Seramai 21 guru dari Daerah Pasir Putih terlibat dalam Program Kem Jati Diri Guru.
Seramai 21 guru dari Daerah Pasir Putih terlibat dalam Program Kem Jati Diri Guru.

21 guru daerah Pasir Putih perkukuh peranan, bina jati diri kukuh

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
23 Feb 2026 01:00pm

Dalam dunia yang semakin sarat dengan ketidaktentuan sosial dan cabaran global, peranan guru hari ini tidak lagi terhad kepada bilik darjah.

Mereka bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pemimpin nilai yang membentuk hala tuju generasi dan masa depan negara.

Menyedari hakikat itu, Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Putih (PPD Pasir Putih) dengan kerjasama Kumpulan Karangkraf dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menganjurkan Program Kem Jati Diri Guru sebagai wadah memperkasa kepimpinan berteraskan nilai kerohanian, etika serta tanggungjawab sosial.

Seramai 21 guru sekolah rendah dan menengah dari seluruh daerah Pasir Putih terlibat dalam program tersebut dengan satu matlamat iaitu memperkukuh peranan sebagai agen pembentukan insan.

No Image Caption

Manakan tidak, seorang guru perlu tampil sebagai pembimbing akhlak dan pembina hala tuju, bukan hanya pendidik akademik semata-mata.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah bagi Sektor Pembangunan Murid, Samsudin Musa yang turut serta dalam program berkenaan menegaskan bahawa pembangunan murid bermula daripada kekuatan dalaman guru.

Menurutnya, sokongan institusi pendidikan di peringkat daerah sentiasa terbuka bagi memperkasakan latihan kepimpinan seperti ini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid (Sukan), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Zamri Mohamad.

Dia turut menyifatkan pembangunan sahsiah dan kepimpinan guru sebagai asas kepada pembinaan murid yang seimbang serta berdaya saing.

Program yang berlangsung pada 12 hingga 14 Februari 2026 itu diadakan di Taman Rimba Olak Jeram, sebuah destinasi ekopelancongan di Manek Urai, Kuala Krai, Kelantan yang cukup sinonim dengan latihan luar dan pembinaan disiplin.

Mengangkat konsep ‘agen perubahan’, program ini membawa mesej jelas bahawa kepimpinan dalam pendidikan mesti berpaksikan amanah, kebijaksanaan dan tanggungjawab sosial.

Dari kiri Muhammad Nasir, Mohd Abdullah dan Zamri
Dari kiri Muhammad Nasir, Mohd Abdullah dan Zamri

Guru perlu memimpin dengan teladan, membimbing dengan kasih sayang dan membuat keputusan berlandaskan nilai murni serta kendali diri yang tinggi.

Menariknya, program ini tidak sekadar berfokus kepada ceramah dan wacana, malah melibatkan penyertaan pasukan bomba yang menyuntik elemen latihan disiplin, pengurusan krisis dan kesiapsiagaan.

Pendekatan ini melengkapkan pembangunan rohani dan mental dengan kekuatan fizikal, sekali gus membentuk kepimpinan yang lebih holistik.

Antara penceramah jemputan ialah Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, wakil Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM, Mohd Abdullah Jusoh.

Kedua-duanya berkongsi perspektif kepimpinan berteraskan nilai, pengalaman lapangan dan pandangan kenegaraan yang membuka horizon baharu kepada peserta.

Program ini menegaskan bahawa kepimpinan sejati bermula daripada pembinaan dalaman.

Tanpa jati diri yang kukuh, sebarang dasar atau inovasi pendidikan akan kehilangan roh dan makna sebenar.

Ringkasan AI

  • Peranan guru hari ini melampaui bilik darjah, bertindak sebagai pemimpin nilai yang membentuk generasi dan masa depan negara
  • Program Kem Jati Diri Guru anjuran PPD Pasir Putih, Kumpulan Karangkraf dan UPNM bertujuan memperkasa kepimpinan guru dengan nilai kerohanian, etika, dan tanggungjawab sosial
  • Seramai 21 guru sekolah rendah dan menengah terlibat dalam program ini untuk memperkukuhkan peranan sebagai agen pembentukan insan
  • Program ini diadakan di Taman Rimba Olak Jeram, menyediakan latihan kepimpinan yang berpaksikan amanah, kebijaksanaan, dan tanggungjawab sosial dengan pendekatan holistik menggabungkan kekuatan rohani, mental, dan fizikal
  • Penyertaan pasukan bomba dan penceramah jemputan seperti Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Mohd Abdullah Jusoh melengkapkan program dengan pelbagai perspektif dan latihan disiplin
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp