Kredit foto: Facebook SK Kg Johan Setia
Kredit foto: Facebook SK Kg Johan Setia

7 soalan lazim yang sering ibu bapa kemukakan berkenaan pendaftaran murid Tahun 1 Sesi 2024/2025

ROSHLAWATY MD RAIEH
10 Mar 2023 05:04pm
A
A
A

Ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak dilahirkan pada 2 Januari 2017 hingga 1 Januari 2018, boleh mendaftarkan anak mereka ke sekolah pilihan bagi kemasukan Tahun Satu Kalendar Akademik Sesi 2024/2025.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, prosedur permohonan pendaftaran anak ke Tahun Satu Sesi 2024/2025 boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman sesawang rasmi Modul pengurusan Awam, Sistem Bersepadu KPM (MOEIS).

Pendaftaran terbuka kepada seluruh negeri termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Hari ini, Sinar Bestari ingin kongsikan beberapa soalan yang sering ditanya oleh ibu bapa dan penjaga berkaitan pendaftaran murid Tahun 1 Sesi 2024/2025.

Jawapan yang disertakan diharap membantu ibu bapa yang masih keliru dengan proses pendaftaran anak masing-masing.

Jom baca jenis-jenis soalan lazim berkaitan persekolahan anak Tahun Satu kelak.

1) Bilakah tarikh permohonan pendaftaran Tahun Satu Kalendar Akademik Sesi 2024/2025 dibuka?

Tarikh permohonan pendaftaran Tahun Satu bagi sesi ini akan dibuka pada 1 Mei hingga 30 Jun 2023. Ia terbuka kepada kanak-kanak warganegara Malaysia yang lahir pada 2 Januari 2017 hingga 1 Januari 2018.

Artikel Berkaitan:

2) Bolehkah pendaftaran Tahun Satu Sesi 2024/2025 dibuat di pautan https://public.moe.gov.my?

Tidak. Mulai tahun 2023, pendaftaran Tahun Satu adalah di MOEIS melalui pautan https://idme.moe.gov.my

3) Adakah ini bermakna pendaftaran kanak-kanak ke Tahun Satu bagi Kalendar Akademik Sesi 2024/2025 yang dibuat di https://public.moe.gov.my telah hilang dan perlu diisi semula ke https://idme.moe.gov.my?

Tidak. Bagi kanak-kanak yang telah didaftarkan di https://public.moe.gov.my, data mereka akan dipindahkan ke https://idme.moe.gov.my. Ibu bapa dan penjaga hanya perlu mengemas kini maklumat anak mereka di pautan yang baharu mulai 1 Mei hingga 30 Jun 2023 dan klik butang kemas kini.

4) Setelah mengemas kini, perlukah saya menghantar borang perakuan sekolah ke sekolah yang dimohon sekiranya sudah berbuat demikian sebelum ini?

Sekiranya ibu bapa dan penjaga telah menghantar borang perakuan sekolah di sekolah yang dimohon sebelum ini, mereka tidak perlu lagi membuat penghantaran yang baharu.

5) Jika saya selaku ibu bapa dan penjaga membuat kemas kini dan memilih sekolah baharu, perlukah kami menghantar borang perakuan sekolah di sekolah yang baharu?

Ya, borang perakuan sekolah perlu dihantar ke sekolah yang baharu.

6) Di manakah saya perlu menyemak keputusan permohonan penempatan Tahun Satu Kalendar Akademik Sesi 2024/2025?

Keputusan permohonan penempatan Tahun Satu boleh disemak di pautan https://idme.moe.gov.my pada 1 hingga 30 Oktober 2023. Pemakluman keputusan permohonan penempatan akan dipaparkan di laman utama IDME untuk makluman ibu bapa dan penjaga.

7) Adakah meja bantuan disediakan jika terdapat pertanyaan berkaitan permohonan tersebut?

Sebarang pertanyaan berkaitan permohonan Tahun Satu Sesi 2024/2025, ibu bapa dan penjaga dimohon untuk berhubung terus dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang berhampiran.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok