sabariah
sabariah

8 tip penjagaan buku, Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam

Rasyidah Zulkifi
27 Jun 2022 12:22pm
A
A
A

Walaupun norma pendidikan negara sudah berganjak ke arah pendigitalan, perpustakaan dilihat masih lagi relevan pada masa kini kerana ramai ‘ulat buku’ yang bergantung kepada buku berbentuk fizikal berbanding naskhah secara dalam talian.

Jadi, perpustakaan tetap menerima kunjungan pelawat yang tidak putus-putus untuk membuat bacaan dan rujukan.

Menurut Ketua Bahagian Perkhidmatan Pelanggan, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam, Sabariah Sayuti, 52, ramai pelawat yang datang ke perpustakaan berkenaan tanpa mengira lapisan masyarakat, agama dan bangsa.

Sabariah

“Sebelum fasa endemik Covid-19, anggaran 5,000 hingga 6,000 pelawat ke perpustakaan setiap hari termasuk hujung minggu.

“Kalau pada hari bekerja pula kami menerima kunjungan 1,000 hingga 2,000 pelawat. Semasa pandemik pun terdapat 200 hingga 300 pelawat yang datang.

“Selepas negara beralih dari fasa pandemik ke endemik, berlaku peningkatan dalam jumlah pelawat yang mendadak di mana Ahad minggu lalu kami menerima kunjungan seramai 1,800 pelawat,” katanya ketika ditemu bual, baru-baru ini.

Tambahnya, selain dari e-buku, PPAS Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam juga menyediakan khidmat pangkalan data kepada pengguna.

“Sebanyak 18 pangkalan data yang kami beli sendiri dan melalui konsortium dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) iaitu dipanggil sebagai u-Pustaka.

“Sambutan sangat memberangsangkan dan menggalakkan dalam kalangan pelajar-pelajar serta kumpulan penyelidik.

“Namun begitu, peminjam terbanyak untuk e-buku bagi 2021 adalah kanak-kanak berumur 13 tahun,” ujarnya sambil menjelaskan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sukar bagi peminjam untuk mendapatkan akses kepada buku fizikal.

Berpeluang bertemu Sabariah sudah pasti tidak disia-siakan Sinar Bestari dengan bertanyakan tip penjagaan buku konvensional.

**

Jom ikuti penjagaan yang dikongsikan bersama!

1. Balut buku berjaket

Buku berjaket biasanya berkulit keras atau dipanggil ‘hardcover’ yang datang dari luar negara dan harganya agak mahal. Pustakawan akan membalut setiap buku yang

berjaket dengan satu plastik khas dipanggil ‘filmolux’.

Pembalut buku ini ditempah khas untuk mengelakkan bahagian tepi buku daripada rosak, debu dan minyak melekat padanya.

2. Bersihkan buku dan rak

Tukang cuci akan membersihkan buku-buku di perpustakaan dengan kerap. Ini bagi membersihkan buku dan rak daripada habuk serta debu.

3. Buat bacaan rak

Setiap hari kakitangan akan membuat penyusunan buku dan bacaan rak atau ‘shelfreading’. Subjek perkara buku tersebut akan disusun mengikut kategori dan genre memudahkan ‘tracing’ dan pencarian buku-buku tersebut.

4. Buku disusun secara menegak dan telentang

Buku disusun dalam keadaan menengak agar sentiasa dalam kondisi yang cantik, tidak senget dan mudah dicari. ‘Book spine’ atau tulang buku akan berada pada kedudukan luar, begitu juga tajuk. Kalau buku bersaiz besar akan disusun secara telentang. Ia bagi

memastikan kualiti buku itu sentiasa terbaik. Selain itu, kalau buku-buku tidak penuh dalam rak dan ada ruang penghadang buku atau ‘bookend’ diletakkan supaya ia tidak jatuh.

5. Jaga kelembapan suhu buku

Setiap bulan akan ada pegawai yang datang untuk memeriksa dan mengukur kelembapan suhu dengan alat yang dipanggil termohigrometer bagi memastikan suhu yang ada dalam perpustakaan sesuai untuk pemeliharaan buku. Suhu buku yang sesuai dalam perpustakaan adalah 21 darjah Celsius dan untuk kelembapan 50 darjah Celsius. Penghawa

dingin juga akan sentiasa dipasang untuk mengelakkan buku-buku daripada 'kepanasan'. Kalau buku 'panas' ia akan bertukar warna di mana dalamnya akan menjadi kekuningan.

6. Kawalan serangga

Pasukan kawalan serangga akan datang ke perpustakaan untuk memastikan ruang sentiasa bersih daripada serangga seperti lipas, anai-anai dan semut. Oleh itu, pengguna dilarang makan dalam perpustakaan untuk memastikan buku-buku dalam keadaan selamat dan terjaga.

7. Rak buku berkualiti

Di perpustakaan, kesemua rak buku diperbuat daripada bahan yang berkualiti iaitu logam yang tidak mudah berkarat. Sekiranya rak berkualiti rendah, ia mudah berkarat dan akan merosakkan buku.

8. Pelekat sayangi buku

Pelekat ini ditampal pada setiap buku agar peminjam dapat menjaga buku dengan baik dan mengelakkan daripada sebarang kekotoran. Jangan makan sambil membaca. Disebabkan makan dan tangan berminyak, buku akan menjadi kotor. Untuk menjaga buku, dalam perpustakaan terdapat tempat khas untuk makan seperti di kafe atau ‘marketplace’. Perpustakaan juga sediakan tempat untuk tinggalkan barangan makanan di luar kawasan buku dan rak.

Artikel berkaitan

8 tip kawal penggunaan gajet 

8 tip mengawal gemuruh di atas pentas 

8 tip buat nota mudah dibaca, pelajar perlu ikut

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan