Murnni bersama pemain bola jaring Sekolah Tun Fatimah yang menjadi johan dalam Kejohanan Bola Jaring Pusat Latihan Negeri.
Murnni bersama pemain bola jaring Sekolah Tun Fatimah yang menjadi johan dalam Kejohanan Bola Jaring Pusat Latihan Negeri.

Jurulatih Lili Murnni kongsi tip jadi atlet bola jaring berjaya

Rasyidah Zulkifi
23 May 2022 05:03pm
A
A
A

Bagi pelajar yang aktif bersukan pasti sudah tahu mengenai kewujudan sukan bola jaring di sekolah.

Sukan ini adalah antara pilihan yang terdapat dalam senarai aktiviti kokurikulum seperti yang ditetapkan pihak sekolah.

Menurut jurulatih bola jaring, Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Lili Murnni Muhamed, 42, bola jaring merupakan sukan yang dipelopori kaum wanita.

Baca juga

Sukan bola jaring buka laluan kerjaya – Fazdlun

6 kemahiran asas bola sepak yang perlu pelajar tahu

Tambah beliau, sebelum memulakan kerjaya sebagai guru Pendidikan Jasmani (PJ) dia merupakan pemain bola jaring sejak di bangku sekolah.

Kecenderungannya terhadap sukan tersebut semakin membara apabila menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

“Kalau ikutkan asalnya saya bukan pemain bola jaring sebab dari sekolah menengah saya merupakan pemain bola baling.

Murnni bersama pemain bola jaring Sekolah Tun Fatimah yang menjadi johan dalam Kejohanan Bola Jaring Pusat Latihan Negeri.

“Apabila sambung pengajian di UPSI, saya menyertai pasukan bola jaring dan bermula dari situlah saya bermain untuk universiti dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).

“Selepas itu, ketika mengajar, saya diberi peluang menjadi guru penasihat bola jaring sampai sekarang,” kongsinya.

Guru yang mempunyai 18 tahun pengalaman dalam kejurulatihan bola jaring itu menyifatkan sukan ini sebagai permainan yang cerewet di mana atlet perlu membuat persiapan yang teliti untuk merangkul kejuaraan.

Pada masa yang sama ia mampu membentuk pemain menjadi seorang yang berdisiplin, bekerjasama, mematuhi peraturan dan cemerlang.

“Untuk sukan ini, setiap pemain perlu fikirkan persiapan yang perlu dilakukan untuk berjaya sekiranya hendak memenangi suatu perlawanan.

“Sukan ini satu aktiviti yang memerlukan fokus, disiplin, ketahanan emosi, mental dan fizikal yang baik.

“Ini diperlukan bagi menghadapi pihak lawan dan paling penting kena ada target,” tuturnya lanjut.

Tip menjadi pemain bola jaring yang berjaya

Beritahu Lili Murnni lagi, tip pertama untuk menjadi pemain bola jaring yang hebat adalah disiplin.

Lazimnya, pemain perlu berdisiplin dalam soal masa di mana mereka perlu berada di gelanggang awal dari waktu yang ditetapkan.

“Jika latihan bermula pukul 5 petang, pemain perlu bersedia 10 minit awal.

“Itulah tip bagi mengelakkan jurulatih menunggu pemain kerana disiplin ini juga kita akan terapkan di dalam permainan.

“Apabila ahli junior melihat sikap ini, ia akan menjadi ikutan yang berterusan,” katanya.

Menyambung tip kedua, Lili Murnni menjelaskan, pelajar perlu kuat dari segi mental dan fizikal.

“Jangan culas untuk membuat latihan. Andai kata jurulatih beritahu dalam tiga minggu pertama buat ‘fitness cardio’, jadi pemain kena joging empat atau lima kilometer sehari.

Bola jaring sukan yang cukup popular dalam kalangan pelajar-pelajar perempuan.

“Tip ketiga pula ialah mendengar arahan dengan betul kerana saranan yang diberikan akan memberi manfaat kepada pemain,” ujarnya.

Lili Murnni berkata, tip keempat untuk menjadi pemain bola jaring yang berjaya adalah bijak mengurus jadual harian.

“Mereka perlu pandai membahagikan masa antara belajar, bermain dan juga waktu untuk diri sendiri.

“Ada dalam kalangan atlet bola jaring sekolah terdiri daripada mereka yang merupakan pemimpin sekolah dan pengawas yang perlu banyak membahagikan masa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Jadi disinilah kita boleh melihat dan menilai pemain itu betul-betul boleh menyusun waktu mereka dengan teratur,” katanya.

Menyambung tip kelima, menghormati guru dan pemain.  Seterusnya tip keenam, jangan sombong, angkuh, riak dan bangga diri.

Lili Murnni berharap legasi sukan bola jaring peringkat sekolah tidak dipandang remeh kerana atlet boleh menjadi pendidik dan jurulatih pada masa akan datang.

BIODATA

Nama: Lili Murnni Muhamed

Umur: 42 tahun

Anak: Ketiga daripada sembilan beradik

Jawatan: Guru kanan mata pelajaran Kemanusiaan

Pengkhususan: Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK)

Sejarah Perkhidmatan:Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar, Melaka (2003-2006)

Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru (2006-2022)

Pendidikan:Sekolah Kebangsaan Sri Gunong, Bachok, Kelantan

Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gunong, Bachok, Kelantan

Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan

Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sukan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak

Pengalaman menjadi jurulatih: 18 tahun

Pencapaian: Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2009 dan 2018

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan