bengkel atm IPGKIK permainan
bengkel atm IPGKIK permainan

25 pegawai kanan ATM sertai Bengkel Kerja Kemahiran Andragogi

Adlan Farhan Azwan
17 Jun 2022 06:06pm
A
A
A

Kursus dan latihan pegawai tentera sememangnya diketahui umum adalah lasak serta menguji kekuatan mental dan fizikal.

Jarang sekali kita lihat pegawai Kanan ATM menghadiri kursus yang tidak mempunyai kaitan dengan rutin ketenteraan.

Bagaimanapun, baru-baru ini, seramai 25 Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengikuti Bengkel Kerja Kemahiran Andragogi di Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) di Kuala Lumpur.

Pegawai-pegawai berkenaan yang terdiri daripada tiga cabang ketenteraan utama iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menyertai kursus yang dikendalikan oleh Majlis Pensyarah Cemerlang IPGKIK.

Ia melibatkan pegawai-pegawai berpangkat Leftenan Kolonel, Leftenan Komander, Mejar, Leftenan dan Kapten.

Tidak ketinggalan jurulatih juruterbang, pakar teknologi maklumat (IT), pakar risik, pakar perundangan, pakar peperangan strategik dan ketua kapal selam yang turut serta dalam bengkel tersebut.

Aktiviti simulasi pentaksiran dikongsikan oleh Pegawai Kanan ATM.

Justeru, penyampaian sewaktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) termasuklah latihan kepada golongan professional ini memerlukan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang berbeza.

Antara kemahiran-kemahiran antragogi yang diterapkan dalam bengkel ini termasuklah mengenali prinsip dan teori; pendekatan strategi; kaedah dan teknik; pentaksiran dan bimbingan pengajaran mikro.

Antara aktiviti berasaskan permainan turut diberikan kepada Pegawai ATM di IPGKIK, Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Dr Faridah Yakob, seiring dengan konsep PdP andragogi yang sememangnya diamalkan oleh pensyarah IPGKIK, kemahiran ini dilihat memberi nilai tambah kepada pengajar untuk lebih memahami keperluan peserta mereka.

Katanya, kampus itu mempunyai 15 pensyarah cemerlang yang berkeupayaan dan diperakui kecemerlangan mereka dalam penyampaian pedagogi mahupun andragogi.

“Mereka adalah aset yang mampu membantu pihak luar yang memerlukan khidmat kepakaran PdP.

“Oleh itu, peluang yang diberikan oleh ATM ini memberikan satu lagi pengiktirafan kepada sumber manusia dan kepakaran warga kami”, katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Kemahiran Andragogi Pegawai ATM di IPG Kampus Ilmu Khas, Bandar Tun Razak, Cheras, baru-baru ini.

Sementara itu, salah seorang peserta yang mengikuti bengkel ini, Mejar Mohd Zuhaimi Ismail berkata, perkataan andragogi itu merupakan sesuatu yang asing bagi mereka dalam ATM.

“Banyak perkara baharu yang diperolehi dan tentunya input berkenaan dapat meningkatkan profesionalisme dalam menyampaikan latihan kepada pasukan tentera.

“Prinsip pengajaran andragogi yang mengutamakan keperluan dan input peserta yang kami pelajari akan dipraktikkan selepas ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Pusat Peperangan Bersama (PESAMA), Bahagian Operasi dan Latihan Pertahanan, Markas ATM, Leftenan Kolonel Norhisham Kamar menjelaskan, kehadiran mereka ke IPGKIK bukan untuk bertukar profesion sebagai pendidik, sebaliknya, mempelajari ilmu baharu dalam bidang andragogi atau pembelajaran dewasa.

Norhisham Kamar

“Kerjasama strategik ATM dengan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan khususnya IPGKIK telah memberi suntikan baharu dalam kaedah dan teknik penyampaian pengajaran yang tepat, kreatif dan bermakna.

“Sudah tentu pihak ATM tidak mahu melepaskan peluang untuk menimba ilmu pengetahuan daripada pensyarah cemerlang IPG yang hebat dalam penyampaian PdP.

“Walaupun bentuk latihan sedikit berbeza tetapi input yang disampaikan boleh dimanfaatkan dalam latihan kami dan anyak ilmu baharu di luar kotak pemikiran yang kami pelajari,” jelasnya.

Artikel berkaitan

Pensyarah IPG ini dedah 3 WOW capai PdPc bermakna

IPG kekal relevan bagi melahirkan guru berkualiti tinggi

8 pemimpin masyarakat terima keahlian kehormat dari universiti tempatan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok