pexels-pixabay-53621
pexels-pixabay-53621

Zaiton teraju MyPAC, bantu lebih ramai pelajar B40, asnaf jadi akauntan bertauliah

Nor Azma  Muhamat Laila
25 Jul 2022 10:57am
A
A
A

Matlamat utama penubuhan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) pada 2015 adalah sebagai pemangkin atau ‘catalyst’ untuk melahirkan seramai mungkin Akauntan Profesional Bumiputera.

Tidak sampai tujuh tahun organisasi berkenaan ditubuhkan, ternyata ia berjaya melahirkan hampir 1,000 bumiputera berkelayakan perakaunan profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa termasuklah oleh badan profesional seperti Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Salah seorang yang memainkan peranan dalam kejayaan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC, Datuk Zaiton Mohd Hassan, 65, yang sudah bergiat aktif dalam bidang perakaunan sejak tahun 80-an lagi.

“Saya mula aktif dalam bidang perakaunan ketika bertugas di pejabat ACCA di Malaysia, dan seterusnya di Institut Akauntan Malaysia (MIA).

“Daripada pembabitan saya dan rakan-rakan yang lain di dalam MIA, mula timbul kesedaran betapa sedikit penglibatan kaum bumiputera di dalam bidang perakaunan profesional di mana daripada 20,000 akauntan bertauliah yang ada di Malaysia, hanya tujuh peratus saja bumiputera.

Zaiton ketika program MyPAC Careeres Fair 2018 bersama Ketua Pengarah MyPAC, Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Ketua Negara ICAEW, Loh Wei Yuen.

“Bertitik tolak daripada kesedaran tersebut maka tercetus idea penubuhan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) pada 2015 bagi membantu melahirkan lebih ramai akauntan bertauliah terutama daripada golongan pelajar B40 dan asnaf,” katanya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Minat yang mendalam

Berkongsi serba sedikit mengenai detik awal tercetusnya minat dalam bidang perakaunan dan kewangan ini, Zaiton yang juga Ahli Lembaga Pengarah Sunway Berhad berkata, ia muncul ketika beliau di bangku sekolah lagi.

“Semasa zaman persekolahan, salah seorang daripada abang saya yang telah bekerja, sering kali membawa pulang akhbar New Straits Times dan saya sentiasa tertarik untuk membaca serta menganalisis perkembangan serta berita-berita berkaitan bisnes.

“Daripada situ, amat jelas kepada saya akan kepentingan penyata kewangan di dalam menilai kedudukan sesebuah organisasi korporat seterusnya menimbulkan minat dalam diri saya untuk menceburi bidang perakaunan,” kongsinya.

Selain menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC, Zaiton juga dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Professional Accountants in Business (PAIB) Advisory Group oleh International Federation of Accountants (IFAC) yang beribu pejabat di New York.

IFAC merupakan badan induk profesion perakaunan melibatkan lebih daripada tiga juta akauntan seluruh dunia.

Sebagai individu yang sudah lama berkecimpung dalam industri berkaitan kewangan ini, sudah tentunya ada jatuh bangun dan pahit manis yang terpaksa dilalui oleh Zaiton yang juga Ahli Global Council ACCA, United Kingdom (UK).

Berdepan cabaran

Katanya, antara pengalaman paling berharga ialah apabila beliau dan rakan-rakan dapat menggunakan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki untuk menolong menaik taraf kehidupan pelajar daripada golongan asnaf dan B40.

“Dengan mempunyai kelayakan profesional, ia membolehkan mereka mendapat pekerjaan di firma perakaunan terkemuka, syarikat antarabangsa dan tempatan dengan gaji permulaan yang baik sekali gus mengubah masa depan bukan sahaja buat diri sendiri bahkan juga keluarga mereka.

“Bercakap mengenai cabaran pula, seperti yang kita tahu, profesion perakaunan ini berlandaskan integriti dan kebenaran.

“Jadi, kadangkala untuk menegakkan kebenaran tersebut, saya menghadapi pelbagai cabaran tetapi sebagai seorang profesional, saya terus kekal berpegang kepada prinsip kebenaran walaupun ia mengundang cabaran di luar dugaan saya,” jelasnya.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Bagi pelajar yang berminat menceburi bidang perakaunan dan kewangan, Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Plantation Berhad itu menitipkan pesanan supaya mereka perlu memiliki sikap rajin dan berani ke depan.

“Bidang perakaunan ini tidak boleh belajar semasa hendak menduduki peperiksaan saja sebaliknya perlu belajar setiap masa dan kena pastikan supaya betul-betul faham dengan sesuatu topik yang diajar supaya setiap masalah yang datang dapat diselesaikan.

“Pelajar juga perlu berani ke depan untuk mencari ilmu. Jika tidak tahu, perlu rajin bertanya dan berinteraksi dengan pensyarah selain melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran teknikal yang diperlukan dalam bidang ini,” tuturnya mengakhiri perbualan.

PROFIL

Nama Penuh: Datuk Zaiton Mohd Hassan

Umur : 65 tahun

Asal: Singapura

Kedudukan dalam keluarga: Anak bongsu daripada lima adik beradik

Kelulusan Akademik:Felo Association of Chartered Certified Accountants, UK (FCCA)

Jawatan:Ketua Pegawai Eksekutif (MyPAC)

Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Plantation Berhad

Ahli Lembaga Pengarah Sunway Berhad

Artikel berkaitan

Membanggakan! 4 pelajar Malaysia kuasai tempat teratas peperiksaan ACCA dunia

Tidak menyangka mampu peroleh markah tertinggi, dua pelajar UUM harumkan nama negara di peringkat dunia

Hannah Mumtaz harumkan nama negara di peringkat dunia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok