Pakar kewangan kongsi tip bijak berbelanja barangan persekolahan

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
06 Mar 2023 03:23pm

“Pepatah Melayu ‘Alah Membeli Menang Memakai’ masih belum sesuai untuk dipraktikkan dalam konteks anak-anak terutamanya jika mereka masih bersekolah.”

Itu antara titipan daripada Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohammad Fazli Sabri kepada ibu bapa yang akan membeli barangan persekolahan anak-anak untuk sesi 2023/2024.

Tambah beliau, pasti ramai ibu bapa yang teruja untuk menyediakan kelengkapan persekolahan lebih-lebih lagi mempunyai anak yang baru hendak memasuki alam persekolahan.

Memandangkan kos sara hidup hari ini yang semakin tinggi, ibu bapa disarankan agar bijak dalam pengurusan kewangan.

“Tidak dinafikan membeli barang yang berkualiti tahan lebih lama berbanding barang murah dan tidak berkualiti.

“Bagaimanapun ibu bapa perlu sentiasa beringat untuk berbelanja secara berhemah selain mengutamakan keperluan berbanding kehendak agar tidak dibebani masalah kewangan pada masa akan datang,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Menurutnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak supaya tidak terlalu terikut-ikut dengan trend semasa sehingga menyebabkan peningkatan kos perbelanjaan sehingga mengundang pembaziran.

Tambah Fazli Sabri, tahun ini ibu bapa perlu berhati-hati ketika berbelanja kerana Ramadan akan menyusul selepas tiga hari sesi persekolahan baharu dan diikuti perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, beliau yang juga pakar kewangan pengguna berkongsi empat tip untuk berbelanja secara bijak sempena sesi persekolahan baru Mac ini.

Tip berbelanja secara bijak

1 Rancang lebih awal

Ibu bapa perlu membuat perancangan lebih awal sebelum menjelang musim persekolahan baru. Mereka digalakkan membuat tabungan agar segala kelengkapan anak-anak dapat dibeli tanpa sebarang beban.

2 Rancang dengan teliti

Ibu bapa hendaklah bersama-sama berbincang tentang hal yang melibatkan persekolahan anak-anak. Sebelum keluar membeli-belah, ibu bapa perlu mengenal pasti keperluan dengan menyenaraikan barangan yang diperlukan sahaja. Tidak semua barangan atau keperluan persekolahan anak-anak perlu diganti baharu.

3 Bijak berbelanja

Seperti yang sedia maklum kerajaan telah memperuntukkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 untuk seorang pelajar bagi membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa. Mereka perlu tegas dalam pembelian barangan agar tidak melebihi bajet.

4 Lakukan tinjauan

Ibu bapa perlu melakukan tinjauan dengan membuat perbandingan harga di kedai-kedai yang menjual barangan persekolahan termasuklah yang dijual secara dalam talian. Ini penting supaya tidak mudah tertipu dengan kempen jualan murah yang diadakan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp