BOLA-TIP-SINARBESTARI-2022 (4)
BOLA-TIP-SINARBESTARI-2022 (4)

Pengemudi Kelana United kongsi kemahiran asas bola sepak

nadzarul.amir
07 Dec 2022 10:34am
A
A
A

Era bola sepak moden menyaksikan jurulatih dan pemain perlu menyesuaikan diri dengan rentak permainan lebih pantas serta taktikal berdaya saing yang dilengkapi teknologi baharu.

Taktik bola sepak seperti hantaran bola jauh, tiki-taka, park the bus, high press dan counter attack semakin mendapat sentuhan moden dalam mempertingkat mutu persembahan para pemain.

Ia terbukti apabila peminat bola sepak disajikan permainan dan taktikal menarik dalam saingan Piala Dunia FIFA 2022 Qatar.

Ketua jurulatih kelab Kelana United, Fairuz Montana Zainal Abidin memberitahu, permainan bola sepak moden hari ini semakin pantas berbanding 10 atau 20 tahun lalu.

Justeru, bekas pemain Selangor berusia 39 tahun itu berkata, bakat-bakat muda perlu memiliki tenaga jitu dalam mengharungi perlawanan intensiti tinggi.

Fairuz Montana juga pernah menyarung jersi pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Felda United dalam kancah bola sepak tempatan.

Secara jujur, dia yang merupakan jurulatih terbaik liga Selangor musim ini memberitahu, lebih menggemari pemain 'utiliti' yang berkebolehan mempamerkan permainan dalam pelbagai posisi.

"Pemain begini boleh diletakkan di mana-mana sahaja dan menunjukkan prestasi terbaik.

"Selain itu, saya ingin menasihatkan prospek masa hadapan bola sepak negara agar menuntut ilmu sehingga menara gading," ujarnya.

Katanya, mengimbangi pelajaran dan bola sepak dapat menjamin masa depan lebih cerah. "Di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) turut mempunyai liga tersendiri dan berupaya menggilap bakat-bakat baharu.

Antara pemain berpengalaman menabur khidmat bersama Kelana United adalah bekas pemain kebangsaan, Muhammad Shukor Adan, Razman Roslan, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Asraruddin Putra Omar dan Muhamad Asyidi Dil Ashar Yusof.

Fairuz Montana yang berkecimpung dalam bidang kejurulatihan sejak 2012 berkongsi kemahiran asas untuk bergelar pemain bola sepak kepada pembaca Sinar Bestari.

Penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi. -Kredit Gambar FAM.

Penjaga gol

Benteng pertahanan terakhir yang mengekang pihak lawan daripada membolosi gawang gol. Penjaga gol atau dikenali sebagai keeper dan goalie perlu memiliki kemahiran membaca permainan dengan baik di atas padang.

Dalam era bola sepak moden, fizikal, stamina dan tindak balas penjaga gol amat penting untuk memastikan pasukan dapat memenuhi taktikal jurulatih.

Kebiasaannya, penjaga gol hari ini memiliki ketinggian melebihi 180 sentimeter (sm) kerana dapat memberi kelebihan ketika sepakan percuma ataupun penjuru.

Mereka harus menguasai skil seperti menangkap, menepis atau menampan serta menumbuk bola.

Satu lagi kemahiran yang perlu dimiliki penjaga gol adalah berupaya memberi arahan kepada rakan-rakan sepasukan.

Pertahanan Kebangsaan, Corbin Ong. -Kredit gambar FAM

Posisi pertahanan

Kemahiran seperti membaca permainan dan gerak geri lawan merupakan intipati penting menjadi pemain pertahanan. Mereka perlu tenang mengawal bola terutama dalam kawasan D.

Ia berikutan kebanyakan pasukan menggunakan khidmat pemain pertahanan untuk memulakan serangan daripada bahagian bawah.  Begitupun, fungsi pertahanan bergantung kepada formasi digunakan jurulatih.

Pemain tengah, Safiq Rahim. - Kredit gambar FAM.

Posisi tengah

Ibarat enjin ataupun arkitek dalam menggerakkan sesebuah pasukan bola sepak. Pemain posisi tengah bertindak sebagai penghubung kepada pemain pertahanan dan penyerang.

Justeru, mereka perlu memiliki visi, kemahiran membuka ruang dan mengawal rentak permainan. Pemikiran pantas dalam membuat keputusan juga merupakan aset penting bergelar pemain di bahagian tengah.

Ia kerana terdapat beberapa saat sahaja bola akan berada pada mereka sebelum pihak lawan memberi tekanan.  Para pemain tengah ini sekurang-kurangnya memerlukan tiga pilihan untuk membuat keputusan apabila mendapat hantaran daripada rakan sepasukan.

Pemain sayap negara, Arif Aiman. - Kredit gambar FAM.

Posisi sayap

Pemain sayap akan berada berdekatan garisan tepi padang pada bahagian kanan dan kiri. Stamina tinggi, kemahiran menggelecek dan memiliki larian pantas merupakan antara ciri-ciri pemain sayap.

Mereka akan membuat hantaran lintang, 'mengumpan' penyerang malah melakukan larian cut-in ke tengah padang untuk melepaskan rembatan.

Selain itu, pemain sayap bertindak memberi tekanan merampas bola atau mematahkan formasi pihak lawan.

Penyerang, Norshahrul Idlan Talaha. - Kredit gambar FAM.

Posisi penyerang

Sebagai penyerang, fungsi utama mereka adalah untuk menyumbat gol memasuki gawang lawan. Mereka perlu memiliki 'naluri pembunuh-killer instinct' meledak gol.

Bahasa mudah jika tidak boleh menjaringkan gol lebih baik lupakan bermain sebagai penyerang dan mencuba posisi lain.

Menggalas tugas sebagai penyerang juga memerlukan kemahiran mencari ruang untuk menerima umpanan daripada rakan sepasukan.

Penyerang hari ini juga akan membantu pertahanan apabila pihak lawan menyerang. Kelebihan penyerang jika dia memiliki kemahiran menggunakan kedua-dua belah kaki dan kepala untuk menjaringkan gol.

Artikel berkaitan

4 kriteria pengadil Piala Dunia 2022 Qatar

5 fakta menarik tuan rumah Piala Dunia 2022 Qatar

Pendedahan awal sukan bola sepak


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan