Ceramah motivasi ‘pickup line’ perlu sesuai konteks, had umur pelajar
Penganjuran ceramah motivasi di sekolah melibatkan pelajar adalah satu perkara wajar dilakukan bagi menyuntik semangat dan memotivasikan mereka dalam mendepani apa jua rintangan mendatang.
Namun sejak akhir-akhir ini, negara digemparkan dengan isu penganjuran kursus motivasi yang membawa budaya pickup line dan dikatakan ia satu pengkhianatan kepada amanah ibu bapa.
Masakan tidak, ibu bapa telah menghantar anak-anak dengan berharap agar mereka mempelajari sesuatu yang berguna buat bekalan sama ada spiritual atau mental, namun lain pula jadinya.
Menurut guru pemulihan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu, Johor, Roslee Abdul @ Mohd, budaya pickup line yang sedang hangat diperkatakan dilihat tidak sesuai dengan usaha membudayakan nilai murni dalam kalangan pelajar sekolah.
“Walaupun niat penyampaian baik iaitu untuk memberi dan menyerlahkan bakat pelajar, selain menyuntik keyakinan mereka dalam berinteraksi, namun kaedah dan isi yang dilaksanakan kebanyakannya tidak sesuai dalam konteks pendidikan.
“Budaya pickup line ini relevan jika ia diolah dan disampaikan dalam bentuk pendidikan nilai murni, namun yang tular sekarang adalah lebih kepada keberanian meluah perasaan berkaitan cinta yang sama sekali lari dengan konsep pendidikan pelajar sekolah,” katanya kepada Sinar Bestari pada Selasa.
Tegas Cikgu Roslee, isu ceramah pickup line yang tular sejak akhir-akhir ini tidak akan timbul sekiranya pihak sekolah yang menganjurkan program motivasi lebih mengutamakan jemputan penceramah yang terdiri daripada guru sekolah atau pegawai pendidikan yang layak dalam bidang masing-masing.
Jelasnya, hanya yang mempunyai latar belakang pendidik faham budaya, nilai-nilai baik dan isi yang sesuai disampaikan mengikut peringkat usia pelajar.
“Menyampaikan motivasi secara pickup line merupakan satu pembaharuan dalam aktiviti membentuk keyakinan diri pelajar-pelajar.
“Namun ia mesti disampaikan dan dilaksanakan mengikut nilai yang sesuai dalam kalangan pelajar sekolah dan bukanlah seperti apa yang sedang ‘viral’ sekarang,” ujarnya.