1117556
1117556

Universiti tawarkan pelbagai pilihan program muzik

Nor Azma  Muhamat Laila
06 Jul 2021 05:04pm
A
A
A

Berbicara mengenai bidang muzik di peringkat pengajian tinggi pastinya ramai sudah terbiasa mengaitkannya dengan Fakulti Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM ) yang menjadi universiti awam (UA) terawal menawarkan pendidikan formal di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.

Sejak mula ditubuhkan pada 1984 dengan nama Jabatan Muzik yang kemudiannya ditukar kepada Fakulti Muzik pada 2006, pelbagai program pengajian ditawarkan termasuklah pengajian peringkat pascasiswazah iaitu Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Dekan Fakulti Muzik UiTM, Profesor Madya Dr Tazul Izan Tajuddin berkata, terdapat dua program diploma, ijazah sarjana muda (4), sarjana (2) dan Phd (1) yang ditawarkan oleh fakulti berkenaan.

Menurut beliau, Diploma Muzik sudah lama ditawarkan manakala Diploma Produksi Audio Digital baru ditawarkan tahun ini dan akan memulakan pengambilan pertama bagi sesi kemasukan akademik pada September ini.

"Program ijazah sarjana muda pula merangkumi bidang Pendidikan Muzik, Komposisi Muzik, Persembahan Muzik, dan Perniagaan Muzik manakala peringkat sarjana pula membabitkan program Sarjana Muzik dan Sarjana Pendidikan.

"Fakulti juga dalam perancangan untuk menawarkan program Sarjana Persembahan Muzik pada tahun ini atau awal tahun depan manakala program kedoktoran yang ditawarkan ialah PhD Muzik," ujarnya kepada GPSBestari ketika sesi temubual secara maya, baru-baru ini.

Dekan Fakulti Muzik UiTM, Profesor Madya Dr Tazul Izan Tajuddin.

Syarat kelayakan

Bagi pelajar yang berminat menyambung pengajian di Fakulti Muzik UiTM, mereka perlu memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan iaitu mendapat tiga kredit dalam mana-mana mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu dan lulus Bahasa Inggeris, Matematik serta Sejarah bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu, mereka juga perlu melalui proses temuduga dan sesi uji bakat supaya pelajar yang berbakat saja dipilih untuk menyambung pengajian di fakulti berkenaan yang membabitkan tempoh selama dua tahun setengah bagi program diploma dan tiga tahun untuk pengajian ijazah sarjana muda membabitkan pemohon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Pengambilan dibuat pada Mac dan September setiap tahun melalui UPUOnline dan permohonan di bawah kendalian UiTM sendiri.

Tahun ini menyaksikan Diploma Muzik UiTM mendapat permintaan tinggi apabila menerima hampir 1,000 permohonan manakala Diploma Produksi Audio Digital pula mendapat permohonan sebanyak 235 pelajar.

Sejak ditubuhkan 37 tahun lalu, Fakulti Muzik UiTM sudah berjaya melahirkan ramai penyanyi berbakat besar, komposer dan ahli muzik yang banyak membuat sumbangan dalam industri hingga ke hari ini.

Antaranya ialah Datuk Shafinaz Selamat, Ernie Zakri, Ayda Jebat, dan Luqman Faiz manakala beberapa lagi artis baharu yang meningkat naik pada hari ini yang masih dalam pengajian iaitu Iman Troye dan Eza Edmond.

Pelbagai institusi muzik

Selain UiTM, pendidikan muzik secara formal juga turut sinonim dengan Akademik Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang dulunya dikenali dengan nama Akademik Seni Kebangsaan.

Bagi program peringkat prasiswazah, akademi itu menawarkan program Diploma Muzik dan Ijazah Sarjana Muda Muzik dengan Kepujian (Persembahan), Ijazah Sarjana Muda Muzik dengan Kepujian (Komposisi dan Gubahan), dan Ijazah Sarjana Muda Muzik dengan Kepujian (Produksi dan Audio).

Bakat pelajar Fakulti Muzik UiTM membolehkan mereka menyertai pelbagai pertandingan di dalam dan luar negara.

UCSI University juga mula mengorak langkah menjadi antara institusi yang mendapat tempat dalam kalangan peminat bidang muzik dengan menawarkan pelbagai program muzik termasuklah Asasi Muzik, Diploma Pengajaran Muzik, dan Diploma Persembahan Muzik.

Universiti itu turut menawarkan program peringkat ijazah sarjana muda di bawah Institut Muzik UCSI menerusi program Ijazah Sarjana Muda Muzik Klasik (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Muzik Kontemporari (Kepujian).

Pelajar yang berminat menyambung pengajian di UCSI dalam bidang muzik perlu memiliki kredit sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran bagi lepasan SPM atau lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran bagi lepasan STPM serta perlu melalui proses uji bakat yang ditetapkan universiti.

Sementara itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut menawarkan program pengajian muzik di bawah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan iaitu Diploma Muzik dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Muzik).

Program pascasiswazah pula adalah Sarjana dan PhD dalam Pendidikan Muzik, Komposisi Muzik Kreatif, Teknologi Muzik Kreatif, Persembahan Muzik, dan Etnomusikologi.

Meskipun tidak mempunyai fakulti khusus untuk program muzik, beberapa universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi (IPT) lain turut menawarkan program pengajian muzik seperti Ijazah Sarjana Muda Kesenian (Seni Muzik) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Bacelor Muzik (Teknologi Muzik) di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Senarai kejayaan Fakulti Muzik di Malaysia 

UiTM

UiTM Chamber Choir (UCC)

- 1st Tele-Chorus International Virtual Choir Competition' di Jepun 2020UCC memenangi empat anugerah daripada semua kategori yang dipertandingkan iaitu Juara Most Favourite Audience Award dan Naib Juara Entertainment Award, Musical Award serta Judge's Special Award

- 2020 8th Jean Sibelius International Choir Competition, Finland Juara Kategori Mixed Youth (UCC)

Juara Kategori Female Voice (UWC)

- 2020 International Choir Online Competition Harmony of

Culture, France

Juara Mixed Youth Category

- 2020 World Art Games international Media Contest, SpainJuara Folk singing (UCC)

Juara Church singing (UCC)

Juara Mixed choir singing (UCC)

UCSI

Institut Muzik UCSI (IMus)

telah berada dalam kelasnya yang tersendiri apabila terus berada dalam ranking 100 terbaik dunia dan dinobat sebagai institusi terbaik di Malaysia bagi seni persembahan tiga kali berturut-turut dalam QS World University Rankings by Subject bagi tahun 2018, 2019 and 2020.

UCSI Chamber Choir

memenangi dua anugerah emas di World Choralympic 2020 di Pyeongchang, Korea Selatan.

UPSI

- Drum-Off Global Competition (Virtual) 2021

Pelajar UPSI, Eric Prince Mahendran terpilih sebagai finalis

- 2020 Singapore International Piano Competition

Dua pelajar UPSI, Yap Jia Yin dan Chong Xin Yeh berjaya memenangi anugerah juara dalam The 4 Hands Category

- Pertandingan Nyanyian Acapella 2020 Peringkat Antarabangsa

Johan - Devoxcapella (Pelajar Sarjana Muda Pendidikan Muzik)

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok