halimi
halimi

6 tip menjadi akauntan bertauliah

Rasyidah Zulkifi
27 Jul 2022 11:21am
A
A
A

Bilangan akauntan bertauliah dalam kalangan bumiputera di negara ini adalah pada kadar yang membimbangkan kerana jumlahnya amat sedikit iaitu menyumbang lima peratus sahaja di pasaran kerja.

Disebabkan itulah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), mengambil inisiatif memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Dengan perjanjian itu, semua pelajar sarjana muda dalam bidang perakaunan di UMK tertakluk kepada syarat pengajian di mana mereka akan dibantu untuk mendapatkan pengiktirafan ACCA supaya dapat menjadi seorang akauntan bertauliah.

Menurut Koordinator Program Perakaunan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) UMK, Dr Nadzirah Mohd Said, 33, untuk menjadi seorang akauntan bertauliah, pelajar perlu mengambil 10 kertas profesional dari ACCA.

“Kalau di universiti awam, ada subjek-subjek yang sudah diajar di peringkat sarjana muda, jadi ACCA berikan pengecualian kredit.

“Untuk peperiksaan yang diberikan pengecualian, graduan tidak perlu menduduki kertas yang sama berulang kali, cuma habiskan baki dua hingga empat kertas yang belum pernah belajar.

“Selepas tamat kesemua (10) kertas peperiksaan ACCA, mereka masih belum diiktiraf sebagai akauntan bertauliah melainkan graduan sudah mendapatkan pengalaman bekerja selama tiga tahun di industri berkaitan,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Walaupun sukar untuk memujuk bekas pelajar menamatkan ACCA selengkapnya, namun Nadzirah tidak pernah putus harapan untuk mendorong mereka menjadi akauntan bertauliah suatu hari nanti.

“Boleh dikatakan setiap kali habis kelas, saya pasti menasihati pelajar jurusan perakaunan UMK supaya mereka menjadi akauntan bertauliah (chartered accountant).

“Di UMK dikira ‘fast track’ sebab pelajar mendapat pengecualian untuk enam kertas, jadi mereka tidak perlu ambil peperiksaan semula. Lagi dua kertas pula dikira semasa mereka menjalani latihan industri.

“Selepas itu, pensyarah meminta mereka untuk ambil lagi baki dua peperiksaan ACCA dalam kampus sebab memang sudah tertakluk dalam struktur penawaran sebegitu,” ujarnya yang menyifatkan graduan dengan ACCA bakal ditawarkan gaji yang lumayan di pasaran.

Untuk itu, Nadzirah turut berkongsikan tip-tip bagaimana hendak menjadi seorang akauntan bertauliah bersama pembaca minggu ini.

**

  1. SKOR DALAM ALIRAN PERAKAUNAN

UNTUK menjadi akauntan bertauliah adalah lebih bagus jika bermula di bangku sekolah. Pilih aliran perakaunan supaya pelajar didedahkan dengan asas terlebih dahulu yang memudahkan mereka untuk skor semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Apabila masuk ke universiti nanti, pelajar tidak akan mengalami kejutan budaya (culture shock) dan dapat mengikuti silibus yang ditawarkan. Selain itu, subjek Matematik, Perdagangan dan Ekonomi Asas juga perlu skor dan difahami dengan baik kerana semuanya saling berkait antara satu sama lain.

2. SAMBUNG KE PUSAT PENGAJIAN TINGGI

PENTING untuk menyambung pengajian sama ada di peringkat asasi, matrikulasi atau diploma. Ini sebagai langkah awal, namun untuk menjadi akauntan bertauliah perlu menyambung ke peringkat sarjana.

3. MOHON BANTUAN KEWANGAN

PELAJAR boleh memohon biasiswa daripada Yayasan Peneraju yang sememangnya tujuan penubuhannya adalah untuk menggalakkan bumiputera supaya menjadi akauntan bertauliah memandangkan jumlahnya tidak ramai. Sekiranya belajar di peringkat diploma, pelajar boleh mendapatkan bantuan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

4. DAPATKAN SIJIL

JURUAUDIT melakukan tinjauan sistem perakaunan AutoCount adalah paling banyak digunakan oleh pengusaha syarikat di Kelantan. Oleh sebab itu, pelajar perakaunan di UMK menggunakan perisian AutoCount sepanjang pengajian di peringkat sarjana muda. Kemudian mereka yang diiktiraf akan mendapat sijil kemahiran kerana ia memberikan nilai tambah semasa ingin memohon kerja dalam industri.

5. LENGKAPKAN ACCA

INI merupakan syarat untuk menjadi akauntan bertauliah di Malaysia, pelajar perlu lulus dan dianugerahkan sijil ACCA. Itu pun setelah berjaya mendapat pengalaman bekerja di industri lebih kurang tiga tahun.

6. DAFTAR AHLI INSTITUT AKAUNTAN MALAYSIA (MIA)

APABILA pelajar sudah menamatkan pengajian tinggi dan mendapat sijil ACCA, mereka boleh mendaftar sebagai ahli MIA. Badan ini mengiktiraf akauntan bertauliah di Malaysia. Kelayakan yang diperlukan adalah pengalaman bekerja sekurang-kurangnya tiga tahun.

Artikel berkaitan

Zaiton teraju MyPAC, bantu lebih ramai pelajar B40, asnaf jadi akauntan bertauliah

Ini 6 tip yang perlu ada pada seorang doktor gigi!

6 tip jadi pemain catur

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan