QATAR-SINARBESTARI-2022
QATAR-SINARBESTARI-2022

5 fakta menarik tuan rumah Piala Dunia 2022 Qatar

nadzarul.amir
24 Nov 2022 12:49pm
A
A
A

QATAR melakar sejarah tersendiri apabila menjadi negara pertama di Timur Tengah diberi penghormatan menganjurkan Piala Dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bermula 20 November hingga 18 Disember 2022.

Kejohanan Piala Dunia tersebut berlangsung selama 29 hari dan menjadi edisi paling singkat sejak penganjuran di Argentina pada 1978.

Bahkan, negara ketiga di benua Asia selepas Korea Selatan dan Jepun terpilih sebagai penganjur bersama pada 2002 menyaksikan sebanyak lapan stadium digunakan untuk memenuhi 64 perlawanan sepanjang 29 hari kejohanan penuh berprestij itu.

Untuk itu, kali ini Sinar Bestari merungkai lima fakta menarik mengenai negara Qatar.

1.Populasi kecil

Qatar merupakan negara paling kecil sebagai penganjur Piala Dunia FIFA dengan keluasan 11,571 kilometer persegi (km²). Ia lebih kecil berbanding bandar New York di Amerika Syarikat.

Negara berkenaan mengisytiharkan kemerdekaan pada 3 September 1971. Populasi penduduk negara Timur Tengah itu dianggarkan kira-kira 2.881 juta orang sahaja dengan agama Islam sebagai agama rasmi.

Golongan lelaki melebihi bilangan wanita berikutan bilangan lelaki ekspatriat yang tidak seimbang di negara itu.

Bahasa rasmi pula merupakan bahasa Arab manakala bahasa Inggeris diguna sebagai bahasa kedua.

2.Iklim

Qatar pernah mencatat rekod suhu mencecah sehingga 50.4 darjah celsius pada Julai 2010 di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha.

Purata suhu tahunan adalah sekitar 30 darjah celsius dengan hujan yang sangat sedikit. Pada bulan November dan Disember dijangka tiada hujan sepanjang Piala Dunia 2022.

Justeru, tidak hairan, stadium-stadium penganjuran dilengkapi sistem penyaman udara untuk memastikan keselesaan penyokong dan para pemain beraksi di atas padang.

3.Ekonomi

Qatar pernah menjadi antara negara paling miskin di dunia sebelum meraih kekayaan melalui petroleum dan gas asli. Negara itu adalah antara pemain utama dunia dalam pengeluar sumber asli berkenaan.

Bagaimanapun mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa sebelum Perang Dunia ke-2, negara Timur Tengah itu memperoleh sumber pendapatan melalui industri mutiara dan perikanan.

Korea Selatan, Jepun, China dan India antara destinasi eksport terpenting Qatar. Jepun dan Korea Selatan menerima sebahagian besar eksport Qatar dalam bentuk petroleum serta produk petroleum.

4.Pengangkutan

Pengangkutan utama negara berkenaan adalah dengan menggunakan jalan raya. Terdapat lebih 1,230 km jalan raya yang hampir kesemuanya berturap di Qatar.

Disebabkan topografi negara tersebut, ia tidak mempunyai landasan kereta api tetapi terdapat beberapa pelabuhan penting di Doha dan Sa'id.

Lapangan terbang antarabangsa pula terletak di Doha dan Qatar Airways merupakan syarikat penerbangan nasional negara itu.

5.Komunikasi

Qatar Public Telecommunications Corporation ialah penyedia tunggal perkhidmatan telekomunikasi di negara itu.

Pada 1996, kemudahan internet disediakan kepada orang ramai, dengan Qatar Public Telecommunications Corporation sebagai penyedia perkhidmatan tunggal.

Penggunaan internet adalah tinggi dalam kalangan warga Qatar. Sistem kabel gentian optik dasar laut yang disiapkan pada akhir 1990-an menghubungkan Qatar dengan Bahrain, Oman dan Kuwait.

Artikel berkaitan

Profesor ajar sejarah dengan tonton Piala Dunia 2022

Kenali Al Rihla, bola rasmi Piala Dunia Qatar 2022

4 fakta menarik Piala Dunia 2022


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok