Untitled design (42)
Untitled design (42)

Perlu terapkan sikap ambil peduli bantu isu keciciran pelajar

Azleenda Sahaludin
23 Dec 2022 04:41pm
A
A
A

Melihat kepada isu keciciran pelajar yang berada pada tahap membimbangkan hari ini, ia dilihat perlu diberi penekanan dan wajar diketengahkan bagi mengurangkan statistiknya.

Bak kata bidalan, jangan jaga tepi kain orang sudah tidak relevan dalam konteks ini memandangkan setiap masyarakat perlu mengambil tahu akan masalah yang berlaku di kejiranan lebih-lebih lagi melibatkan masalah pelajar tercicir dalam pelajaran.

Ini kerana maklumat yang diperoleh hasil daripada kepedulian masyarakat mampu membantu pihak yang bertanggungjawab seperti sekolah atau pimpinan masyarakat mengambil tindakan sewajarnya bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang terlibat.

Dr Fairuz.

Pensyarah Kanan Psikologi Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Fairuz Jafar berpendapat, amalan ziarah menziarahi merupakan satu pendekatan utama boleh dilakukan oleh masyarakat setempat dalam usaha menangani isu pelajar berisiko cicir ini.

“Pimpinan masyarakat seperti imam atau ahli jawatankuasa masjid perlu memainkan peranan dengan memberi ceramah bagi menerangkan isu dan risiko sekiranya ia berlaku.

“Sebagai contoh, solat Jumaat boleh dijadikan medium bagi menerangkan isu ini agar ia menyedarkan mereka dengan sifat ambil peduli antara satu sama lain.

“Ia juga dapat memberi ilmu pengetahuan kepada mereka akan risiko sekiranya anak tercicir dalam pelajaran,” ujarnya kepada Sinar Bestari ketika dihubungi, baru-baru ini.

Begitupun, tambah Dr Mohd Fairuz, tidak semua bantuan mampu diberikan kepada mereka yang dalam kesusahan.

Namun katanya, dengan menyampaikan maklumat tentang golongan yang kurang bernasib baik supaya dibantu oleh pihak berautoriti juga dikira sebagai pertolongan meringankan beban mereka.

Jelasnya, sikap ambil berat dalam kalangan masyarakat amat penting demi memastikan kemakmuran dan kemajuan negara pada masa depan.

“Kita berkongsi cita-cita dan impian yang sama untuk melihat negara ini makmur, harmoni, jurang miskin kaya dapat dikendurkan, perpaduan diperkuat dan ekonomi negara dapat dipertingkat.

“Akan tetapi hasrat ini mungkin terbantut andai isu seperti keciciran pelajar tidak dapat kita atasi.

“Masyarakat dan pihak bertanggungjawab perlu tahu bahawa pelajar hari ini adalah merupakan aset masa depan negara,” katanya mengakhiri bicara.

Artikel berkaitan

UUM jalin kerjasama dengan kerajaan negeri Kedah tangani isu keciciran pelajar

Konsert Aspirasi Muzikal pentas gilap bakat seni pelajar MRSM

65 pelajar sertai Program Bangkit Belajar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok