Untitled design (1)
Untitled design (1)

Tokoh Guru Kebangsaan 2021 kongsi pengalaman hidup menerusi program SEBA

Roshlawaty Md Raieh
29 Jun 2021 05:34pm
A
A
A

SERDANG – Tokoh Guru Kebangsaan 2021, Noorizan Mohamed dijemput Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk sesi perkongsian menarik menerusi Program Sejam Bersama Alumni (SEBA) UPM, baru-baru ini.

SEBA edisi ke-24 yang bersiaran di Webex dan juga laman Facebook Pusat Perhubungan Alumni UPM itu turut disertai Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof Madya Dr Arba’ie Sujud, Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Fahmi Azar Mistar, Penolong Pendaftar Pusat Perhubungan Alumni UPM, Nik Hafzaini Nik Hassan dan pegawai Pusat Perhubungan Alumni, staf, dan mahasiswa universiti tersebut.

Perkongsian selama satu jam itu, memuatkan tip untuk berjaya dalam pengajian dan tip kerjaya cemerlang untuk pelajar dan staf UPM.

Turut dikongsikan Noorizan yang merupakan Alumni UPM Kelas 1977 adalah perjalanan dan pengalamannya sebagai mahasiswa UPM yang penuh dengan kisah manis.

Dr Arba’ie Sujud merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada tetamu maya, Noorizan kerana sudi bersama warga UPM untuk berkongsi ceritera kecemerlangan dan kejayaannya.

“Biarpun kita tidak boleh bersua secara fizikal dan rata-rata bekerja dari rumah (BDR) namun ilmu yang baik kita kongsikan bersama. Terima kasih saya ucapkan kepada beliau kerana sudi bersama dalam talian memenuhi undangan daripada SEBA.

“Kami di Pusat Perhubungan Alumni berbesar hati dengan kesudian ini. Banyak tip dan pengalaman daripada bergelar pelajar UPM sehingga dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2021 yang boleh puan kongsikan bersama. Saya berharap pelajar dan staf dapat mengambil manfaat daripada perkongsian ini dan seterusnya digunapakai dalam apa juga bidang yang dilakukan. Ini kerana perjalanan untuk merangkul anugerah hebat begini bukanlah satu perjalanan yang singkat. Jadi yang baik kita jadikan teladan untuk mendepani cabaran dunia hari ini,” katanya pada program maya berkenaan.

Kejayaan proses pembelajaran sepanjang masa

Noorizan mula bergelar mahasiswa UPM pada tahun 1974 di bawah kursus Diploma Sains dan Pendidikan.

Minatnya yang mendalam dalam bidang pertanian telah membawanya ke alam kampus di UPM.

Walaupun ketika itu beliau hanya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang pertanian, tetapi percaturan Allah itu maha hebat. Beliau ditawarkan kursus Diploma Sains Pertanian dan Pendidikan seterusnya membawanya ke alam pendidikan hingga berjaya dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2021.

“Apa yang boleh saya katakan ilmu ini tidak pernah ada titik noktah. Proses pembelajaran berjalan seiring usia dan keadaan. Habis sahaja kursus diploma saya tidak berhenti di situ. Pada tahun 1980 saya cabar diri untuk terus ke kursus Ijazah Muda dan saya berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dan Pendidikan dan pada 2000, saya sekali lagi berjaya memperoleh Ijazah Sarjana (Master) Sains (Pengurusan Sumber Manusia).

“Itu yang saya katakan laluan untuk berjaya sentiasa ada. Usaha dan niat penentu di mana tahapnya. Ikhlas belajar dan apabila bekerja juga harus lakukan dengan baik.

“Prinsip saya, jangan berkira dengan kerja, kerana apabila kita berkira dengan kerja, maka Allah juga akan berkira dengan kita, terutamanya dalam bidang pendidikan. Jika impian kita pada anak-anak setinggi langit, begitu juga impian ibu bapa lain pada anak mereka yang kita didik. Jadi berikan ilmu kepada pelajar dengan ikhlas dan doakan kejayaan mereka. Kejayaan anak-anak didik ini adalah kejayaan kita juga sebagai pendidik. Itu yang sentiasa saya letakkan dalam hati. Bekerja dengan jiwa yang luhur, berikan ilmu dengan ikhlas, insya-Allah kejayaan kita dan semua akan ada,” ujar Noorizan.

Terdahulu, SEBA merupakan program yang dikhaskan untuk para alumni UPM memberikan khidmat bakti mereka kepada warga UPM menerusi perkongsian kejayaan, kepakaran, dan pengalaman alumni kepada warga universiti khususnya mahasiswa.

Sebelum ini, antara alumni UPM yang dijemput hadir dalam program berkenaan ialah juruterbang merangkap Pengarah Bluesky Management Services, Pengarah MyDecor Sdn Bhd dan Pengarah SF Samudra, Romie Akmali (Alumni Kelas 1999); Pengarah Elrah Exclusive, Muhd Azharuddin Che Azman (Alumni Kelas 1998); Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Expedition Consultancy, Global Expedition Club Malaysia & Ikon UPM Alumni Golden Fit, Ravichandran Tharumalingam (Alumni Kelas 1990) dan Penasihat Kewangan, Noorazeaty Maulad Mohd Khalif (Alumni Kelas 2019).

Perkongsian ini banyak memberi inspirasi dan semangat terutama kepada mahasiswa UPM yang bakal menamatkan pengajian kelak untuk menentukan hala tuju masing-masing dalam membina impian dan kejayaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok