Panitia Matematik perkenal 9 kaedah mudah untuk murid mahir subjek itu
Panitia Matematik perkenal 9 kaedah mudah untuk murid mahir subjek itu

Panitia Matematik perkenal 9 kaedah mudah untuk murid mahir subjek itu

Roshlawaty Md Raieh
20 Sep 2022 04:43pm
A
A
A

Sebanyak sembilan kaedah yang diperkenalkan guru Matematik Sekolah Kebangsaan (SK) Rumbia, Alor Gajah, Melaka dalam memastikan murid-murid mereka dapat menguasai konsep dan kemahiran Matematik yang diajar dengan mudah dan berkesan.

Kaedah-kaedah tersebut terdiri daripada Sifir Tulang Ikan; Kaedah Kira SEJA (SE - Sebut, JA - Jari); Kotak Pelbagai; Formula Mudah dan Nota Ringkas A+; Pembahagian Berpagar; Nombor Plat Persona Cikgu Yus; Jadual Tempoh; Kongsi-kongsi Ma… dan Jadual Penukaran Unit.

Ketua Panitia Matematik, Cikgu Mohd Yusazli Md Yusof berkata, kaedah tersebut adalah sumbangan dan janaan idea daripada semua guru Matematik sekolah berkenaan.

Ia telah disebarluaskan kepada guru-guru Matematik di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, Melaka sebagai salah satu kaedah penting untuk murid aliran pra sekolah hingga aliran perdana (Tahun Satu hingga Tahun Enam) menguasai kemahiran Matematik.

Tambah Cikgu Mohd Yusazli, sembilan kaedah yang diketengahkan itu merupakan salah satu aktiviti yang terdapat dalam program Perkongsian Amalan Terbaik Panitia Matematik.

Sambungnya, objektif Perkongsian Amalan Terbaik Panitia Matematik tersebut adalah menekankan konsep dan kemahiran yang terkandung dalam Standard Pembelajaran yang mengutamakan penglibatan murid dalam pembelajaran.

Barisan pentadbir dan sebahagian tenaga pengajar Matematik dari SK Rumbia.

Selain itu, ia turut menekankan teknik dan kaedah yang terbaik agar mesra pengguna dan mengandungi unsur kecindan untuk menarik minat murid menguasai sesuatu tajuk.

Dalam masa sama, perkongsian itu turut menilai tahap penguasaan murid yang merangkumi beberapa tajuk.

Cikgu Mohd Yusazli turut memberitahu, kaedah-kaedah yang diperkenalkan itu boleh dilakukan dalam bilik darjah dengan menggunakan pelbagai bahan yang mudah diperoleh.

“Misalnya bagi kaedah Kotak Pelbagai. Murid-murid hanya perlu menggunakan beberapa helaian kertas untuk membina dan menghasilkan kotak sifir di atas kertas tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Guru Besar, Mohd Isa Barum berharap, semua murid SK Rumbia dapat menguasai Matematik dengan baik.

“Subjek Matematik tidak sukar jika murid mengetahui tip, teknik, kaedah dan apa sahaja cara dalam menguasai mata pelajaran tersebut.

“Justeru, dengan adanya sembilan kaedah ini dapatlah membantu anak-anak didik memahami konsep dan penyelesaian segala permasalahan yang melibatkan Matematik,” ujarnya.

Artikel berkaitan 

Guru SK Rumbia buat kejutan. Sepakat bermesyuarat di dalam kereta api, kreatif sungguh!

Tip mudah hafal sifir. Jom ikut cara cikgu Matematik ini buat

Anugerah Pengarah bukti kesungguhan Mohd Hamzah untuk menjadi arkitek berjaya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan