kredit foto bernama Sebelum masuk ke sekolah menengah ini 8 tip murid Tahun 6 wajib faham
kredit foto bernama Sebelum masuk ke sekolah menengah ini 8 tip murid Tahun 6 wajib faham

Sebelum masuk ke sekolah menengah, ini 8 tip murid Tahun 6 wajib faham

Rasyidah Zulkifi
14 Apr 2022 10:30am
A
A
A

Sekolah menengah merupakan peralihan fasa pembelajaran bagi mereka yang sudah tamat Tahun Enam di sekolah rendah dan akan berada di Tingkatan Satu.

Dari segi akademik dan kokurikulum juga berubah dan banyak persiapan perlu dilakukan.

Baca juga

Lebih 2 juta murid sekolah menengah kembali jalani PdP secara bersemuka

Tiada lagi penggiliran sekolah rendah, semua dibenar hadir secara bersemuka mulai 17 dan 18 April

Justeru, Sinar Bestari berkongsikan lapan tip sebelum masuk ke sekolah menengah kepada pelajar Tahun Enam.

***

1- Cari maklumat awal sekolah yang akan dimasuki

Perkara ini amat penting supaya pelajar tidak berasa janggal ketika melangkah kaki ke sekolah menengah nanti.

Maklumat awal akan menjadikan mereka lebih tenang kerana sudah menyelidiki sedikit sebanyak mengenai sekolah baru yang dituju itu.

Ini dapat mengelakkan perasaan janggal dan gelisah itu muncul kerana banyak perkara yang tidak tahu.

2- Tetapkan tujuan belajar yang jelas

Di sekolah menengah, pelajar akan memasuki satu alam baru yang berbeza dari sekolah rendah.

Alam ini lebih mencabar kerana ia menentukan hala tuju kehidupan mereka selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Oleh itu, penting untuk mengetahui apa yang ingin dicapai supaya pelajar dapat fokus terhadap matlamat tersebut.

Misalnya, berusaha mengekalkan keputusan cemerlang dalam akademik dan kokurikulum setiap penggal sesi persekolahan.

Ini kerana tanpa matlamat yang jelas, pelajar akan tercari-cari jalan mana yang hendak dituju dan apakah penghujungnya.

3- Persediaan mental dan fizikal

Pelajar perlu bersedia dari segi mental dan fizikal kerana belajar di sekolah menengah sememangnya mencabar.

Jika di sekolah rendah, mata pelajaran terasnya sedikit sahaja manakala subjek sekolah menengah lebih banyak.

4- Bersikap lebih matang

Buang segera sifat kebudak-budakan yang dibawa semasa belajar di peringkat sekolah rendah.

Tunjukkan sikap penuh keyakinan di hadapan guru-guru untuk mengelakkan daripada sikap tidak matang ketika di sekolah menengah

Ini kerana semua guru di sekolah menengah kebiasaannya menganggap pelajar akan lebih berdikari dan pandai membawa diri.

Para pelajar juga perlu belajar membuat nota dan mencari maklumat kerana budaya disuap oleh guru sudah tidak sesuai di peringkat ini.

5- Kuasai subjek yang diajar oleh guru

Kebanyakan mata pelajaran di peringkat sekolah menengah adalah sukar dan berkesinambungan ke tingkatan yang akan datang.

Jika asasnya lemah dalam jangka masa panjang, pelajar akan keciciran kerana tidak faham sepenuhnya tentang satu-satu bab yang diajar.

Justeru, rajinkan diri berjumpa dengan guru dan rakan-rakan sekiranya tidak faham untuk meminta tunjuk ajar atau bertanyakan soalan.

6- Fahami perwatakan guru

Semua guru berdiri dengan watak tersendiri yang berbeza seperti peribadi lawak atau serius.

Pelajar perlu memahami guru dengan menyesuaikan diri dengan peribadi mereka yang tidak sama setiap seorang.

Gunakan cara berkomunikasi yang bersesuaian dengan mereka misalnya, menggunakan bahasa yang formal jika hubungan tidak rapat.

7- Menjaga peradaban sesama pelajar

Apabila masuk ke sekolah menengah pelajar perlu menghormati senior kerana mereka lebih besar, mencabar dan banyak ragamnya.

Ada sesetengah sekolah yang mempunyai pelajar Tingkatan Enam dan rata-rata sekolah biasa pelajar paling atas adalah Tingkatan Lima.

Umumnya, mereka yang berada di Tingkatan Satu hendaklah berlapang dada jika menerima teguran daripada golongan senior ini.

Tunjukkan gerak badan dan tutur kata yang sopan supaya pelajar menengah atas tidak berasa curiga yang boleh menyebabkan pergaduhan berlaku di sekolah.

8-Elak terjebak dengan kumpulan bermasalah

Di mana-mana sekolah, mungkin ada segolongan pelajar yang sering menimbulkan masalah disiplin.

Jauhi diri daripada terjebak ke dalam kumpulan ini dan tumpukan kepada matlamat utama berada di peringkat sekolah menengah.

Pelajar akan rugi dan mempunyai masa depan yang gelap sekiranya terpengaruh ke dalam kumpulan pelajar bermasalah ini.

Sinar Bestari berharap pelajar Tahun Enam dapat memanfaatkan tip ini sebagai rujukan sebelum belajar di sekolah menengah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan