SPM STPM
SPM STPM

Mari sambung belajar dan bina kerjaya

Rasyidah Zulkifi
28 Sep 2022 05:29pm
A
A
A

Menyambung pengajian di menara gading bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pengajian Malaysia (STPM) adalah satu keputusan besar yang akan menentukan hala tuju kehidupan mereka pada masa depan.

Disebabkan itulah pelajar-pelajar perlu membuat pilihan yang sewajarnya agar tidak tersalah langkah kerana apabila sudah memutuskan untuk tidak sambung belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), maka secara tidak langsung ia akan menutup ruang membina kerjaya pada masa hadapan.

Menurut Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md Isa, 55, permulaan untuk membina kerjaya bukanlah selepas tamat pengajian tinggi.

“Perkembangan kerjaya ini bermula ketika pelajar itu menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT), seawal usia 18 tahun dalam apa jua bidang yang dipilih.

“Dengan perancangan ini, ia akan memudahkan urusan bagi mendapatkan pekerjaan apabila menamatkan pengajian kelak.

“Asalkan ada ilmu, kemahiran dan pengalaman ia pastinya akan membantu pelajar untuk pergi lebih jauh dalam karier,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Ujarnya, melanjutkan pelajaran di IPT merupakan bekal yang terbaik dalam kehidupan kerana ia akan berkekalan dan tidak hilang begitu sahaja.

“Kita akan bekerja dalam tempoh yang panjang lebih kurang 40 tahun, dari situ sudah tentu akan ada kenaikan jawatan, pangkat dan peranan di mana ia lebih mudah dicapai atau lebih terjamin sekiranya seseorang itu berpelajaran.

“Kalau tiada bekalan tersebut, maka anak muda akan mengalami kesukaran untuk bersaing dalam jangka masa panjang.

“Jadi, jangan terperangkap dengan peluang pekerjaan dengan kelayakan rendah tanpa diploma atau ijazah di pasaran,” ujarnya.

Untuk itu, Amir Hamzah berkongsi tip sambung belajar dan panduan membina kerjaya selepas tamat pengajian kepada lepasan SPM dan STPM. Jom kita lihat!

**

3 tip sambung belajar

1. Teliti bidang pengajian

Kebanyakan pelajar akan keliru apabila hendak membuat permohonan menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta kerana terdapat pelbagai pilihan kursus yang ditawarkan. Jadi, sebelum memohon mana-mana kursus, calon perlu seimbangkan pemilihan bidang dengan elemen minat, kelayakan dan strategi.

2. Jangan tutup peluang sambung belajar

Satu tanggapan yang salah sekiranya pelajar-pelajar yang gagal tawaran UPUOnline merasakan mereka tidak layak atau tiada peluang untuk menyambung pengajian. Jika rayuan UPUOnline tidak berjaya, jangan susah hati atau bersedih kerana anda boleh memohon IPTS. Jadi, jangan sesekali menutup pintu untuk sambung belajar kalau gagal mendapatkan penempatan di IPTA.

3. Pilih peringkat pengajian yang betul berdasarkan kemampuan

Bagi pelajar yang mendapat keputusan sederhana dalam peperiksaan SPM disarankan untuk terus menyambung ke peringkat diploma, memandangkan tempoh pengajian singkat yang memakan masa dua tahun setengah ke tiga tahun dan selepas itu pelajar boleh terus masuk ke alam pekerjaan. Walaupun sudah bekerja, anda boleh menyambung pengajian di peringkat sarjana muda secara separuh masa. Bagi pelajar yang mendapat keputusan cemerlang pula disarankan untuk terus sambung Tingkatan Enam atau asasi dan ini merupakan jalan singkat ke program sarjana muda.

4 sikap bina kerjaya

SEBELUM TAMAT PENGAJIAN

1. Jadi pelajar terbaik

Pelajar terbaik adalah mereka yang menggunakan sepenuhnya tempoh pembelajaran di IPT untuk mempersiapkan diri ke alam pekerjaan. Pelajar juga hendaklah mengemas kini resume semasa dalam mod pengajian lagi. Sewaktu bergelar pelajar, anda mestilah berusaha mendapat keputusan yang bagus dan bukan cukup makan sahaja serta pada masa sama perlulah aktif berpersatuan dan juga kokurikulum. Ini kerana majikan tidak hanya melihat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sahaja, malah yang dititikberatkan adalah pengalaman dalam komunikasi, kepimpinan dan kokurikulum.

2. Manfaatkan peluang latihan industri

Kebanyakan program di IPT banyak menawarkan latihan industri. Ini merupakan satu platform untuk menonjolkan bakat anda sebagai bakal pekerja kepada majikan. Jadi serlahkan potensi diri sehabis baik seperti menunjukkan tingkah laku sopan dan menguruskan masa dengan betul.

SELEPAS TAMAT PENGAJIAN

1. Jangan memilih kerja

Tidak dinafikan perlu ada kriteria pemilihan pekerjaan tetapi untuk graduan yang baru menamatkan pengajian dinasihatkan untuk mengambil apa juga peluang yang ada. Majikan kebiasaannya ingin melihat keupayaan anda sebelum dinaikkan pangkat. Jadi gaji dan jawatan yang ditawarkan di peringkat permulaan tidaklah tinggi dan mengikut pasaran.

2. Jadikan tempoh bekerja sebagai proses pembelajaran

Bila memasuki alam pekerjaan, anda akan bermula dari bawah dan memulakan sesuatu pekerjaan dengan majikan baharu itu adalah satu proses pembelajaran. Jadi, mentaliti untuk terus belajar itu harus ada.

Artikel berkaitan 

6 tip sambung belajar di luar negara, perkongsian pelajar Universiti Islam Madinah, Arab Saudi

Trend sambung belajar ke Barat perlu ditukar – AQAN

Terima kasih beri peluang sambung belajar, luah siswazah B40


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan