Untitled design (34)
Untitled design (34)

North Kids League cungkil bakat bola sepak pelajar perempuan

Azleenda Sahaludin
22 Dec 2022 09:12am
A
A
A

North Kids League (NKL) menjadi pentas mencungkil bakat dan pelapis bola sepak pelajar perempuan di peringkat akar umbi.

Penganjuran kali kedua liga anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung di Kopa Arena USM baru-baru ini bukan sahaja disertai pasukan pelajar lelaki tetapi wanita dalam merebut kejuaraan.

Menurut penganjurnya, Ajib Hashim, 34, penganjuran pertama melibatkan kategori bawah 12 tahun pada bulan Mac lalu.

"NKL kali ini menunjukkan peningkatan bilangan pasukan yang bertanding lebih-lebih lagi ia turut dibuka kepada pelajar perempuan.

“Pasukan bola sepak yang menyertai pertandingan tidak terhad kepada golongan lelaki sahaja tetapi terdapat pasukan pelajar perempuan yang mempamerkan kehebatan dan kemahiran tersendiri di atas padang," katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Ajib Hashim memberitahu, pasukan perempuan yang menyertai pertandingan kali ini bertanding tidak mengikut emosi malah menunjukkan idea dan kemahiran tersendiri dalam usaha menjaringkan gol untuk pasukan.

Dia menambah, pihaknya mempunyai perancangan untuk mengadakan liga sebegini pada masa hadapan dan ia dilihat sebagai platform terbaik mencari bakat serta pelapis dalam sukan bola sepak negara terutama para pemain perempuan.

Real CJ FC ketika beraksi di padang menentang pasukan lelaki.

Dalam pada itu, pasukan Real CJ FC yang terdiri daripada pemain perempuan berjaya mara ke peringkat suku akhir bagi kategori bawah 12 tahun.

Salah seorang pemain pasukan itu, Nur Dania Batrisyia berkata, ia adalah satu pencapaian membanggakan buat dirinya dan pasukan walaupun merupakan pasukan minoriti dalam liga tersebut.

“Saya dan pasukan tidak berasa gentar meskipun perlu berdepan pasukan lelaki.

“Bahkan, sangat teruja dan merupakan satu pengalaman yang bermakna buat seluruh ahli pasukan,” ujarnya yang berusia 12 tahun itu.

Jurulatih pasukan, Mazizul Yusof, 48, pula menambah, tekanan diterima para pemain berjaya diatasi dengan semangat serta latihan berterusan.

"Seluruh pasukan sudah melakukan yang terbaik dan prestasi mereka sepanjang liga memberikan kepuasan kepada saya sebagai jurulatih.

“Walaupun tidak berjaya meraih kejuaraan, namun pencapaian menjejak kaki sehingga peringkat suku akhir sudah cukup membanggakan,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Program empowerNCER Akademik perkasa pelajar USM sebagai pembimbing pelajar SPM

‘Minden Tigers’, pasukan bola sepak USM

Sukarelawan USM siap sedia misi bantuan banjir


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok