidang pendidikan iaitu Ijazah Kewartawanan dan Ijazah Sains Sukan dari Universidad Politecnica, Sepanyol.

Kejayaan tersebut diperoleh meskipun sibuk bergelar pemain bola sepak profesional.

 

Frank Lampard. Kredit foto: Football365

4.Frank Lampard (England)

Nama yang tidak asing bagi peminat-peminat bola sepak dunia, Frank Lampard pernah mendapat pengiktirafan daripada Mensa kerana memiliki skor IQ melebihi 150.

Lampard memperoleh 11A dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (GCSE) termasuk mendapat A di dalam subjek Bahasa Latin.

Dia merupakan pemegang rekod sebagai pemain posisi tengah menjaringkan gol terbanyak dalam sejarah liga Perdana England.

 

Kauru Mitoma. Kredit foto: AFP

5.Kaoru Mitoma (Jepun)

Pemain yang baru-baru ini membantu mengharumkan nama Jepun dan benua Asia pada kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar.

Berusia 25 tahun, dia mewakili pasukan liga Perdana England, Brighton and Hove Albion terkenal dengan kelincahan dalam mengelecek bola melepasi pihak lawan.

Namun begitu, kisah menarik Kaoru Mitoma ialah dia pernah menolak tawaran untuk menyertai pasukan profesional di negara sendiri pada usia 18 tahun kerana memilih untuk menyambung pengajian di Universiti Tsukuba, Jepun.

Bermula tahun 2016 sehingga 2019, Kaoru Mitoma memberi tumpuan menghabiskan pengajian dalam bidang Pendidikan Jasmani.

Bahkan, tesis akhir tahun pengajian pemain sayap itu berkaitan sukan bola sepak.

Melalui tesis tersebut, dia melakukan kajian mendalam berhubung cara efekif pemain menggelecek bola dengan memasang kamera di atas kepalanya untuk merakam aksi tersebut.

Pilihan melanjutkan pengajian di universiti ternyata tepat kerana secara tidak langsung dapat mengasah pengetahuan dengan lebih mendalam mengenai sukan itu.

Pada masa yang sama dia turut mewakili Jepun di pelbagai peringkat seperti sukan universiti antarabangsa serta membarisi skuad Olimpik Jepun di Tokyo pada tahun 2021.

Selepas tamat pengajian, dia mengikat kontrak bersama pasukan Kawasaki Frontale di liga bola sepak Jepun, J-League dan meledak 18 gol pada penampilan sulung dalam liga berkenaan.

Artikel berkaitan 

North Kids League cungkil bakat bola sepak pelajar perempuan

Mahu berjaya dalam sukan bola sepak? Ini kemahiran asas yang wajib pelajar tahu

Peraturan ukuran padang bola sepak yang perlu adik-adik tahu

 


 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan