Untitled (23)
Untitled (23)

UMK tuan rumah Swiss Innovation Challenge Asean 2021/22

Nor Azma  Muhamat Laila
20 Sep 2021 07:35pm
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dipilih sebagai tuan rumah Swiss Innovation Challenge Asean (SICA 2021) yang berlangsung pada Julai 2021 dan dijangka berakhir pada Januari 2022.

Program yang julung kalinya diadakan di negara ini merupakan pertandingan inovasi bersepadu untuk merealisasikan idea perniagaan inovatif dari negara-negara Asean.

Pengarah Projek SICA 2021/22, Dr P Yukthamarani Permarupan berkata, UMK melalui Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), menjadi rakan strategik untuk bekerjasama dengan University of Applied Sciences and Arts Northwestern Switzerland (FHNW), Universiti DRB-HICOM (DHU), Putra Business School (PBS) dan Management & Science University (MSU) serta Swiss Malaysia Chamber of Commerce (SMCC) bagi menjayakan cabaran inovasi Swiss ini.

Beliau berkata, sebanyak 70 kumpulan yang terdiri daripada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara Asean akan menyertai cabaran SICA 2021/22.

“SIC yang diketuai oleh FHNW turut mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Switzerland dan sehingga kini, SIC telah pun dipertandingkan di serata dunia termasuk di Indonesia, Vietnam, Thailand, China dan Malaysia.

“Cabaran ini juga akan membantu usahawan baharu dan bakal usahawan dalam perniagaan berasaskan inovasi dan pembangunan komersial,” kata beliau.

Pengarah Projek SICA 2021/22, Dr P Yukthamarani Permarupan.

Menurut P Yukthamarani lagi, SICA 2021/22 adalah sebuah program tahunan yang berprestij dan dijangka berlangsung sehingga Mei 2022 di mana objektif utama adalah untuk menggalakkan pemikiran inovatif, idea dan pembangunan produk daripada masyarakat dan pelajar.

Katanya, cabaran pertandingan ini juga untuk pelaksanaan kajian potensi keusahawanan antarabangsa dan penulisan kajian kes pembangunan inovasi keusahawanan di Malaysia.

“Selain itu, pertandingan ini juga untuk mengenal pasti produk yang inovatif dan berpotensi untuk dikomersialkan sama ada di dalam atau luar negara.

“Sebanyak tiga kategori dipertandingkan pada SICA 2021/2022 iaitu Terbuka SIC, SIC Start Up dan SIC Youth yang bertujuan untuk membangunkan budaya inovasi dalam kalangan masyarakat dan pelajar di sesebuah negara,” ujar beliau.

Sementara itu, peserta yang menyertai cabaran ini akan mendapat bimbingan daripada jurulatih profesional dan berpengalaman untuk memanfaatkan idea serta pelan cadangan perniagaan.

Jelas P Yukthamarani lagi, setiap peserta juga disediakan dengan sesi latihan khas.

“Idea inovasi dan konsep bakal menerima hadiah wang tunai berjumlah RM15,000; RM8,000 dan RM6,000 mengikut kategori yang dipertandingkan.

"Juara daripada kategori Terbuka SIC pula berpeluang membentangkan pelan perniagaan terbaik mereka di SIC International 2022 yang akan berlangsung di Switzerland," kongsi beliau lagi.

Untuk maklumat lanjut dan proses pendaftaran sila lawati umk.edu.my/site/index dan tarikh tutup Program Cabaran Inovasi Swiss pada 30 Oktober 2021.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok