kimia
kimia

Kepelbagaian aktiviti pembelajaran, guru kongsi usaha tarik minat pelajar belajar subjek Kimia

webadmin
09 Sep 2022 09:11am
A
A
A

Subjek Kimia sering dianggap sebagai salah satu subjek yang sukar oleh para pelajar kerana terlalu banyak perkara perlu diingati serta difahami dan seterusnya menyebabkan pelajar mula hilang minat terhadap subjek tersebut.

Kenyataan ini disokong oleh kajian Johnstone, (1982) yang menyatakan subjek Kimia adalah subjek yang merangkumi konsep abstrak kerana ia melibatkan struktur dalam jirim.

Kebiasaannya, pelajar menghadapi masalah untuk menguasai konsep kimia kerana ia agak sukar dikuasai berbanding subjek sains yang lain.

Atom, molekul, elektron dan ikatan kimia adalah sesuatu yang benda mikroskopik dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Oleh itu, sebagai guru kimia, kita perlu cuba sedaya upaya menarik minat pelajar belajar subjek Kimia.

Sinar Bestari ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi tentang aktiviti yang dilakukan oleh Guru Kimia SMK Sungai Pusu, Cikgu Saibahtul Islamiah Rosly sebagai usaha menarik minat pelajar di sekolahnya untuk mempelajari subjek Kimia.

Jom ikuti perkongsian tersebut

***

Panitia kimia kami telah melakukan aktiviti secara amali semasa belajar ikatan kovalen dengan menggunakan plastik ‘laminate’ dan stiker bulat yang akan mewakili elektron.

Pelajar akan melihat dengan lebih jelas pembentukan ikatan kovalen apabila plastik ‘laminate’ yang dilukiskan petala digabungkan bersama.

Penggunaan kertas 'laminate' memberi gambaran jelas bagaimana pergerakan elektron.

Bagi mengukuhkan lagi proses lukisan susunan elektron untuk sebatian kovalen, pelajar telah diperkenalkan akronim ‘SUPER FOR THE BEST’ yang akan membantu mereka melukis susunan elektron dengan betul.

Selain itu, pelajar didedahkan dengan kaedah visual semasa mempelajari pengekstrakan bijih besi di mana panitia kami memperkenalkan Teknik Tangan Ekstrak Bijih Besi 1,1,2.

Ia dilaksanakan dengan menukarkan teks yang panjang kepada bentuk visual. Pelajar menggunakan tangan mereka sendiri yang mewakili relau bagas dan telah terbukti keberkesanannya.

Dalam pada itu, aktiviti lakonan turut diketengahkan kepada pelajar. Sebagai contoh, setiap pelajar akan mewakili elektron dan mereka perlu bergerak berdasarkan pergerakan zarah.

Dalam pembelajaran ikatan kovalen, guru meminta pelajar berlakon dengan menggunakan medium wang ringgit dan guru akan memberi penjelasan bagaimana ikatan kovalen boleh terbentuk melalui perkongsian elektron.

Lakonan juga boleh dijadikan sebagai salah satu teknik pembelajaran yang menyeronokkan di dalam atau luar kelas.

Kaedah neumonik juga membantu murid kimia menjawab soalan esei di samping memberi lebih pemahaman terhadap sesuatu konsep.

Contoh kaedah neumonik untuk menghafal sesuatu proses dalam subjek Kimia

Contohnya, pelajar diperkenalkan neumonik untuk subtopik kereaktifan logam kumpulan 1 atau 17 iaitu ‘Sa ja datang senang riak’.

Sa mewakili saiz atom, ja mewakili jarak antara nukleus dan elektron, datang mewakili daya tarikan nukleus dan elektron, senang mewakili senang menerima dan melepaskan elektron dan riak mewakili kereaktifan.

Dalam topik garam yang terdapat dalam silibus subjek Kimia, pelajar telah dibawa melawat tempat-tempat dengan kepekatan garam yang tinggi menggunakan Google Earth.

Antara tempat yang dilawati secara dalam talian menerusi Google Earth.

Aktiviti-aktiviti berkenaan adalah sebagai antara usaha untuk menarik minat pelajar mempelajari subjek Kimia dan mewujudkan suasana seronok di dalam kelas.

Maklumat penulis

Guru SMK Sungai Pusu, Gombak, Selangor, Cikgu Saibahtul Islamiah Rosly

Artikel berkaitan

Guru Cemerlang kongsi jalan pintas skor A+ Kimia SPM 2022

Cipta banyak kejayaan sepanjang 9 tahun bergelar guru, Cikgu Rahim buat warga sekolah bangga!

Eksperimen sains mudah dan menyeronokkan, murid boleh cuba di rumah nanti!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan