STASHA-SINARBESTARI-2022 (1)
STASHA-SINARBESTARI-2022 (1)

Stasha Rina Khan kongsi petua

nadzarul.amir
21 Nov 2022 01:00pm
A
A
A

Sejak beberapa bulan lalu, industri penerbangan kembali rancak menerima semula para tetamu.

Ia berikutan industri tersebut beransur-ansur pulih apabila kebanyakan negara mula membuka 'pintu' sempadan kepada para pelancong.

Senario berkenaan sekali gus membuka peluang kepada para juruterbang untuk terus memberi khidmat kepada pengembara-pengembara di awan biru.

Begitupun, memilih kerjaya sebagai juruterbang tidak terhad memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.

Ini kerana bakal juruterbang juga perlu memiliki jati diri dan disiplin tinggi.

Pembantu juruterbang pesawat Airbus 300 AirAsia X, Stasha Rina Khan Nasir Khan berkata, bakal-bakal juruterbang yang menduduki peperiksaan SPM sekurang-kurangnya perlu memperoleh

keputusan kredit dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

“Ia merupakan syarat asas yang perlu dimiliki calon juruterbang kerana akan digunakan dalam latihan-latihan ketika di akademi kelak,” katanya yang merupakan graduan HM Aerospace Langkawi, Kedah.

Stasha Rina memberitahu antara latihan-latihan tersebut merupakan komunikasi, navigasi radio, meteorologi, prinsip penerbangan, undang-undang udara dan komunikasi visual flight rules (VFR).

Memiliki pengalaman hampir 12 tahun dalam dunia penerbangan, dia memberitahu, sikap seseorang juga memainkan peranan penting untuk menjadi juruterbang yang baik.

“Mereka yang bergelar juruterbang perlu menerapkan nilai-nilai seperti sanggup menerima maklum balas dan kritikan dalam memperbaiki diri masing-masing.

“Selain itu, mereka juga perlu memiliki sikap yang cepat menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan,” ujarnya anak bongsu daripada dua beradik tersebut.

Untuk itu, Stasha Rina Khan berkongsi tujuh tip untuk berjaya dalam kerjaya juruterbang khusus buat pembaca Sinar Bestari.

Stasha Rina Khan.

1) Sasaran

Perlu memastikan terlebih dahulu mengapa anda ingin melangkah masuk ke dalam industri penerbangan. Justeru, selepas membulatkan hati, perlu tegas dalam keputusan untuk menggapai cita-cita tersebut.

2) Patut pada peraturan

Perkara sangat penting sebagai juruterbang adalah mempelajari mengikuti garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Ia perlu diterapkan dalam diri kerana akan memudahkan perjalanan kerjaya sebagai juruterbang.

3) Menepati Masa

Menjadi juruterbang tertakluk kepada jadual penerbangan. Justeru, menepati masa merupakan salah satu perkara yang perlu ada dalam setiap juruterbang. Kalau tidak dapat menepati masa, bagaimana hendak memastikan kelancaran jadual penerbangan yang telah ditetapkan pihak lapangan terbang.

4) Timba ilmu pengetahuan

Tiada noktah menuntut ilmu pengetahuan. Begitu juga dengan juruterbang, pengalaman dan ilmu pengetahuan perlu disemai dalam diri juruterbang. Pengalaman yang luas dipadankan ilmu pengetahuan secara tidak langsung akan dapat membantu dalam kerjaya industri penerbangan terutama apabila berkunjung ke luar negara.

5) Rendah diri

Sebagai juruterbang, perlu mendalami selok-belok industri penerbangan. Pendek kata, hubungan baik perlu dikekalkan dengan semua yang terlibat dalam industri penerbangan. Ia akan menjadi nilai tambah kerana dapat memahami mereka.

6) Positif

Perlu membuang sama sekali aura negatif terutama apabila mengendalikan pesawat. Juruterbang diberi amanah untuk memastikan keselamatan para penumpang, pesawat dan harta benda.

7) Pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat

Menjaga pemakanan seimbang dan melakukan aktiviti senaman penting sangat penting dalam memastikan tubuh badan sentiasa dalam keadaan terbaik. Selain cergas daripada segi fizikal, penting untuk memiliki pemikiran yang tajam semasa mengendalikan pesawat.

Artikel berkaitan

Alumni MRSM jadi Pegawai Wanita TLDM pertama miliki kepakaran dalam bidang peluru dan letupan, mengagumkan!

25 pegawai kanan ATM sertai Bengkel Kerja Kemahiran Andragogi

Anak Malaysia raih markah tertinggi dalam tesis master bidang pesawat di United Kingdom


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan