f74df62a-83c2-4dae-9cef-c165852b736b
f74df62a-83c2-4dae-9cef-c165852b736b

UiTM agih makan tengahari untuk pelajar Non-Resident

A
A
A

Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, sangat mengutamakan kebajikan kesemua pelajar-pelajarnya termasuklah pelajar  Non-Resident (NR). Baru-baru ini, program ‘packed lunch’ telah dilancarkan untuk semua pelajar NR di sekitar Shah Alam.

Bantuan agihan makanan ini adalah bagi meringankan beban para pelajar yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

Selain bantuan makanan tengahari, para pelajar ini turut dibekalkan barang-barang keperluan dapur seperti bahan kering untuk bekalan mereka di rumah.

Agihan yang dilakukan di Pusat Khidmat Pelajar, Seksyen 7, Shah Alam, ini dilihat dapat mengurangkan beban pelajar-pelajar yang menyewa di luar kampus.

Ini kerana, sebelum ini ramai pelajar NR berasa mereka disisihkan dan tidak dipedulikan berbanding pelajar-pelajar di dalam kampus yang sentiasa diberi perhatian.

Oleh itu, dengan bantuan yang dilancarkan ini, sedikit sebanyak akan mengurangkan beban dan tekanan yang mereka hadapi.

Jika sebelum ini, mereka terpaksa mengeluarkan kos untuk menyewa dan membeli barangan keperluan lain, namun dengan bantuan ini, mereka tidak lagi perlu memikirkan kesukaran untuk membeli barang makanan.

Setiap hari sebanyak 100 hingga 200 bungkus makanan diagihkan dan ramai pelajar bersyukur bantuan kecil ini amat besar nilainya.

Begitu pun, bantuan agihan makanan ini bukanlah kali pertama diadakan oleh pihak Non- Resident UiTM, Shah Alam. Namun bantuan ini sudah bermula sejak PKP 1.0 lagi.

Keprihatinan pihak Non-Resident ini menjadi satu tanggungjawab mereka demi memastikan kelangsungan hidup pelajar di luar kampus terjamin.

Diharapkan bantuan yang dilancarkan itu dapat membantu para pelajar yang memerlukan. Ini kerana, masalah kewangan jelas menjadi kekangan utama untuk golongan pelajar ini.

Oleh itu, dengan adanya sumbangan dan sokongan sedemikian, para pelajar ini akan lebih bersemangat untuk meneruskan pengajian walaupun tanpa keluarga di sisi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok