9 tip menghasilkan kulit batang buruk
9 tip menghasilkan kulit batang buruk

Mak Roha kongsi 9 tip hasilkan kulit batang buruk, memang unik, sedap dan istimewa!

Roshlawaty Md Raieh
25 Apr 2022 02:46pm
A
A
A

Kuih batang buruk merupakan sejenis kuih tradisional yang sangat popular apabila tiba musim perayaan.

Ini kerana, kuih tersebut antara yang sentiasa dicari oleh peminatnya walaupun biskut-biskut moden dan terkini sudah memenuhi ruang meja tamu di rumah masing-masing pada Hari Raya Aidilfitri.

Menurut pengusaha kuih batang buruk terkenal dari Johor, Misroha Sakuri, 54, atau lebih dikenali sebagai Mak Roha, batang buruk sangat istimewa di hati penggemarnya kerana ia diperbuat daripada kulit tepung adunan sendiri.

Malah, rasanya yang rangup dan tidak terlalu manis itu antara faktor kuih batang buruk Mak Roha menjadi kegilaan ramai.

Sudah menceburi lebih 30 tahun dalam bidang pembuatan kuih tradisional, Mak Roha berkata, dia turut menghasilkan beberapa kuih tradisional lain seperti kuih siput, maruku dan rempeyek.

“Kuih batang buruk adalah produk paling top dan terlaris yang dihasilkan oleh jenama Mak Roha Food.

“Setakat ini, permintaan terhadap kuih batang buruk dan kuih tradisional yang lain semakin meningkat terutama pada musim perayaan.

“Kerana permintaan yang luar biasa itu, pekerja tambahan meningkat daripada 10 kepada 20 orang bagi membantu proses persiapan tempahan semua jenis kuih tradisional,” katanya yang tinggal di Kampung Seri Merlong, Rengit, Batu Pahat, Johor.

Sambung Mak Roha lagi, kuih batang buruk itu merupakan resipi turun temurun dan ia telah melalui beberapa penambahbaikkan dari segi kualiti dan juga menepati cita rasa pelanggan.

“Alhamdulillah, rata-rata mereka yang membeli kuih tradisional Mak Roha pastinya berpuas hati.

“Malah ada yang membeli batang buruk dalam kuantiti yang banyak hanya untuk dikongsi bersama ahli keluarga.

“Juga tidak terkecuali pelanggan dalam talian di platform Shopee juga boleh mendapatkan kuih batang buruk ini untuk hidangan Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya yang turut membekalkan batang buruk kepada lima buah kilang kerepek sekitar Johor dan Selangor bagi memenuhi permintaan daripada pelanggan jauh.

Sebagai ‘orang lama’ dalam pembuatan kuih tradisional, Mak Roha berbesar hati untuk berkongsi beberapa tip dalam menghasilkan kulit batang buruk yang sedap.

Mari kita lihat resipi Mak Roha seperti mana yang diberitahu kepada Sinar Bestari pada sesi temubual baru-baru ini.

Cara membuat kulit batang buruk

  1. Menyukat air mengikut sukatan yang betul supaya doh tidak terlalu lembut atau keras untuk memudahkan proses menipiskan doh menjadi helaian.
  2. Semasa proses menipiskan doh, letak sedikit tepung di antara lapisan untuk mengelakkan ia melekat.
  3. Pastikan doh yang telah dinipiskan menjadi helaian tidak terlalu tebal atau nipis kerana ia boleh mempengaruhi tekstur rasa sama ada keras atau terlalu rapuh.
  4. Semasa proses menggulung, letak sedikit air dan tekan pada bahagian hujung untuk mengelakkan ia terbuka sewaktu menggoreng.
  5. Untuk mendapatkan tekstur yang rangup, pastikan minyak betul-betul panas.
  6. Untuk proses salutan tepung, pemilihan kacang hijau amatlah penting untuk menentukan rasa asli pada batang buruk itu sendiri.
  7. Kacang hijau yang dibeli mentah perlu disangai sehingga kekuningan untuk menambahkan lagi aroma rasa.
  8. Kacang hijau yang telah disangai perlu dikisar halus dan dibancuh mengikut nisbah 3:1 bagi mengekalkan rasa keasliannya.
  9. Semua bahan perlu disimpan dan dilakukan di tempat kering atau pada suhu bilik untuk mengelakkan kerosakan dan elak daripada terkena cahaya matahari.

Doh dipotong mengikut saiz acuan.

Doh yang telah siap untuk digulung.

Kulit batang buruk yang telah siap disusun di atas dulang.

Kelongsong yang digaul bersama kacang dan juga gula.

Batang Buruk Mak Roha

  1. Kacang hijau dibakar serta 100 peratus dikisar di kilang sendiri.
  2. Serbuk halus dan mempunyai bau yang harum tidak tengik.
  3. Rasa manis yang sempurna diadun bersama aroma kacang.
  4. Pilihan pembungkusan mengikut cita rasa anda.
  5. Kulit yang diperbuat daripada adunan tepung gandum bukan daripada kulit popia.
  6. 100 peratus buatan sendiri.
  7. Ranggup, lembut, tidak keras dan rapuh.

Bagi yang ingin mendapatkan kuih batang buruk Mak Roha, boleh layari Facebook Mak Roha Food untuk tempahan.

Artikel berkaitan

Batriah teruskan legasi, jadi pewaris Lemang Pak Ali

Tak sangka ada sawah padi dalam kawasan sekolah. Memang hebatlah SK Batu Laut

Disiplin diri kunci kejayaan pelajar UTM, rangkul Anugerah Canselor dan Anugerah Akademik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan