RHB_Dato Khairussaleh
RHB_Dato Khairussaleh

UKM Terima Endowmen RM8 Juta dari Kumpulan Perbankan RHB

Nor Azma  Muhamat Laila
13 Aug 2021 06:54pm
A
A
A

BANGI – Kumpulan Perbankan RHB (RHB) memperkuat kerjasama strategik dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memupuk pembangunan kelestarian modal insan dengan mengembangkan pengetahuan dalam bidang teknologi digital, khususnya bidang perbankan dan kewangan menerusi Dana Endowmen RHB-UKM.

Kolaboratif strategik antara RHB dan UKM yang bermula pada tahun 1997 menerusi penubuhan Kursi Kecemerlangan RHB dalam bidang kewangan diberi nafas baharu pada akhir tahun 2018 dengan penubuhan Dana Endowmen RHB-UKM.

Sehingga Jun 2021, Dana Endowmen RHB-UKM telah berjumlah RM8 juta dan akan disalurkan untuk mewujudkan peluang kepada ahli akademik serta pelajar UKM bagi membangunkan kemampuan dan memperkembangkan pengetahuan dalam teknologi digital, mempromosikan serta meningkatkan penyelidikan dan inovasi yang berkualiti dalam perkhidmatan kewangan sekali gus meningkatkan kelebihan daya saing bagi kedua-dua institusi iaitu RHB dan UKM.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata kerjasama antara institusi korporat dan institusi pengajian tinggi (IPT) sangat penting untuk memacu inovasi dalam ekonomi.

“Dana Endowmen RHB-UKM memberi peluang kepada kita untuk memainkan peranan penting dalam mewujudkan asas pengetahuan dalam teknologi digital melalui penyelidikan dan pembangunan agar bidang serta penemuan yang baharu dapat diterokai.

"Inisiatif ini juga membolehkan kita memainkan peranan penting untuk membangunkan generasi pemimpin negara di masa hadapan,” kata beliau.

Beliau berkata lagi, melalui inisiatif kolaborasi itu, pakar Analisis Data RHB bekerjasama dengan UKM dalam berkongsi pengalaman realiti sebenar, pencapaian serta penemuan penting dan juga memberikan input praktikal daripada segi perspektif perbankan dan kewangan.

“Ini saling melengkapi dengan usaha UKM untuk membangunkan program penyelidikan yang memfokuskan kepada kepentingan teknologi digital, diantaranya meliputi bidang Big Data, Artificial Intelligence, Blockchain, Cloud Computing dan Chatbots ke arah penumpuan kepada klien dan pengguna dalam landskap politik dan ekonomi yang semakin berkembang pesat,” kata Khairussaleh.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli.

Sebahagian daripada perancangan jangka panjang dalam memenuhi objektif penubuhan dana tersebut, Dana Endowmen RHB-UKM telah melantik Prof Dr Ujwal Kayande, seorang pakar dan profesor dalam bidang Pemasaran Analitik, juga merupakan Pengarah di Centre for Business Analytics, Melbourne Business School sebagai Penyandang Kursi serta Profesor Pelawat di UKM-Graduate School Business.

Beliau memiliki pengalaman lebih dari 20 tahun dan terkenal di seluruh dunia dalam bidang pengkhususan penyelidikan yang meliputi Analisis Pemasaran, Strategi Pemasaran dan Analisis Perniagaan.

Sehingga kini, lebih daripada 300 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, alumni, pelajar pascasiswazah, penyelidik dan pegawai kanan RHB telah mendapat manfaat melalui pelbagai program dan siri ceramah yang dikendalikan oleh Prof Dr Ujwal Kayande.

Program-program ini memfokuskan kepada aspek dan tema pelaburan dalam analisis data untuk memperoleh kelebihan serta daya saing bagi kelestarian ekonomi jangka panjang.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Alumni & Masyarakat) UKM, Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah, berkata UKM akan merancang program yang dapat disesuaikan dengan arus perkembangan terkini dan menangani isu-isu penting di luar sana melalui aktiviti penyelidikan, pendidikan dan latihan.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Alumni & Masyarakat) UKM, Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah.

“Ini juga melibatkan kerjasama dengan organisasi dan institusi lain seperti mengadakan seminar dan persidangan. Penyertaan dari sektor korporat khususnya, Kumpulan Perbankan RHB, memberi kita akses kepada pengetahuan praktikal yang berharga dan pandangan daripada sudut pemain utama dalam industri perkhidmatan kewangan.

“Dana Endowmen RHB-UKM membolehkan kami mengembangkan lagi program penyelidikan yang relevan menerusi perkhidmatan berasaskan teknologi dalam pengurusan perniagaan, pengurusan kekayaan dan keusahawanan, dalam masa yang sama menyokong pengembangan pemimpin-pemimpin yang berpengetahuan, beretika, bertanggungjawab, dan inovatif dalam bidang perniagaan di masa hadapan,” katanya.

Dalam usaha menyokong program Penyelidikan dan Penerbitan di bawah Dana Endowmen tersebut, Ahli Jawatankuasa Pemegang Amanah Dana Endowmen RHB-UKM telah menyediakan Geran Penyelidikan RHB-UKM untuk ahli akademik dan para penyelidik UKM setiap tahun, dengan permohonan pada tahun 2021 yang telah dibuka pada bulan April yang lalu.

Pihak urusetia Geran Penyelidikan RHB-UKM telah menerima sejumlah 22 permohonan, yang kemudian dinilai oleh panel-panel penilai Geran Penyelidikan RHB-UKM dan seterusnya geran penyelidikan tersebut akan dianugerahkan kepada lima projek penyelidikan terbaik.

RHB tetap dan terus komited untuk memupuk generasi akan datang melalui usaha kolaborasi dengan universiti dan ini juga menjadi sebahagian daripada fokus UKM seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Dengan adanya persekitaran ekonomi yang mencabar dan perubahan drastik dalam tingkah laku pengguna yang disebabkan oleh pandemik Covid-19, terdapatnya keperluan yang lebih besar bagi sesebuah universiti untuk bekerjasama dengan pihak industri agar tetap terus relevan, progresif dan berdaya saing.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok