Teknik mudah ikat tali leher sekolah, pelajar boleh ikuti 4 langkah mudah ini
Penggunaan tali leher di kalangan pelajar menjadi satu kesukaran buat mereka yang kurang mahir untuk mengikatnya dengan cara yang betul dan kemas.
Cara mengikat tali leher sekolah mempunyai sedikit perbezaan berbanding tali leher orang dewasa. Hal ini disebabkan kekemasan ikatan tali leher dipengaruhi oleh pelbagai faktor.
Amat penting untuk pelajar mahir mengikat tali leher agar kelihatan kemas dan juga tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar supaya pelajar mempunyai ruang di leher untuk keselesaan bagi menjalani sesi persekolahan sepanjang hari.
Ikatan tali leher juga sedikit sebanyak menerapkan sifat berdikari dalam kalangan pelajar kerana mereka tidak perlu bergantung kepada ibu atau bapa atau orang lain untuk melakukan perkara tersebut bagi mereka.
Kali ini, Sinar Bestari akan kongsikan dengan anda semua cara ikatan tali leher yang betul dan mudah dipraktikkan di mana-mana sahaja bagi pelajar.
1. Four In Hand Ikatan
Ikatan ini merupakan ikatan tali leher yang paling banyak digunakan serta paling mudah dihasilkan. Simpulan yang dihasilkan adalah bersaiz kecil dan tidak simetri.
Ia sesuai digunakan untuk pelajar dan digalakkan untuk baju yang berkolar tajam serta mempunyai bukaan rapat. Kolar berbutang juga sesuai dengan ikatan jenis ini.
Jika tali leher terlalu pendek, ikatan ini sesuai untuk memanjangkan tali leher kerana ikatan ini menggunakan hanya sedikit bahagian simpulan.
2. Half Windsor
Selain daripada ikatan Four In Hand, ikatan Half Windsor turut menjadi pilihan ramai pemakai tali leher. Ikatan yang dihasilkan mempunyai keseimbangan dari segi simetri dan sesuai untuk kebanyakan acara profesional.
Simpulan yang bersaiz sederhana besar padan dengan kolar yang memiliki bukaan sederhana lebar. Berbanding dengan ikatan Four in Hand, saiz ikatannya lebih besar.
3. Windsor Knot
Teknik Windsor Knot merupakan teknik yang dapat menghasilkan ikatan yang rapi dan simetri. Simpulan Windsor adalah berbentuk segitiga bersaiz besar dan padan dengan kolar yang lebar bukaannya.
Tali leher yang digunakan untuk ikatan Windsor perlulah 4 cm atau 1.6 inci lebih panjang berbanding tali leher biasa. Jadi jika anda ikatan tali leher anda terlalu panjang, teknik ini paling sesuai.
Untuk acara-acara formal atau rasmi seperti majlis anugerah kecemerlangan, majlis graduasi dan majlis sambutan hari peristiwa, Windsor Knot merupakan ikatan yang sangat sesuai.
4. Shell Knot
Ikatan Pratt Knot atau lebih dikenali sebagai Shell Knot sesuai untuk pemakaian formal atau kasual.
Ia merupakan teknik ikatan lama yang menghasilkan simpulan yang bersaiz kecil dan simetri. Ikatan ini digalakkan untuk disesuaikan dengan kolar baju yang bersaiz kecil dan tajam.
Semoga perkongsian kali ini dapat sedikit sebanyak membantu pelajar atau sesiapa yang sedang mempelajari teknik ikatan tali leher yang betul.
Sumber: iRujukan.my
Artikel berkaitan
Minat robotik sejak sekolah rendah, dorong siswazah gondol 2 anugerah dalam dan luar negara
Program Sekolah Hijau SJKC Pulau Betong tingkatkan kesedaran terhadap alam sekitar
Ingin menjadi jururawat, kenali warna jalur berbeza setiap jururawat hospital kerajaan