Untitled design (58)
Untitled design (58)

Pentingnya peranan guru sebagai pendidik

Azleenda Sahaludin
03 Jan 2023 04:44pm
A
A
A

Umum mengetahui pendidikan berkualiti adalah satu aspek penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Namun melihat kepada peningkatan ekonomi hari ini, ia menyebabkan masyarakat terutamanya keluarga berpendapatan rendah (B40) cenderung untuk mengabaikan pendidikan anak masing-masing.

Bukan itu sahaja, malah terdapat pelajar tidak mahu meneruskan persekolahan berpunca daripada pendekatan guru yang tidak menarik perhatian mereka semasa di dalam kelas.

Ini cabaran yang perlu dihadapi oleh bakal guru dalam mendidik dan melahirkan anak bangsa demi masa depan negara.

Jom ikuti perkongsian perancangan pengajaran tiga bakal guru dalam usaha mengekang angka keciciran murid sekolah terus meningkat.

Nur Zafirah.

Nur Zafirah Wajihah Zaidi

Bagi bekas penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM), jurusan Pendidikan dengan Bahasa Melayu, Nur Zafirah Wajihah Wajdi, 24, nasihat dan tindakan perlu seiring bagi membantu pelajar sebelum tercicir.

Nur Zafirah berkata, bakal guru sepertinya perlu bersedia untuk sentiasa memberi galakan dan nasihat positif serta mengambil tindakan sewajarnya jika diperlukan.

Dia yang sedang menunggu keputusan penempatan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) turut memberitahu, terdapat beberapa kaedah pendekatan yang sesuai digunakan kepada pelajar yang tidak hadir ke sekolah.

“Semasa bergelar pelajar di UPM, pensyarah telah mendedahkan isu keciciran ini agar kami bersiap sedia berdepan dengan permasalahan ini.

“Antara persediaan utama adalah meneliti dan mengkaji kaedah pendekatan lebih-lebih lagi generasi muda hari ini penuh dengan emosi tidak menentu,” tuturnya.

Nur Zafirah juga berkongsi beberapa tip kepada bakal guru dalam berdepan dengan isu keciciran pelajar hari ini.

1) Pelbagaikan kaedah pengajaran

Melihat perkembangan teknologi, guru perlu bijak mengembangkan idea dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran yang tidak hanya terikat dengan buku teks semata-mata.

2) Kaedah pendekatan pelajar

Selain itu, guru juga perlu bijak mengambil tindakan mendekati pelajar kerana tidak semua mampu menerima kehadiran orang baharu dalam kehidupan. Sebagai guru, wujudkan hubungan baik antara pelajar supaya mereka selesa untuk berkongsi masalah dengan guru.

3) Nasihat melalui program

Guru juga janganlah hanya sekadar mengajar tanpa mempedulikan keadaan sekeliling yang melibatkan pelajar dengan cakna terhadap program yang dianjurkan di bawah unit kaunseling sekolah agar masalah yang pelajar hadapi dapat ditangani sekali gus mengurangkan risiko pelajar tercicir.

Siti Qhalimah.

Siti Qhalimah Ahmad Nasri

Pelajar tahun akhir, Universiti Sains Malaysia (USM), Siti Qhalimah Ahmad Nasri, 22, turut berkongsi pendapat tentang isu ini serta peranan penting sebagai seorang guru dalam mendidik anak bangsa.

Katanya, peranan guru bukan sekadar mendidik malah perlu mencorakkan nilai murni kepada pelajar.

Dia yang sedang mengikuti pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan juga memberitahu, guru hari ini perlu bijak mempelbagaikan bahan rangsangan dalam pengajaran agar ia dapat mewujudkan keseronokan belajar di dalam bilik darjah.

“Cabaran dalam pendidikan hari ini bukan hanya dilihat dari sudut pelajar semata-mata.

“Malah, guru juga berdepan dengan cabaran menarik minat pelajar untuk hadir ke sekolah sekali gus menganggap pendidikan menyeronokkan,” katanya.

Berikut tip yang boleh digunakan bakal guru sebaik sesi persekolahan bermula.

1) Wujudkan persekitaran yang kondusif dan selesa

Guru perlu kreatif dengan mewujudkan suasana kelas yang kondusif dan selesa kepada pelajar.

2) Bersedia dan cakna

Sebagai guru juga perlu bersedia dan mengambil tahu setiap permasalahan yang berlaku dalam kalangan pelajar.

3) Perlu jadi kawan

Bukan hanya bertindak sebagai tenaga pengajar, guru perlu menjadi kawan dengan pelajar yang bermasalah. Ini bukan sahaja menjadikan pelajar selesa, mereka juga lebih terbuka berkongsi masalah dengan guru.

Ahmad Faieruz.

Ahmad Faieruz Mohd Azmi

Selain itu, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Faieruz Mohd Azmi, 25, juga memaklumkan, sebagai individu yang berminat untuk menjadi pendidik, mereka perlu cakna dengan isu-isu semasa terutamanya melibatkan pelajar.

Ahmad Faieruz menjelaskan, isu keciciran ini bukan perkara baharu malah ia semakin membimbangkan apabila keadaan ekonomi negara semakin tidak menentu.

Dia yang kini berada di tahun dua pengajian dalam jurusan Reka Bentuk Animasi menambah, sikap ambil peduli perlu ada dalam diri seorang guru bagi memastikan nasib pelajar tercicir ini terbela.

Untuk itu, Ahmad Faeiruz berkongsi tip yang boleh dipraktikkan oleh bakal guru sepertinya.

1) Kaedah pengajaran

Dengan perkembangan teknologi hari ini, guru perlu akui kaedah moden lebih efektif dan memberi keseronokan kepada pelajar berbanding belajar melalui buku teks.

2) Kreatif

Guru juga perlu lebih kreatif untuk menarik minat pelajar dengan menggunakan pendekatan yang berbeza.

Artikel berkaitan

Perlu terapkan sikap ambil peduli bantu isu keciciran pelajar

KPM sediakan garis panduan, elak murid terus tercicir

Tidak mahu murid terus tercicir, guru sekolah orang asli serah sendiri modul belajar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan